BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, November 30, 2011

Perasaan Itu


Perasaan
Apakah nilainya sesuatu perasaan? Hakikatnya, manusia difitrahkan dengan pelbagai perasaan. Sedih, Gembira, Marah dan sebagainya. Perasaan, perkara abstrak yang sangat besar impaknya. Perasaan, tak mampu dilihat dengan mata kasar, hanya tindakan melalui perasaan itu yang mampu kita lihat, bukan?
                Kadangkala, perasaan itu tersembunyi daripada tindakan. Sebagai contoh, jika seseorang sedang marah, dia tidak menunjukkan perasaan marah melalui tindakan. Dia hanya simpan. Dan, kita, yang melihatnya tidak terfikir pun dia sedang marah.
                Perasaan itu ghaib bukan? Perasaan, sesuatu yang perlu diambil berat dan dijaga sebaik mungkin. Dalam berbagai-bagai jenis perasaan, ada satu perasaan yang sangat indah. Cinta. Dalam pelbagai perasaan, hanya ada satu yang sangat buruk. Benci. Dalam kebanyakan perasaan, hanya satu yang sukar dimiliki. Tenang. Dalam semua perasaan, hanya ada satu yang sangat penting. Syukur. Dalam dunia ini, betapa susahnya memiliki rasa bahagia. Kerana bahagia itu hanya dimiliki apabila syukur membuahkan redha. Redha dengan qada’ dan qadar Allah SWT.
                Orang yang memiliki semua perkara yang diidam-idamkan, belum tentu tenang. Kekayaan, kecantikan rupa paras, kepandaian, dan darjat kadangkala nilainya kosong bagi mereka yang tidak merasai ketenangan.
                Hanya jiwa yang dilimpahi nur Ilahi akan sentiasa merasai ketenangan. Siapakah yang memilikinya? Kalau bukan mereka yang bersyukur. Bersyukur dengan meredhai kehidupannya. Bersyukur dengan memelihara hubungan dengan Allah dan yang memelihara hubungan dengan manusia. Berbahagialah sesiapa yang sentiasa bersyukur.
Kerana bersyukur, dia bersabar dengan ujian yang menimpa.Kerana dia tahu walau dia sudah hilang segalanya, dia masih ada iman. Dia masih ada Allah di hatinya.
Kerana bersyukur, dia bertanggungjawab, memelihara amanah walau seberat mana pun yang dipikul.
Kerana bersyukur, dia memiliki ketenangan jiwa yang tinggi nilainya.
Kerana bersyukur, dia menjadi orang yang bahagia di dunia dan di akhirat.
                Semoga kita memperoleh perasaan syukur seperti yang demikian. Berusahalah memilikinya. Kerana, syukur amatlah payah untuk dicapai. Sudah dicapai, perlu dipelihara. Kerana syukur, akan susut juga jika kita tidak mempertahankannya. Ayuh, mari kita jadi orang yang bersyukur!
Dan nikmat tuhanmu yang manakah mahu kamu dustakan?-Surah Ar-Rahman

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...