BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, December 1, 2011

Nilai CintaMu



                Di sudut biliknya, dia tersedu-sedu. Peristiwa yang berlaku tadi benar-benar merobek kasar hatinya. Tidak tersangka janji yang diikat sekadar mainan sedangkan dia menaruh impian itu sejak dahulu lagi. Sampai hatinya, mencemarkan maruahnya dan keluarga yang disayangi.
                “Kak Wa, tolong buka pintu ni?”pinta adiknya, dari luar bilik sambil mengetuk pintu. Adik, orang yang terakhir cuba memujuk. Puas sudah ibu ayah cuba memujuk. Hanya tinggal adik saja yang boleh diharap untuk memujuknya.
                Dia tidak berfikir panjang. Dia membuka pintu dan adik masuk ke dalam biliknya. Dia tahu, adik pasti memahami perasaannya kerana adiklah yang paling rapat dengannya.
                “Kak Wa, jangan macam ni, ya? Akak dah tak comel kalau asyik menangis macam ni,”pujuk adik.
                “Dik, akak kecewa sangat. Sampai hati dia buat akak macam ni. Kami lagi sebulan nak kahwin. Sampai hati dia putuskan pertunangan ni…”luah Uswatul ‘Ulya penuh sebak. Air matanya dikesat oleh adik.
                Adik diam seketika. Mencari kalimah yang sesuai untuk memujuk ‘Ulya. ‘Ulya tidak dapat menahan lagi kepedihan yang dirasainya. Dia meletakkan kepalanya di atas riba adik. Adik mengusap-usap bahunya. Kak Wa, tidak pernah menangis seperti ini. Dahulu, ketika Opah meninggal, dialah yang memujuk adik. Tetapi, sekarang keadaan sebaliknya.
                “Akak tunggu dia sejak sekolah menengah lagi, dik…” sayu sekali suaranya.
                “Akak, kalau dia dah tak sayang akak, tak mengapa… adik masih ada di sisi akak, ibu ayah masih ada… kami sayang akak…”pujuk adik.
                Tangisan ‘Ulya semakin surut. Lama-kelamaan, dia tertidur di atas riba adik. Adik masih setia bersamanya. Seketika, memori alam persekolahan terimbau sejenak. Dia tahu, kakaknya sudah lama memendam perasaan terhadap bekas tunangnya itu.
Imbas kembali
                Adik meletakkan basikalnya di tempat letak basikal sementara ‘Ulya membetulkan tudung labuhnya. Waktu persekolahan sudah hampir bermula. Mereka berdua sudah kalut hendak bergegas ke tapak perhimpunan.
                Mereka berdua segera bergegas ke tapak perhimpunan. Malang sekali, lagu sekolah sudah berkumandang menandakan sudah lebih lima minit perhimpunan bermula. ‘Ulya menarik tangan adiknya untuk menyorok di belakang tangga.
                “Akak, pergi jelah tulis nama. Bukan ada apa pun, demerit je…”adik sudah tidak selesa berada di bawah tangga.
                “Syuhh! Diam jelah…agak-agaklah nak buat macam itu. Hari ni kan perhimpunan mingguan. Mahunya kena sound dengan pengetua kat atas pentas tu? Tak naya?” ‘Ulya mengeraskan sedikit suaranya dalam nada yang rendah agar tidak didengari orang lain.
                “Memang dah naya pun…hehehe…”Iqbal sudah tersengih bersama buku nota kecilnya yang menjadi catatan nama pelajar yang terlewat.
                “Erk!!”mereka berdua sudah terkantoi!
                “Iqbal… tolonglah jangan tulis nama kami berdua… bukan sengaja lambat nih,”rayu ‘Ulya kerana dia tak mahu rekodnya yang bersih tanpa noda demerit tercalar.
                “Nak ke malaikat tulis nama aku kalau aku tak jalankan amanah?”hujah Iqbal mematikan kata ‘Ulya. Ish, mamat nih… memang padanlah jadi pengawas, skema! Pipi ‘Ulya dah merona merah kerana menahan geram dalam hati.
                Perhimpunan pun sudah tamat. Iqbal sekadar meninggalkan mereka dengan sengih jahat. Adik di sebelah sekadar membuntutinya. Tidak berani berkata apa-apa. Bimbang dimarahi pula. Adik tahu ‘Ulya sedang menahan geram.
                Tapi, hairan juga. Kenapa dia tinggalkan mereka tanpa mencatat nama mereka? Takkan terlupa pula? Ah, biarkan saja. Tanpa sedar, ‘Ulya tersengih sedikit. Adik mulai curiga. Kenapa pula dengan Kak Wa seorang ini? Dah buang tebiat, ke?
                “Kak Wa, tadi marah kemain, kenapa sengih pula ni?”tegur adik.
                “Adikku Uswatun Hasanah, kakak kamu ni sedang syok, tahu?” ‘Ulya tidak segan berkongsi perasaan dengan adiknya. Adik sudah ternganga. Tiba-tiba pula jadi macam ni? Ada wayar terputuskah? Atau fius dah melebur dek arus elektrik kegeraman yang tinggi?
                “Kantoi pun syok, ke?”adik masih hairan lagi. Hairan yang teramat.
                “Tak faham sudahlah,” ‘Ulya meninggalkan adiknya lalu menaiki tangga ke kelasnya. Adik pula tidak ambil pusing sangat. Kak Wa memang pelik. Dia meneruskan langkah ke blok menengah rendah.
                Keesokan harinya, ‘Ulya sengaja dating lewat lagi. Mana tahu akan kantoi lagi. Adik sekadar mengikut saja. Malas nak berbalah. Biarlah Kak Wa nak buat apa-apa pun. Dimerit pun tak member impak yang besar sangatlah. Perkara kecil saja.
                “Hai, ‘Ulya. Selalunya awal. Kenapa hari ni lambat?”soal Hafizah, pengawas yang bertugas.
                “Saja nak kena demerit lagi?”Hafizah bagai tidak percaya. Uswatul ‘Ulya yang dikenalinya sangat pantang kena demerit, hari ini lain pula perangainya.
                “Hmm, apa-apa sajalah, hari ini aku lepaskan kau-orang berdua. Bukan lambat sangat pun, lima minit je,”Hafizah memang tidak berapa tegas berbanding pengawas lain. Oleh sebab itulah, dia tidak dicemuh dan ramai yang menyenanginya. Bahkan dia juga otai juga kadangkala.
                “Kau bertugas seorang saja? Bukan kau bertugas sekali dengan Iqbal?”soal ‘Ulya.
                “Memanglah. Tapi, dia dah pindah. Semalam hari terakhir dia di sini. Dia dapat tawaran ke KISAS. Kau tak tahukah? Bukan dia seorang saja, ramai lagi yang dapat,”jelas Hafizah bersahaja.
                “Oh, begitu. Terima kasih, Fiza sebab tak ambil nama kami,”wajah ‘Ulya yang tadi ceria berubah keruh sedikit.
                Hafizah tidak ambil kisah. Dia terus berjaga di pintu pagar masuk sekolah. Adik perasan perubahan riak ‘Ulya. Langkahnya menjadi sedikit longlai. Dan, semalam, merupakan hari terakhir dia melihat Iqbal.
Beberapa tahun kemudian…
                Waktu kerja sudah tamat. ‘Ulya melangkah masuk ke dalam kedai serbaneka di sebelah pejabatnya untuk membeli sesuatu yang dapat melepaskan tekanan akibat bebanan kerja. Mana tidaknya beban makin bertambah, dia sudah dinaikkan pangkat sebagai editor majalah terbaru Syarikat Al-Amin. Pangkat naik, kerja pun meningkatlah.
                Peti ais krim dibuka. Dia memilih ais krim Magnum. Biarlah mahal sekalipun, asalkan puas lidah merasa. Bak kata pepatah, alah membeli menang memakai, bukan? Dia membayar di kaunter. Dia membuka pintu kedai. Seorang pemuda pula ingin masuk. Dia memberi jalan. Kakinya berhenti melangkah apabila pemuda tadi menegurnya.
                “Err, cik… nanti dulu.”
                “Ya, ada apa?” ‘Ulya mengalih pandangannya bertentang dengan pemuda tersebut.
                “Ini, dompet cik tercicir… Errmm, saya rasa saya kenal dengan cik…” si pemuda cuba mengecam.
                “Maaflah, saya dah lambat ni, nanti cair pula ais krim saya ni. Terima kasih, ya? Assalamua’laikum,” ‘Ulya memang hendak cepat. Malas nak berbual pula. Nanti, kempunan nak menikmati ais krim.
                “ ‘Ulya… kau memang tak pernah berubah,” si pemuda menggelengkan kepala.
                Dia bersyukur kerana dipertemukan kembali dengan wanita itu. Ya Rabb, semoga, ada lagi rezekiku untuk bertemu dengannya. Harapan dalam hati disimpan kemas. Sesungguhnya, biarpun dapat bertemu sesingkat itu, sudah memadai baginya.
---------------------------  
                Majlis pelancaran Majalah Hawa Intelek berakhir juga. Walaupun ringkas, namun, amat berkesan pada ‘Ulya. Buat julung kalinya, Majalah Hawa Intelek Isu Perdana dirasmikan oleh pengarah syarikat Al-Amin. Rasa syukur memuncak dalam hati. Tidak pernah terjangka di benaknya bahawa dia dapat menjayakan sebuah majalah bersama kolumnis yang lain. Sesungguhnya, dia berasa sangat bertuah pada hari ini.
                “Tahniah, ‘Ulya. Semoga majalah ini akan memberi manfaat kepada semua muslimah yang membacanya. Saya sangat berpuas hati dengan usaha kamu dan krew majalah yang lain,”ucap Haji Redzuan, pengarah syarikat Al-Amin kepadanya.
                “Alhamdulillah. Terima kasih, Tuan Haji. Majalah ni pun takkan Berjaya tanpa sokongan Tuan Haji,”balas ‘Ulya.
                Telefon bimbitnya berdering. Dia meminta diri seketika untuk menjawab panggilan. Nombor adik tertera di skrin telefonnya. Senyuman terukir lalu dia menjawab panggilan tersebut.
                “Assalamua’laikum, Kak Wa. Majlis pelancaran dah habis ke belum?”soal adik dengan nada sedikit girang.
                “Wa’alaikumsalam. Dah habis. Haih, semalam demam bukan main monyok saja. Kenapa hari ni dengar macam ceria gembira ni, ada apa-apa ke? ”usik ‘Ulya.
                “Kak Wa tahu tak adik jumpa siapa tadi di klinik?” adik cuba bermain teka-teki.
                “Siapa? Bakal adik ipar Kak Wa ke?”usik ‘Ulya lagi.
                “Ish, ke situ pula. Sebenarnya, Adik jumpa…” adik sengaja menghentikan ayatnya supaya ‘ulya dapat berteka-teki lagi.
                “Siapa? Beritahulah!”desak ‘Ulya.
                “Iqbal. Kak Wa ingat tak lagi dengan dia?”hampir terjatuh telefon bimbitnya apabila mendengar penjelasan adiknya itu.
                “Kak Wa…”tegur adik lagi.
                “Ya… Kak Wa masih ingat,” ‘Ulya sedikit gugup.
                “Rupa-rupanya, dia dah jadi doktor sekarang ni. Dia dah buka Klinik sendiri… Ehem, dia bujang lagi, tahu?” giliran adik pula mengusik.
                “Adik, Kak Wa nak kena balik pejabat ni, Assalamua’laikum,”talian dimatikan sebelum sempat adik menjawab salamnya.
                Ya Rabb, penantianku tidak sia-sia… Sesungguhnya, hari ini merupakan hari bertuah buat dirinya!
-----------------------  
                Iqbal sengaja datang lagi ke kedai serbaneka berdekatan pejabat ‘Ulya. Harapannya, semoga dapat bertemu dengan ‘Ulya lagi. Mujurlah dia mendapat maklumat mengenai ‘Ulya melalui Ana, adik ‘Ulya semalam.
                Dia sudah bertekad, biarlah ‘Ulya akan kata dia gila sekalipun. Dia bertekad ingin melamar ‘Ulya. Dia sudah lama ingin melakukan hal yang demikian. Sudah bertahun-tahun lamanya dia menunggu saat ini. Kelibat ‘Ulya muncul setelah dia keluar dari pejabatnya. Iqbal cuba mengejarnya.
                “Cik ‘Ulya!”
                “Erk, siapa pula ni?” ‘Ulya mengalihkan pandangannya. Mamat ini lagi?
                “Awak lagi? Macam mana awak kenal saya?”soal ‘Ulya. Kurang senang.
                “Kan saya dah cakap, saya rasa saya kenal awak. Awak tak kenal sayakah?” ujar Iqbal.
                “Maaflah, encik. Saya rasa saya tak kenal,” ‘Ulya cuba menyambung langkahny semula.
                “Eh, nanti dulu… Saya Iqbal… awak tak ingat ke?” ‘Ulya tersentak. Pipinya yang gebu mulai berubah rona.
                “Iqbal? Awak Iqbal yang sama SMKA dengan saya dulu?” ‘Ulya mengalih semula padangannya.
                “Ya, sayalah Iqbal… Saya sebenarnya, ada hal nak cakap dengan awak… lagipun, kita dah lama tak berjumpa, kan? Apa kata saya belanja awak kat restoran sebelah?” ajak Iqbal.
              “Maaflah, saya bukan tak sudi. Tapi, awak tahu kan, tak manis rasanya dipandang orang. Nanti apa pula orang kata…” ‘Ulya cuba menolak.
                “Eh, taka pa. Saya rasa ada orang yang boleh teman kita, dia dah tunggu di restoran tu,”jelas Iqbal. Sedaya upaya ingin mengajak ‘Ulya makan bersamap-sama.
                “Siapa?” kening ‘Ulya terangkat sebelah.
                “Kak Wa…”tegur adik dari belakang. Ya Rabbi, bertuah punya budak. Dah rancang awal-awal rupanya…
                “Adik? Memang kau-orang dah rancang awal-awal, ke?”
                “Akak rasa? Jomlah, adik dah lapar ni. Alang-alang ada orang nak belanja,”sengih adik penuh makna. Dia menarik tangan ‘Ulya untuk ke restoran tersebut.
                Mereka memesan makanan dan minuman sebelum memulakan perbualan.
                “Jadi, macam mana life sekarang ni? Ana kata awak dah jadi editor, kan? Tahniah,” Iqbal memulakan bicara.
                “Alhamdulillah, rezeki dah murah,”jawab ‘Ulya sepatah. Adik di sebelah hanya diam saja. Memberi ruang untuk mereka berbual setelah sekian lama tidak berjumpa.
                “Kalau boleh, saya nak Tanya, awak masih berpunya ke belum…” Iqbal cuba meluahkan hasratnya.
                “Saya rasa benda tu terlalu peribadi. Kenapa awak Tanya?” ‘Ulya sedikit gelisah.
                “Kalau belum, saya ingat…” Perbualan terheenti seketika apabila pelayan menghantar makanan kepada mereka.
                “Ingat apa?” soal ‘Ulya setelah pelayan restoran meninggalkan mereka.
                “Saya ingat saya nak melamar awak…” sekali nafas saja Iqbal menuturkan. Hampir terjatuh garfu di tangan adik yang dililit dengan mi goreng itu. Amboi, dah gaya macam akad nikah saja.
                “Sebelum itu, saya nak Tanya, awak dah kahwin ke belum? Bukan apa, manalah tahu kalau…”
                “Tak, saya masih single. Saya sebenarnya dah lama tunggu awak…” jujur pengakuan Iqbal.
                ‘Ulya terkedu. Si adik lagilah tidak menyangka. Memang dia mengetahui niat Iqbal, tapi tidaklah dia sangka Iqbal akan sejujur itu.
                “Iqbal… saya… perlukan masa. Sebaik-baiknya, awak jumpalah dengan ibu ayah saya. Saya tak mahu membelakangkan mereka…”
                “Maknanya, awak sudilah, ya?” Iqbal seakan ingin melompat saja.
                “Eh, bukan macam itu. Saya tak kata saya setuju lagi. Tapi, berilah masa untuk saya berfikir dahulu…” kata-kata itu menjadi detik permulaan impian yang bakal direalisasikan.
-------------------------- 
                Tapi, kini hanya tinggal kenangan. ‘Ulya sendiri tidak faham kenapa Iqbal sanggup memutuskan pertunangan ini. Padahal, persiapan sudah dirancang. ‘Ulya berteleku di atas sejadah ketika subuh masih lagi berkunjung tiba. Tahajjud merawat lara hatinya. Seluruh jiwa raga diserahkan kepadaNya.
               Mungkin, sudah takdir buat dirinya. Atau mungkin, dia semakin lalai dengan nikmat kurniaan Ilahi. Baru dia tersedar, sejak kebelakangan ini, dia asyik sibuk dengan urusan perkahwinan yang dirancang dan pekerjaan. Baru dia tersedar yang hari ini, dia kembali dalam tahajjud kepadaNya. Sedangkan dia telah meninggalkan rutin tersebut seketika.
                “Ya Allah, aku ingin kembali padaMu…”rintih ‘Ulya. Mungkin Allah mengujinya supaya dia kembali mengingati Dia yang Maha Esa.
                Telefon bimbit berdering lagi. Dalam kesuraman cahaya biliknya, dia mengangkat telefon biarpun terbit kecurigaan dalam hatinya. Siapa pula telefon tengah-tengah malam begini?
                “Assalamua’laikum, ‘Ulya. Ini umi Iqbal. Maaflah mengganggu kamu. Iqbal kemalangan!” degup jantungnya berkencang hebat.
                “Umi…” tiada ungkapan yang dapat diucapkan saat ini. Dia bergegas ke hospital. Rumah terpaksa ditinggalkan. Pesanan sudah diletakkan di atas meja di ruang tamu supaya ibu ayahnya tidak risau dengan pemergiannya itu.
                “Iqbal… maafkan ‘Ulya…” hatinya menangis. Dia tenggelam dalam perasaannya. Sebak di dada tidak tertahan lagi. Doa dipanjatkan dengan bersungguh-sungguh.
----------------------  
                Surat yang dihulurkan oleh umi dicapai. Tangannya menggigil sedikit. Surat daripada Iqbal buatnya. Dia membuka lalu membaca warkah tersebut.
Salam wbt,
Buat Uswatul ‘Ulya, wanita solehah yang pernah kuimpikan sejak dahulu lagi. Wanita solehah yang pernah kulamar menjadi teman pelengkap separuh agamaku. Pertama sekali, maafkan daku kerana melukai hatimu. Tidak kubermaksud melakukan tindakan seperti itu.
Maafkan daku sekali lagi, ‘Ulya. Kubimbang, andai terjadi sesuatu yang buruk padaku, tidak kutak sanggup melihat dikau bersedih. Biarlah, kau membenciku sekalipun, kerana aku lebih rela daripada melihat kau menderita.
Andai ada jodoh antara kita, insyaAllah, akan kupenuhi janjiku padamu. Semoga Allah mengurniakan yang terbaik buatmu. Ingatlah, Allah sentiasa bersamamu.
Maafkan daku,
Iqbal.
                Saat ini, tangisan ‘Ulya semakin lebat, lebih hebat daripada hujan yang tidak berhenti-henti mencurah ke bumi di luar sana. Hatinya tersentap membaca warkah daripada Iqbal. Seakan-akan, dia sudah mengetahui apa yang akan berlaku pada dirinya.
------------------------
                “Iqbal… maafkan ‘Ulya,” tangisnya di sebelah Iqbal yang terlantar koma. Sudah hampir seminggu Iqbal tidak sedarkan diri.
                “ ‘Ulya… ‘Ulya kena kuat, ya?” pujuk umi. Tubuhnya rebah dalam pelukan umi.
                “Umi, ‘Ulya rasa bersalah sangat sebab tuduh Iqbal macam-macam. ‘Ulya tak sangka dia buat semua ini kerana sayangkan ‘Ulya… umi… ‘Ulya tak mampu, umi…”
                “Jangan begini, ‘Ulya. Kalau ‘Ulya sedih, umi lagi sedih… kita jangan berhenti berharap kepada Allah, ya, nak?”belai umi. Walaupun umi bukanlah ibunya, namun, dia sudah menganggap umi sperti ibunya sendiri biarpun dia bukan lagi bakal menantu umi.
                “Ingat ‘Ulya, setiap ujian mendekatkan kita padaNya. Allah tidak akan menguji kita jika kita tidak mampu, sayang,”pujuk umi lagi.
                Wanita yang berusia itu begitu tabah menghadapi ujian tersebut. Hidup ini bagai sebuah bahtera di tengah lautan, kadangkala tenang, kadangkala tidak. Dalam keheningan pagi ini, mereka masih setia di sisi Iqbal.
                Umi beredar ke surau hospital untuk bersolat sunat Dhuha. ‘Ulya sudah tertidur dek keletihan di sebelah katil Iqbal.
                Jari- jemari Iqbal mulai bergerak. Dia membuka matanya perlahan-lahan. Akhirnya, terlihatlah keadaan dalam wad tersebut. Dia cuba membuka suara sedikit demi sedikit. Dia melihat ‘Ulya di sisinya.
                “ ‘Ulya…” ‘Ulya tersedar apabila Iqbal mula bersuara.
                “Ya Allah… Iqbal… syukur Alhamdulillah… Iqbal dah sedar… Umii!!” wajah sugul ‘Ulya sudah bertukar menjadi ceria. Pantas saja dia memanggil umi yang baru memasuki wad tersebut.
                “Umi, Iqbal dah sedar…” ‘Ulya memimpin tangan umi supaya mendekati Iqbal.
                Iqbal tersenyum sedikit. Dia masih belum pulih sepenuhnya. Umi segera memeluknya. Ubun-ubunnya dikucup penuh kasih. Air mata kesyukuran menitis jua. ‘Ulya terharu.
                “Umi, maafkan Iqbal… kerana Iqbal dah memalukan umi depan keluarga ‘Ulya… Iqbal bukan anak yang baik, umi…”luah Iqbal. Air matanya mulai mengalir. Pantas disapu oleh umi.
                “Jangan cakap begitu, nak. Iqbal tetap anak umi yang umi sayang…” kepala Iqbal diusap-usap.
                “Uswatul ‘Ulya. Maafkan saya…”
                “Tak. Awak tak bersalah, Iqbal. Saya yang patut minta maaf. Saya salah sangka dengan awak…” ‘Ulya menafikan kesalahan Iqbal.
                “Siapa yang tidak akan salah sangka jikalau orang memungkiri janji terhadapnya, ‘Ulya. Saya minta maaf kerana buat awak begini.  Saya nak tunaikan janji saya, sudikah awak terima saya semula?” sekali lagi, Iqbal melamar ‘Ulya.
                “Ya…” jawab ‘Ulya dengan titisan air mata kesyukuran.
                “Alhamdulillah… semoga Allah memberkahi hidup anak-anak umi,” ucap umi sambil mendakap ‘Ulya pula.
---------------------------------------------  
                “Aku terima nikahnya, Uswatul ‘Ulya bt Abdullah, dengan mas kahwinnya RM 20 tunai!”
                Akhirnya, hubungan yang terputus kembali bertaut. Iqbal dan ‘Ulya diijabkabulkan dengan takdir yang sungguh indah ketetapan dari Ilahi buat hamba-hambaNya yang soleh dan solehah. Ujian hidup mengajar mereka nilai cinta agung kepada Rabb sekalian alam.
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa):”Ya Rabb kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami bersalah. Ya Rabb kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Rabb kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir. 
Al-Baqarah: 286

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...