BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, November 29, 2012

Ibu Bapa wajib celik IT!

As  salam wbt.

Alhamdulillah, semalam Cik Mai bersama mak dah selesai menghadiri seminar yang dianjurkan oleh Biro ICT Puspanita Pulau Pinang, "CYBER PARENTING:WHAT WE DON'T KNOW ABOUT THE DARKSIDE OF INTERNET"



Banyak sangat input-input yang best dalam seminar tu. Baru Cik Mai tau yang dunia ICT bukanlah selamat sangat pun. Kita menganggap dengan adanya password dan antivirus dah cukup selamat dah. Pada hakikatnya, sistem ICT sebenarnya di belakang tabirnya ada pakar dalam pencerobohan! Senang cerita, godam atau hacking tu perkara yang perlu diambil serius dalam menjaga data-data kita.

Bukanlah dunia ICT tu buruk seburuk-buruknya tapi setiap perkara di dunia ada baik & buruknya. Dan, daripada penerangan panel dalam seminar, rupa-rupanya di Malaysia ni, mentaliti masyarakat kita sangat rendah. Cuba bayangkan, kita nak search gambar kan... bukan kita taip keyword lucah tapi hasilnya, apa yang kita jumpa ialah gambar tak senonoh... contohnya, cuba search budak sekolah... yang keluar muka budak sekolah merokok, berkhalwat buat seks dan sebagainya.

Seperkara yang menarik lagi, budaya lepas tangan ibu bapa. Dalam sedar atau tidak, ramai ibu bapa yang telah bersikap lepas tangan... sebagai contohnya, beli smartphone untuk anak-anak sedangkan diri sendiri pakai Nokia 3310 je.

Satu lagi sebab kenapa ramai ibu bapa lepas tangan dalam isu ICT ni, diri sendiri tidak mengambil inisiatif untuk terlibat dalam dunia ICT secara lebih dekat. Dalam kalangan anak-anak remaja hari ini, Cik Mai akui sebagai remaja, kami lebih jauh maju dalam bidang ICT berbanding ibu bapa sendiri. Jadi, jangan hairan kalau seorang anak yang depan mata mak ayahnya... alahai solehahnya, sopannye, baiknye... dan banyak lagi 'nye'2 dia tu... hah, hati-hatilah!

Ada kes di mana seorang anak yang sangat baik depan ibu bapanya, bertudung labuh, bercakap pun sopan je... dalam diam di dunia ICT dialah yang layan video seks lesbian... sebagai ibu bapa, boleh kita bayangkan ke tidak? Urut dada jelah~ Satu lagi kes, si anak jual video lucah kepada kawan-kawan sekolah dengan handphone... dia rakam video guna henpon lepastu transfer guna bluetooth (betul ke eja ni? ah, biaqlaa)... nak tau dia rakam apa? Dia rakam kakak dia mandi!




Pernah terfikir tak, kenapa Facebook, Twitter dan banyak lagi laman sosial yang free untuk diguna... hakikatnya, kita memang tak bayar duit, tapi kita bayar dengan data-data kita. Sekali kita upload apa-apa gambar, walaupun dah delete data tu still ada dalam back up server Facebook di US sana tu... terkejut? itulah yang Cik Mai rasa...

Jadi, sebenarnya nak share banyak lagi tapi rasanya cukuplah setakat tu saja... Ibu Bapa, tolong jangan ketinggalan zaman supaya anda dapat mendidik dan menyelamatkan masa depan anak-anak... ingat, merekalah pemimpin suatu hari nanti...mana mungkin kita mahu pemimpin yang sebegini rupa...sekian-Cik Mai

Wednesday, November 28, 2012

Mata Pemerhati

As salam wbt.



Cik Mai sekarang ni terfikir nak tulis apa la entri kali ni... kemudian, terdetik pula nak cakap pasal "Mata Pemerhati"

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan (pada) pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran. (Al- Baqarah:164)

Ok, kita straight to the point apa yang Cik Mai nak kongsikan... sekadar pendapat:

1. Tentang Akal

Sejak belakangan ini, Cik Mai sedar bahawa dalam masyarakat kita, ada golongan yang tidak menggunakan akal sebaik-baiknya dan ada yang menggunakannya sampai tahap 'bertuhankan akal'.
Dalam hidup ini, kita perlu sentiasa berfikir. Budaya berfikir inilah budaya umat-umat yang berjaya seperti umat terdahulu. Takkan kita tak kenal Ibnu Sina, Al-Khawarizmi dan sebagainya, kan? Semuanya bermula dengan firman Allah Taala iaitu "Iqra' ".  Bak kata orang putih "You are what you eat, you are what you READ!" Kalau makanan ialah keperluan fizikal, maka pembacaan merupakan keperluan mental yang sama tarafnya dengan makanan.

Malangnya, kita diserang secara dalaman dengan serangan Hedonisme (budaya suka berseronok). Kita bukanlah menentang fitrah manusia itu perlukan hiburan. Tetapi, fitrah yang dilayan dengan melampau akan menjadi fitnah. Sehingga budaya hedonisme ni telah meruntuhkan empayar yang hebat dan berlarutan dalam kehidupan masyarakat sehingga hari ini. Maka, wujudlah golongan yang malas berfikir dan suka berseronok semata-mata. Sikap suka mengkaji masyarakat terdahulu terkubur saja dalam diri sebahagian besar umat manusia kini.

Tetapi, apabila budaya berfikir tidak berlandaskan matlamat yang betul, maka wujud pula golongan yang bertuhankan akal semata-mata. Sebagai manusia, kita mempunyai batasan dalam kehidupan. Sebagai contohnya, tidak mungkin ada dalam dunia ni manusia yang menguasai dengan pakarnya semua ilmu.

Begitu juga dalam tahap berfikir, perlu berlandaskan matlamat iaitu 'mengagungkan kebesaran Allah'. Apabila sesuatu persoalan yang muncul, kita tidak boleh melayannya dengan logik akal semata-mata. Kerana pemikiran yang tidak berlandaskan wahyu ini, akan menjadi racun! Tidak hairanlah, wujudnya golongan seperti Islam Liberal, Sekularisme dan Atheist kerana racun ilmu yang berlandaskan logik akal semata-mata.


2. Melayan Ilmu dengan Mengkaji & Merujuk

Dalam menerima sesuatu ilmu, perlu ada kesahihan dan perbandingan yang tepat. Jadi, apa yang perlu kita buat untuk mendapatkan kesahihan sesuatu ilmu? Jawapannya kita perlu mengkaji. Kita tidak boleh menerima sesuatu ilmu itu secara bulat-bulat tanpa rujukan yang sahih. Sebagai contohnya, ilmu berkenaan hukum hakam agama, rujukan yang paling utama ialah Al-Quran dan As Sunah. Kemudian, rujukan lain dalam ilmu agama ialah Ijma' Qias dan Uruf.

Dan, merujuk pula pada orang ahli dalam bidang tersebut. Kebanyakan Islam Liberal yang muncul pada hari ini ialah mereka yang terlalu ghairah menuntut ilmu agama tanpa guru dan menafsirkan Al-Quran mengikut nafsu. Lebih dahsyat lagi mereka mempersoalkan kenapa perlu menerima hadis... Nauzubillahi min zalik!

Dalam aspek ilmu yang lain pula, seperti Sejarah... juga kita tidak boleh melayan fakta sejarah dengan terus menghadamnya. Sejarah telah banyak diselewengkan dan dipalsukan. Maka, apabila kita mempelajari ilmu berkaitan sejarah, perlu ada kajian untuk memastikan kita memiliki ilmu yang benar.

Sikap mengkaji inilah yang membangunkan sesuatu empayar. Tanpa kajian, tidak mungkin kita akan mendapat fakta yang tepat. Seperti mana teori yang dikemukakan dalam bidang astronami, tokoh-tokoh ilmu mengatakan matahari mengelilingi bumi sedangkan setelah dikaji, ternyata bumi yang mengeliligi matahari.

3. Sikap Mudah Terpengaruh dan Taksub

Sikap ini membunuh kebenaran ilmu. Sebagai manusia, kita tidak terlepas dengan pengaruh. Tetapi, kita hendaklah berhati-hati dengan pengaruh ilmu agar tidak termasuk dalam golongan yang taksub. Golongan yang taksub akan menolak kajian yang adil sebaliknya mereka akan berusaha mencari hujah untuk membenarkan ketaksuban mereka terhadap sesuatu perkara, ibarat menegakkan benang yang basah.

4. Membenci Ilmu

Yang terakhir, sikap yang paling bahaya dalam diri kita ialah membenci ilmu. Sikap ini akan mempersempitkan pemikiran kita semata-mata. Jangan jadikan alasan tidak minat terhadap ilmu tersebut sebagai asbab untuk kita menolak untuk mempelajari sesuatu ilmu. Sesungguhnya, inilah kerugian yang amat besar dalam jiwa manusia kerana sikap ini juga punca kemusnahan kepada sebuah kegemilangan ilmu dalam empayar yang sangat gah!

Konklusinya, jadikan mata kita mata pemerhati dengan berfikir mengikut batasan akal dan mengkaji. Yang paling penting, jangan pernah membenci ilmu.

Sekian-Cik Mai


Friday, November 23, 2012

Video ini telah dipadam di Youtube

Sekadar nak share, sebab dalam Youtube, dah berkali-kali video ni dipadam walaupun diupload oleh user yang berlainan.

Wednesday, November 21, 2012

Teruskan Membela Saudara Kita Bersama-sama!

As salam wbt.
Pagi ini Cik Mai on FB dan alhamdulillah, Gencatan Senjata telah berkuatkuasa... bermakna Israel telah kalah. Alhamdulillah! Tapi, jangan berhenti mendoakan Palestin, Jangan Lupa saudara kita di Syria...dan seluruh umat Islam di seluruh dunia!

Sepintas lalu kemenangan Palestin...
Alhamdulillah.

Persetujuan untuk memulakan Gencatan Senjata telah dicapai antara Rejim Zionis Laknatullah & Tentera Al-Qassam yang dirahmati Allah... Antara syarat gencatan senjata ialah: 

1: Israel akan menghentikan semua serangan udara,

 darat dan laut.

2: Membuka pintu sempadan dan sekatan serta memudahkan pergerakan rakyat dan penghantaran barangan keperluan.

3-Hamas dikehendaki memberhentikan serangan roket ke Israel.

3-Benteng yang mengelilingi Gaza diturunkan dan akan dilaksanakan selepas 24 jam genjata berlangsung.

4-Mesir akan menjadi penjamin bagi genjatan senjata ini.

Diharap Dr. Muhammad Mursi selaku Presiden baru Mesir yang digeruni Yahudi Laknatullah tidak akan berlembut dengan Yahudi Laknatullah sekiranya pihak Yahudi Laknatullah melanggar perjanjian Gencatan Senjata yang telah dipersetujui.

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar...!!!

Sumber:
Berita Al-Jazeera









Tapi, jangan kita hentikan boikot, sumbangan kerana masih ada rakyat Gaza yang menderita kesakitan, masih ada nyawa yang di hujung tanduk, masih ada dalam kalangan emreka yang kelaparan... yang penting, doa kita jangan bermusim... Mudah-mudahan gencatan senjata ini tak dicabuli...

Rakyat dunia telah bangkit membela Palestin,
Mesir pun dipimpin seorang Hafiz,
Malah tentera Al-Qassam telah menunjukkan taringnya,
Ketakutan & kegerunan melanda Israel...

Mudah-mudahan kemerdekaan akan dikurniakan kepada Palestin...

Seharusnya kita pula memiliki seorang Hafiz sebagai pemimpin...
Tapi, syaratnya ingin mendapat seorang pemimpin yang soleh, perlu ada rakyat yang soleh juga...

"Pengorbanan bukan bandingan, Anugerah tiada tandingan!"
-Cik Mai

Monday, November 19, 2012

Usaha itu... Subjektif!


As salam wbt,
Tadi Cik Mai baru saja terima private message(PM) di FB daripada kawan lama... (tapi Cik Mai anggap dia best friend).
Katanya dia nak minta tolong untuk buat tuisyen dengan Cik Mai. Cik Mai faham keadaan dia yang tak berapa berkemampuan.

Seketika Cik Mai sangat terharu, kerana mungkin dah lama tak dengar khabar berita, lama tak berjumpa dengan dia. Tahun depan SPM. Ya, semua orang yang satu tingkatan dengan Cik Mai nak berjaya. Tapi, kita jangan anggap kita ambil tuisyen yang berbayar tu, oh, ok, fine... aku dah berusaha dengan duit, dengan masa, mustahil la aku tak score, kan?


Dan kita jangan anggap usaha untuk berjaya itu hanya dengan jalan duit dan masa...
Hakikatnya, usaha itu subejktif... macam-macam cara ada... yang penting usaha itu ada nilai yang disalut bersama.
Macam kawan Cik Mai ni, dia berusaha cari kawan-kawan yang boleh tolong dia.

Cuma,
Cik Mai sedikit terkilan tak dapat bantu dia dalam subjek macam Chemist. Tak apalah, dia kata dia tak kisah.

Kisah adiknya, lagi best kalau nak tahu...
Sewaktu adik kawan Cik Mai tu darjah 6, ditakdirkan Allah basikal family diorang kena curi. Dan, diorang satu family ni terima jelah keadaan tu kan. nak buat macam mana... tak ada rezeki. Dan, apa yang adik dia buat masa tu... Adik dia sedaya upaya bangun seawal 5 pagi. Bersiap-siap. Lepas tu, sementara nak tunggu Subuh, bukak buku study mana yang patut. Selepas solat, berjalan kaki ke sekolah yang jaraknya boleh tahan jauh juga la. Kalau ada basikal tak ada la susah sangat kan? Daripada rumah merentas jambatan dan jalan raya... Sampai sekolah elok-elok je nak masuk perhimpunan.

Dan,
Adik dia berjaya dapat 5A dalam UPSR. Memanglah kalau setakat UPSR, siapa nak kisah sangat. Tapi, the point yang Cik Mai nak ceritakan sekarang ni, usaha dia tu bersalut pengorbanan. Adik dia menjadi kebanggan cikgu kat sekolah tu dan menjadi contoh junior di sekolah tu... Adik Cik Mai junior kat sekolah tu, dia la yang cerita kat Cik Mai.

Pernah satu hari tu, seorang cikgu ni, jiran family kawan Cik Mai tu... dia try la berjalan dari rumah ke sekolah. Sampai saja sekolah, berpeluh gila!

Satu yang mengkagumkan Cik Mai, usaha family diorang ni bersalutkan pengorbanan. Semoga Allah memberkati pengorbanan family ni. Teringat Nik Nur Madihah... hmm, semoga kawan Cik Mai tu pon berjaya macam Nik Nur Madihah.

Yang penting, bergantunglah pada Allah walau apa pun nilai usaha kita.

pssttt: Jangan lupa berdoa untuk saudara kita di Gaza, Syria, Jordan dll.
Sekian-Cik Mai

Thursday, November 15, 2012

Kisah Awal Muharam

Assalamualaikum wbt..
Hari ni, Cik Mai nak konsgsi keratan akhbar Berita Harian. Boleh beza kan?




Kalau beginilah situasinya, bukan setakat barang Israel kita kena boikot... tapi maksiat, zina... semua tu kena boikot!

Dan, satu lagi berita yang Cik Mai dapat daripada News Feed di FB,
Bantuan dah sampai ke Gaza... Alhamdulillah, cepat sungguh bantuan Allah.


Semoga Allah memberkati usaha dan para sukarelawan ke Gaza. Kita di sini teruskan berdoa, insyaAllah...
#SaveGaza

sekian-Cik Mai




Wednesday, November 14, 2012

Isu Umat & Isu Kita

Assalamualaikum wbt,

Sepanjang cuti ni, Cik Mai rasa update kat blog just simple-simple saja, tapi kali ini, Cik Mai akan mengulas panjang jugak ar...

Seperti yang kita semuaaa tahu, hari ini (15/11/12) Awal Muharam. Dan, semasa Cik Mai buka facebook awal pagi tadi, ada berita tergempar yang Cik Mai dapat melalui link page yang Cik Mai join, tentang seorang tentera Palestin yang baru saja syahid dalam tempoh kurang 24 jam semasa serangan Israel laknatullah ke atas Gaza. Daripada sumber yang diperoleh, beliau baru saja pulang daripada haji 5 hari lepas...


Ini ialah gambar Ketua Panglima Briged al-Qassam, as-Syahid Ahmad al-Ja'bari yang baru saja terbunuh tadi. Beliau baru pulang dari menunaikan haji 5 hari yang lalu. Allahu Akbar!

Itu isu umat... serangan ke atas Palestin.

Berbalik pada apa yang ingin disampaikan oleh Cik Mai. Isu kita. Kita sebagai umat Islam di dalam sebuah negara Malaysia.
Bagi Cik Mai, memang patut kita bersemangat berkobar-kobar untuk mendoakan umat Islam di luar sana, yang ibarat satu jasad dengan kita. Jadi, apa tugas kita?

1. Doa
2. Infak harta
3. Hack website Israel (huahaha...)
4. Boikot...


Ya, yang ketiga susah sikit kan? Cik Mai juga begitu.
 Kadang-kadang makan juga McD... beli juga Pepsi...Tapi, kita mesti berusaha, doa & infak harta saja tak cukup. Ok, sekarang, ada tips yang boleh kita amalkan.

1. Mencari produk yang lebih kurang dengan produk seperti McD. (cth: Ayamas)

2. Boikot dulu jenama Israel yang kita jarang beli (cth: Starbuck)

3. Kemudian, boikot jenama makanan segera (cth: McD)... tak kan kita selalu sangat makan makanan segera unless kita keluar shopping ke tengok wayang...kan?

 4. Baru boikot barangan harian (cth: Milo)... huh, biar betul? Rujuk tip no.1... ada je yang lagi sedap daripada Milo... Vico, lagi sedap! lagi murah! Jenama M'sia pulak tu! (ok, stop promote!)

5. Mujahadah...

Tapi, kalau dah ada orang beli bagi kat kita, janganlah kita pulak tolak dengan alasan boikot... sebab? Dia dah beli dah pon... kita tolak pon duit dah dapat kat penjual tu... lagi satu, kecil hati orang yang bagi barang tu kat kita. Itu sedikit sebanyak tip yang berperingkat la.

Isu dalam negara pula...

Cik Mai baru saja habis menonton WHI di website tonton... tajuk dia  "Gugur Janin pada Usia Remaja"ini satu lagi isu...

 Cik Mai agak bengang la bila tengok warta berita, baca surat khabar... benda yang tak serius digembar-gemburkan... asyik berbalah saja politik ni... padahal, isu masyarakat yang semakin membarah seolah-olah tak ambil kisah! Isu dunia apatah lagi... Kawan-kawan Cik Mai pernah tanya detail tentang Syria, Rohingya... Cik Mai jelaskanlah apa yang Cik Mai tahu melalui pembacaan di Internet... ternyata, masih ramai dalam kalangan kita yang tak tahu sangat tentang isu-isu dunia ni. Nasib baik ada internet..huh!Ok, sekarang, Cik Mai nak kongsi pesanan Ustazah Hafizah dalam WHI tu...
Di antara isu Palestin & isu masalah sosial... kedua-duanya berat.. tapi, Palestin kita tak berdaya turut serta dengan jihad mereka. Jadi, kita yang masih berada di bumi Malaysia ini, tegakkan dulu umat Islam di sini di samping membantu umat di Palestin.

Imam Islam itu Umpama Satu Jasad. 

Semuanya bermula dengan kita, kerana kita salah satu anggota daripada satu jasad itu. Come on, stop dreaming about "Imamku", "Bakal tulang rusuk kiriku", and others. Ambil berat isu yang lebih serius!-sekian, Cik Mai

Repost: Salam Maal Hijrah

Perhatian Buat Wanita!


Info:

Sebaik-baiknya, kalau kita sedar haid dah kering sewaktu bangun pagi, ganti balik solat waktu Isya' kerana kemungkinan darah haid sudah kering sebelum subuh...

Begitu juga kalau kita sedar darah haid sudah kering sepenuhnya pada waktu asar, ganti balik solat zohor kerana kemungkinan darah haid sudah kering sebelum asar.. begitu juga waktu-waktu lain...


Yang paling penting, setelah darah haid dah kering, tak payah tunggu lagi, mandi wajib terus lebih baik...


Monday, November 12, 2012

Hukum Kahwin (Bab f5)


Nak kahwin? Nak tau hukumnya?

Wajib: berkemampuan memberi nafkah zahir batin, sihat, takut terjerumus ke lembah zina
Sunat: berkemampuan beri nafkah zahir batin, berkeinginan untuk kahwin tapi tidak sampai rasa takut terjerumus ke lembah zina
Harus: tak terdesak dan tak ada halangan yang mengharamkannya untuk berkahwin
Makruh: Tak ada kemampuan tapi rasa ingin berkahwin. (golongan ini digalakkan untuk berpuasa)
Haram: tak mampu beri nafkah zahir batin atau jika berkahwin ditakuti akan menzalimi pasangannya.

Kisah Zulaikha

Nasihat itu perkara mulia

Sunday, November 11, 2012

UAI: Jika cinta itu...

Bebas seperti burung!


Saturday, November 10, 2012

Indahnya Nur Syahadah


                Petir berdentum kuat, mengejutkannya daripada tidur. Sekali lagi, mimpi yang sama bertandang. Dadanya diurut perlahan. Sesekali dia menyapu mukanya. Dia mencapai tuala kecilnya di hujung katil lalu mengelap peluh yang mengalir di dahinya. Jam loceng ditatapnya. Sudah hampir pukul lima pagi.
                Dia turun dari katil. Mimpi yang bertandang tadi sudah malas diendahkannya. Sejak belakangan ini, dia sering bangun awal. Mungkin ada baiknya juga mimpi itu sering hadir, dia dapat bangun awal dan masa dapat dihabiskan untuk berqiamullail. Entah kenapa, setiap kali bangun saja daripada tidur, matanya susah hendak lelap kembali sehinggalah waktu petang. Dia sendiri hairan dengan apa yang terjadi.
                “Sya…” Ain menegur dari belakang. Syahadah sedikit terkejut.
                “Oh, awak. Ingatkan siapalah tadi. Awalnya bangun…” balas Syahadah.
                “Kerja Math-Mod tak siap lagi.” Jawab Ain ringkas.
                Ain meninggalkan Syahadah yang sedang bersiap sedia untuk bersolat tahajud. Dia ingin bersiap untuk ke sekolah dahulu sebelum menghabiskan latihan matematik moden. Selalunya, dialah orang yang paling lambat bangun antara semua ahli dorm itu.
--------------------------------------   
                Seisi kelas bangun sambil memberi salam kepada guru yang baru saja masuk ke dalam kelas. Mereka mengagak guru inilah yang akan menggantikan tempat Cikgu Shamimi yang sedang bercuti kerana masih berada dalam pantang.
                “Baiklah, kelas. Nama cikgu Aisyah Humaira Abdullah. Cikgu akan ganti Cikgu Mimi sepanjang dia cuti bersalin.  Jadi, Cikgu difahamkan kamu semua dah habis bab Coordinate Geometri. Baiklah, cikgu rasa kita sambung terus bab seterusnya… lagipun peperiksaan pertengahan tahun dah dekat ni,” ucap Cikgu Aisyah.
                “Alaa, cikgu tak mahu berkenalan ke dengan kami? Ceritalah sikit tentang cikgu,” Kamil bersuara sambil disokong oleh seisi kelas.
                “Ermm, baiklah. Apa kamu semua nak tahu tentang cikgu?” Cikgu Aisyah sekadar melayan saja kerenah mereka.
                “Cikgu dah kahwin ke belum?” Ahmad tersengih.
                “Haha, kamu semua rasa?” Cikgu Aisyah tertawa sedikit. Jelas terlihat kecomelan cikgu yang bermata sedikit sepet persis seorang cina. Sudahlah wajahnya berkulit cerah seperti korea pun ada…
                “Dah kot?” Ain sekadar meneka.
                “Betullah tu. Cikgu baru saja berkahwin tahun lepas.”
                “Cikgu ni ada darah cina ke?” soal Fifi pula. Dia sangat berkenan dengan orang yang berdarah kacukan.
                Cikgu Aisyah tersenyum segaris. Seketika dia diam sebentar. “Mama cikgu orang cina, papa cikgu pula orang Britain… hmm, untuk pengetahuan semua, cikgu memeluk Islam semasa cikgu berusia 18 tahun… Sekarang, umur cikgu 28 tahun,” Cikgu Aisyah menjawab dengan menambah sedikit fakta tentang dirinya.
                Syahadah mengucapkan hamdalah dalam hatinya. Syukur,  dia berpeluang untuk mengenali seorang lagi saudara seagama. Ingin sekali dia berborak dengan Cikgu Aisyah tentang perjalanannya bertemu hidayah Allah.
                “Ok, Cikgu rasa information tentang cikgu dah cukup kot… Apa kata kita sambung dulu bab 7, boleh tak?” soal Cikgu Aisyah.
                “Boleh…” jawab seisi kelas.
                Melihat wajah Cikgu Aisyah, Syahadah teringat ibunya di kampung. Ibu juga seorang wanita berdarah kacukan cina dan Britain. Entah kenapa dia menjadi lebih bersemangat ketika belajar Matematik tambahan dengan cikgu baru itu. Tanpa sedar, kelas sudah berakhir. Ah, cepat sungguh masa berlalu. 
                “Sya, awak nak ke kantin tak?” soal Ain.
                “Tak apalah, Sya puasa hari ni,” jawab Syahadah.
                “Ain pergi dulu, ye?” Ain meminta diri.
                Syahadah segera mendapatkan Cikgu Aisyah. Dia menawarkan pertolongan untuk membawa barang-barang cikgu walaupun sedikit saja sebenarnya.
                “Terima kasihlah, Sya. Buat susah-susah saja,” kata Cikgu Aisyah.
                “Alah, sikit saja, cikgu. Cikgu nak tau tak? Saya tengok muka cikgu, saya teringat ibu saya…” ujar Syahadah.
                “Oh, ye ke? Ibu awak cina juga ke?” soal Cikgu Aisyah.
                “Yer, sama macam cikgulah, Cina-Britain,” jawab Syahadah.
                Mereka berdua terus berbual sehinggalah tiba di bilik guru. Cikgu Aisyah,  peribadinya, tutur katanya, memang saling tak tumpah seperti ibu. Seketika, rindu pada ibu terubat juga. Syahadah rasa seperti ada sesuatu yang menariknya untuk merapatkan diri dengan cikgu baru itu. Dia bukanlah seorang yang rapat dengan mana-mana guru, tambahan pula, dia sangat segan apabila bertemu dengan guru. Tetapi, Cikgu Aisyah…  entahlah…
----------------------------------   
                Cikgu Aisyah membelek kalendar di meja soleknya. Hatinya sebenarnya berat memikirkan hari-hari yang bakal mendatang. Perkahwinan dengan Umar, bukan sesuatu yang dipintanya. Begitu juga dengan suaminya itu. Dia sudah berjanji akan memfailkan cerai, walaupun dia sebenarnya tidak sanggup kerana ibu mertuanya… seorang wanita yang cukup berjasa padanya. Wanita yang sanggup membimbing dirinya tika dia masih tercari-cari sinar hidayah.
Imbas kembali
                “Saya minta maaf Aisyah… Saya terpaksa terima awak sebagai isteri saya… Saya ingat, kalau kita boleh bercerai malam ini, tapi, perkara itu mustahil… Saya akan terhutang budi seumur hidup saya kalau awak sudi failkan cerai nanti…” kata Umar. Aisyah dapat melihat takungan air mata yang hampir pecah di mata Umar.
                Ya, siapakah yang sanggup berkahwin secara paksa. Aisyah menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia juga begitu, sanggupkah dia menolak lamaran ibu mertuanya ketika dia tidak ada sesiapa lagi di dunia ini?
                “Umar, saya akan menfailkan cerai… kalau itu yang awak mahu. Tetapi, saya harap, tolong beri saya peluang untuk mendalami Islam dahulu. Tolong, beri saya masa untuk itu…” ucap Aisyah walaupun keputusan itu bukanlah keputusan yang bijak buat mereka berdua. Kerana… mereka masih ada masa…
                “Awak serius? Saya janji, saya akan bantu awak untuk mendalami Islam…” ucap Umar.
                Mereka sudah sepakat. Dalam hati Aisyah, dia sayangkan perkahwinan ini. Tetapi, dia percaya, kalau jodoh masih ada… mereka tidak akan berpisah.
---------------------
                “Aisyah…” tegur Umar yang baru saja masuk ke dalam bilik. Lamunan Aisyah terhenti. Dia mengalihkan pandangan pada suaminya itu.
                “Macam mana dengan sekolah baru?” soal Umar.
                “Okay. Pelajarnya semua sporting… baik-baik…” jawab Aisyah hambar.
                “Hmm, bila awak nak failkan cerai?” soalan yang memang sukar diterima oleh sesiapa pun. Tetapi, Aisyah faham akan situasi mereka berdua. Mereka tidak saling mencintai… ah, perasaan memang sesuatu yang sukar dimengertikan.
                “InsyaAllah, minggu depan…” jawab Aisyah.
                “Awak… saya rasa, awak batalkan sajalah…” Aisyah seakan-akan tidak percaya apa yang didengarinya.
                “Tapi… Kenapa?”
                “Aisyah, saya baru sedar… Kadangkala, apa yang Allah aturkan, itulah yang terbaik buat kita. Shiela akan berkahwin hujung tahun ni. Ini kadnya…” Umar menghulurkan kad kahwin yang diterimanya kepada Aisyah. Sebak terbuku di dadanya. Aisyah cuba menenangkannya. Umar sudah jadi seperti anak kecil. Dia menitiskan air mata lalu terduduk.  Aisyah memeluk bahunya.
                “Awak janganlah sedih. Mungkin awak ada peluang yang lebih baik?” ujar Aisyah.
                “Apa maksud awak?” Umar menyoal dalam tangisan.
                “Mungkin Allah hendak bagi peluang untuk awak membimbing saya hingga ke akhir hayat?”
                “Awak pandai pujuk saya… Terima kasih, ya?” Umar menyeka air matanya. Terasa seperti bodoh pula menangis kerana seorang wanita yang bukan miliknya sedangkan dia sudah ada yang punya. Ya, dia sudah dimilki Aisyah, apa lagi yang perlu dikesalkan?
                “Tak, sepatutnya, saya yang berterima kasih pada awak… Awak dah ajar saya mengaji, awak dah ajar saya solat sunat… sebelum ni, saya Cuma tahu baca tafsir, solat 5 waktu dan puasa saja… Dan, awak dah ajar saya memahami awak saat hari pertama kita bernikah…”
                Umar tersenyum. Begitu juga dengan Aisyah. Dalam hatinya, Aisyah bersyukur kerana masih ada peluang untuknya mempertahankan rumah tangganya. Hanya Allah saja yang tahu perasaannya saat ini. Sesungguhnya, Allah Maha Mendengar isi hatinya saat dia kebimbangan. Alhamdulillah.
                “Kalau macam itu, apa kata kita berkenalan dulu, nama saya Umar,” Umar menghulurkan tangannya sebagai gimik permulaan kembali hubungan perkahwinan mereka.
                “Nama saya Aisyah Humaira…” Aisyah menyambut huluran tangan Umar.
                Mereka berdua tertawa kecil. Entah kenapa terasa seperti lucu pula gimik yang direka oleh Umar itu. Biarlah ini menjadi titik permulaan segala-galanya walaupun sudah hampir setahun mereka berkahwin.
----------------------------------  
                Petang itu, Syahadah meluangkan masa bersama Ain di luar surau selepas solat Asar berjemaah. Kuih yang diambil daripada Dewan Makan dijamah bersama-sama.
                “Sya, awak ada keturunan cina ke?” entah kenapa soalan itu terpacul dari mulut Ain.
                “Awak rasa?” Syahadah cuba menguji minda sahabatnya itu.
                “Korea kut..hehe,” teka Ain.
                “Salah~. Awak ni memandai je… haha…”
                “Habis tu?”
                “Ayah kite orang melayu, ibu pula, kacukan cina-Britain,” jawab Syahadah.
                “Untunglah, ada darah kacukan,” ujar Ain.
                “Alah, awak lagi cantik. Hmm, asyik cerita pasal Sya aje… Ain pula macam mana?” soal Syahadah.
                “Tak ada yang istimewa pun.  Biasa-biasa saja. Eh, Cikgu Aisyah tu kan… muka dia ada iras-iras awaklah,”Ain menukar topik perbualan.
                “Yeke? Entahlah… Ain, nama awak ada cerita tak?” soal Syahadah.
                “Haha, soalan apalah yang awak tanya ni. Ada, gabungan nama ayah dan ibu kite. Ayah nama Adam, ibu nama Insyirah. Gabung jadi Ain, hehe,awak pula?”jawab AIn dengan rasa bangga.
                “Ibu Sya dulu bukan Islam. Jadi, selepas dia memeluk Islam, dia berkahwin dengan ayah dan dia letaklah nama Syahadah, sebagai tanda kesyukuran dia dapat lafazkan dua kalimah syahadah…”cerita Syahadah, juga dengan perasaan bangga kerana dikurniakan nama yang indah.
--------------------------- 
                 Mimpi itu datang lagi. Arghh, kenapa mimpi yang sama? Syahadah terbangun lagi. Dia tidak tahu mengapa dan apa kaitannya mimpi itu dengannya. Mimpi seorang perempuan kemalangan jalan raya. Dia tidak tahu siapa perempuan itu. Kali ini, dia dapat rasakan mimpi itu benar. Tapi, bukankah mimpi itu mainan tidur. Dia jadi bingung seketika.
                “Astaghfirullah…” dia menenangkan diri dengan istighfar.
                Saat ini, entah kenapa dia teringat pula pada ibunya. Semoga ibu berada dalam keadaan yang sihat sejahtera. Seperti biasa, rutin hariannya diteruskan. Semoga mimpi yang sering hadir itu tidak ada kena mengena dengan insan yang dikasihinya.
-----------------------------------   
                Hati Syahadah gelisah benar hari ini. Sebelum ini, mimpi yang hadir tidak langsung menganggu fikirannya sepanjang hari. Tetapi, seakan-akan perkara itu akan terjadi. Cikgu Aisyah sedang mengajar tetapi dia sukar untuk focus. Ish, kenapa dengan hati ini?
                Pintu kelas diketuk. PK HEM masuk dan memaklumkan sesuatu kepada Cikgu Aisyah. Wajah Cikgu Aisyah yang bersemangat tadi berubah. Dia mengalihkan padangan pada Syahadah. Syahadah mula rasa sesuatu yang buruk dengan pandangan PK HEM dan Cikgu Aisyah.
                “Sya, awak balik asrama pergi kemaskan barang-barang dulu…” arah PK HEM.
---------------------------------  
                Syahadah duduk menunggu di luar wad dengan penuh debaran. Perkara yang tidak diingini memang benar-benar berlaku. Ibu kemalangan  jalan raya. Keadaannya masih kritikal. Ayah turut di sisinya bersama adik-adik.  Ayah masih mampu bertenang lagi. Dalam keadaan ini, Ayah memilih untuk menyambung bacaan Al-Qurannya. Tetapi, Syahadah, dirinya begitu risau sehingga fikirannya bercelaru. Air mata laju saja mengalir.
                Dari kejauhan, terlihat kelibat Cikgu Aisyah bersama suaminya. Cikgu Aisya segera mendapatkan Syahadah. Abah memberhentikan bacaannya.
                “Assalamua’laikum. Saya Aisyah, cikgu Sya… macam mana dengan ibunya, encik?” Cikgu Aisyah memperkenalkan dirinya. Suaminya bersalam dengan ayah.
                “Tak tahu lagi. Kami sedang menunggu keputusan dari doktor… terima kasih cikgu sudi datang…” ucap ayah.
                Selang beberapa ketika, doktor keluar dari wad. Ayah segera bergerak kea rah doktor. Dalam hatinya tidak putus-putus doa yang dipanjatkan.
                “Encik, buat masa ini, isteri encik belum sedar. Tapi, Alhamdulillah, dia masih stabil,” doktor memberitahu keadaan ibu.
                “Alhamdulillah,” ucap ayah.
                “Tapi, sebelum tu, biarlah encik seorang saja yang masuk kalau nak jenguk pesakit. InsyaAllah, kalau keadaan pesakit lebih baik, pihak kami akan benarkan ahli keluarga yang lain masuk,” pesan doktor.
                “Aisyah, esok kita datang lagi, ya?” kata Umar yang ingin mengajak pulang memandangkan waktu magrib sudah hampir tiba.
                “Baiklah…” Cikgu Aisyah sedikit keberatan hendak meninggalkan wad tersebut kerana dia dapat rasakan seolah-olah keluarga Syahadah mempunyai kaitan dengannya.
                “Sya, cikgu balik dulu, ya? Esok cikgu datang lagi…” Cikgu Aisyah meminta diri. Dia memeluk Syahadah seakan-akan Syahadah itu adiknya sendiri.  Dia menitipkan pesanan agar Syahadah terus berdoa dan bersabar.  Kemudian, apsangan itu meninggalkan kawasan hospital tersebut.
------------------------------   
                “Kenapa awak diam saja dari tadi?” Umar bersuara memecahkan sepi.
                “Tak ada apa-apa… Cuma, saya macam kenal saja keluarga student saya tadi tu,” Aisyah mengeluh kecil.
                “Cakap pasal keluarga… saya teringin nak tahu tentang keluarga awak…” luah Umar.
                “Hmm, macam yang awak tahu, papa saya orang Britain dan mama saya orang cina. Perkahwinan mama dan papa tak kekal. Diaorang bercerai dan sejak itu… mama saya dah putus asa dengan takdir. Sampaikan, dia dah hilang rasa percaya pada tuhan. Sayangnya, mama tak menerima hidayah sehinggalah dia dah meninggal. Saya sebenarnya ada seorang kakak, namanya Jessica,” atas permintaan Umar, Aisyah mengimbas semula kisah silamnya.
Imbas Kembali
                Azmi meletakkan keretanya di luar rumah agam milik keluarga cina itu. Dia memberanikan diri untuk bertemu dengan tuan rumah itu. Setelah dijemput masuk, dia dipersilakan duduk.  Puan Lee memandang tepat ke wajahnya. Dia sudah tahu apa yang bakal diluahkan tetamunya itu.
                “Puan, saya datang ini sebenarnya…” Azmi memulakan bicara tetapi belum sempat dihabiskan ayatnya, Puan Lee sudah menyambung.
                “Nak melamar Jessy?”
                “Ya, itulah sebenarnya tujuan saya…” akui Azmi.
                “Saya akan restui perkahwinan kamu berdua… sekiranya, kamu tinggalkan agama kamu…” kata-kata Puan Lee itu seakan-akan menyentap kasar jantung Azmi.
                “Atau Jessy yang ikut kamu dan hubungan kekeluargaan kami akan terputus…”sambung Puan Lee. Walaupun dia mengucapkan dengan tenang, tetapi  syarat itu membuatkan Azmi tidak betah lagi.
                “Tak mengapalah, puan.  Kalau itulah syaratnya… saya rasa saya memang tiada jodoh dengan anak puan, saya minta diri dahulu…” Azmi nekad. Dia tidak mahu Jessica kehilangan keluarganya. Biarlah dia korbankan cintanya. Cinta boleh datang dan pergi, tapi, keluarga dan agama, itu perkara yang lebih penting.
                “Azmi, tunggu dulu!! Saya dah buat keputusan… Mama, Jessy akan ikut Azmi…” Jessica tiba-tiba muncul  dan menahan Azmi.
                “Kau sudah besar, Jessy. Kalau itu keputusan kau, Mama izinkan kau pergi tapi, cukuplah setakat ini saja hubungan kita semua.Kau boleh keluar dari sini. Jangan sesekali kau datang sini lagi…” itulah kata-kata terakhir Puan Lee sebelum kehilangan anak sulungnya itu.
                Ketika Jessica melangkah keluar, adiknya meluru kepadanya. Tangisan anak kecil itu memang menggugah hatinya. Diusap-usap kepala adiknya. Kemudian, dia mencium ubun-ubun adiknya sebelum dia meninggalkan si kecil itu.
                “Adik, kakak sudah pilih takdir kakak. Suatu hari nanti, pasti tuhan akan mempertemukan kita lagi… percayalah!” dia memeluk adiknya buat kali terakhir.
                “Jessy, sudahlah… dia bukan adik kau lagi… Jangan kau pengaruhi fikirannya tentang tuhan lagi!” Puan Lee menarik tubuh kecil itu daripada pelukan Jessica. Kemudian, pintu rumah agam itu dihempas oleh Puan Lee menandakan tahap kemarahannya sudah meningkat.
                Sejak hari itu, Jessica tidak pernah berjumpa dengan keluarganya lagi. Mamanya, dahulu seorang penganut kristian. Setelah papa meninggalkan mama, mama hilang arah. Dia tidak percayakan tuhan lagi. Dan dia sangat berang sekiranya anak-anaknya bertanya tentang tuhan. Jessica reda dengan takdir yang dipilihnya itu. Dia memilih takdir ini bukan semata-mata kerana cinta, tetapi, kerana indahnya hidup bertuhan yang dirinduinya.
-------------------------------   
                “Hmm, kiranya, awak tak jumpa lagi la kakak awak?” soal Umar inginkan kepastian.
                “A’ah. Saya masih ingat lagi pesanan akak, ‘Suatu hari nanti, pasti tuhan akan mempertemukan kita lagi… percayalah!’. Disebabkan pesanan kakak itulah, saya cuba mencari tuhan… Alhamdulillah, saya dah jumpa dengan kebenaran hidup bertuhan tapi, saya masih belum jumpa kakak saya,” Umar dapat memahami kesedihan yang tersimpan di lubuk hati isterinya itu.
                “Tak apalah, sekurang-kurangnya, awak dah jumpa umi, dah jumpa saya…” Umar cuba mengurangkan kesedihan isterinya itu.
                “Alhamdulillah, saya masih lagi ada umi dan awak,” ucap Aisyah.
------------------------------
                Umar tertarik untuk mengenali isterinya dengan lebih mendalam lagi. Pada mulanya, dia  hendak mengajak Aisyah keluar makan tetapi Aisya sudah memasak untuk makan malam. Jadi, dia sekadar membantu sajalah di dapur apa-apa yang boleh dibantu.
                “Aisyah… macam mana awak belajar masak semua masakan melayu?” soal Umar ketika menumis bawang dalam kuali.
                “Bukan semua Aisyah reti masak. Aisyah Cuma reti masak masakan kegemaran awak jer. Itupun, belajar dengan umi dulu.” Jawab Aisyah jujur.
                “Tak rindu ke masakan cina dulu?”
                “Yang halal je Aisyah rindu…” Aisyah tersengih.
                “Amboi, jawapan high class betul. Betullah orang kata, kalau dah cinta, kita akan lupa apa yang tak ada kena mengena dengan apa yang kita cinta. Aisyah cintakan agama kita, sampai lupa dah masakan yang tak halal, kan?… ermm, macam mana Aisyah masuk Islam?” soal Umar lagi.
                “Macam Aisyah cakap dalam kereta tadi, kata-kata kakak yang bagi semangat pada Aisyah. Semasa di sekolah menengah, saya selalu la curi-curi buku pasal Islam di perpustakaan... jahat tak?” Aisyah ketawa kecil.
                “Jahat untuk kebaikan, apa salahnya? Tapi, kenapa tak pinjam saja?”
                “Yelah, pengawas perpustakaan tu asyik tengok pelik je… Aisyah malulah!”
                “Tak pernah kantoi?” sambil berbual, Umar menuangkan bahan-bahan yang sudah dikisar halu ke dalam kuali bersama daging ayam.
                “Pernah. Dengan ustazah. Tapi, nasib baiklah dia faham, lepas tu, Aisyah rapat sangat dengan ustazah. Dia selalu bagi pinjam buku-buku dia.  Nak tahu tak siapa ustazah tu?” Aisyah cuba berteka-teki.
                “Siapa?”
                “Umi,” jawab Aisyah bersemangat.
                “Ooo, begitu rupanya. Tak sangka pula, dah lama awak kenal umi. Selain umi, ada tak orang lain yang membimbing awak sebelum masuk Islam?”
                “Ada. Tapi dia dah meninggal. Namanya Sufyan…” nada suara Aisyah sedikit kendur. Aisyah mengambil alih tempat Umar untuk memasak lauk di dalam kuali.
                “Bertuahnya dia… dapat membimbing awak,” luah Umar, seperti sedikit cemburu.
                “Tapi, awak lagi bertuah… Awak dapat membimbing saya sampai ke akhir hayat saya, insyaAllah. Hmm, lauk pun dah nak siap dah ni,” ujar Aisyah sambil mengalihkan posisi daging ayam di dalam kuali.
                Malam itu, sesi perkenalan Umar dengan Aisyah telah menerbitkan perasaan sayang yang mula mengmbang dalam diri Umar. Kini, dia sedar, jodoh tidak semestinya berdasarkan orang yang kita cinta, kerana cinta boleh berubah… jodoh itu, rahsia Allah…
-------------------------  
                Ibu Syahadah masih koma. Syahadah setia di sisi ibunya. Sesekali, tubuh ibunya dilap dengan tuala lembab. Ada kalanya, dia bercerita saja apa yang ingin diceritakan pada ibunya yang masih belum sedar itu. Dia yakin, ibu mendengar kata-katanya.
                “Ibu, di sekolah Sya, ada seorang cikgu baru. Mukanya macam ibu! Sebab dialah, tiba-tiba Sya rasa semangat nak belajar Add-Math. Tengok mukanya saja, Sya teringat pesan ibu supaya mencari ilmu. Ibu pesan lagi, Nabi melarang kita jangan benci ilmu. Semua pesan-pesan ibu terngiang-ngiang balik semasa belajar. Kalaulah ibu boleh tengok wajah dia…”
                “Assalamua’laikum…” Cikgu Aisyah memberi salam sebelum memasuki wad tersebut. Dia membawa bersama buah-buahan sebagai buah tangan.  Syahadah bangun lalu menyalami tangan gurunya itu. Suami cikgu turut hadir.
                “Terima kasih, cikgu sudi datang lagi… Silakan duduk,” Syahadah menjemput pasangan itu duduk di kerusi bersebelahan katil ibunya.
                Saat mata Cikgu Aisyah melihat wajah ibu Syahadah, dia seakan-akan tidak percaya. Dia mengalih kea rah Syahadah.
                “Sya, apa nama ibu awak?” soal Cikgu Aisyah.
                “Nama ibu, Fatimah.” Jawab Syahadah ringkas.
                “Nama sebelum Islam?” soal Cikgu Aisyah lagi.
                “Saya tak tahu nama ibu sebelum ini…”
                “Namanya Jessica Lee,cikgu,” jawab ayah yang datang dari entah mana.
                “Abang Azmi?”
                “Cikgu kenal saya?” soal ayah lagi. Ayah cuba mengingati di mana dia pernah berjumpa dengan Cikgu Aisyah sebelum ini.
                “Abang Azmi, ni Cat… Catherine adik Jessica,” akui Cikgu Aisyah.
                “Alhamdulillah… akhirnya Allah pertemukan kita semula. Syukur, ya Allah!” ucap ayah penuh syahdu. Saat itu juga, Cikgu Aisyah memeluk tubuh ibu yang masih tidak sedar lagi. Diusap-usapnya wajah kakak yang sudah bertahun-tahun terpisah.
                “Umar, ini kakak saya,” Cikgu Aisyah memberitahu suaminya. Umar turut terharu dengan pertemuan itu. Sesungguhnya, Allah adalah sebaik-baik perancang. Dialah yang Menemukan dan Dialah yang Memisahkan sesiapa saja.
                “Patutlah muka ibu dengan cikgu seiras… serius, saya memang tak sangka…”
                “Akak, adik datang ni… bangunlah…” Cikgu Aisyah menggenggam tangan kakaknya lalu diciumnya penuh kasih sayang. Bayangkanlah, betapa rindunya pada satu-satunya keluarga yang masih ada.
                Entah mengapa, air mata ibu mengalir. Mungkinkah dia mendengar dan dapat merasai keadaan ini? Seketika kemudian, jarinya bergerak sedikit. Sedikit demi sedikit dan akhirnya, matanya terbuka sedikit.
                “Nurse, isteri saya dah sedar!!” ayah memanggil nurse.
                Dan mulai saat itu, sebuah keluarga yang telah terpisah akhirnya bertemu kembali. Dan, ingatlah janji Allah bahawa Dia tidak akan mensia-siakan hamba-hambaNya yang taat padaNya.

Cinta yang sejati hanya cintakan Ilahi
Cinta ayah bonda tulus suci selamanya
Cintakan saudara masa berada hanya sementara
Cinta sesama insan suburkan dengan ketakwaan

Friday, November 2, 2012

Hakikat 'Intelligent'

Salam wbt.
Cik Mai baru habis exam dan baru jugaklah dapat result. Alhamdulillah, setakat ini, dapat result subjek-subjek yang Cik Mai yakin boleh buat... result pun alhamdulilah... ada berkurang bertambah.

Bercakap soal result, Cik Mai nak kongsi pendapat menegani golongan  'intelligent'.

Bagi Cik Mai, ada dua kategori orang yang intelligent.

A) intelligent kerana rahmat Allah
B) intelligent kerana 'gifted'

Kedua-duanya jenis senang score dalam exam. Kadang-kadang kita tak nampak pun diaorang ni studi sangat pun, kan? Cuma bezanya, mereka mempunyai matlamat yang utama yang berlainan.

Golongan A menetapkan Allah sebagai matlamat mereka. Diaorang ni bolehlah nak diibaratkan mengejar akhirat dengan beralatkan dunia. Diaorang menjaga hubungan dengan Allah dan manusia, dalam masa yang sama, meninggalkan segala larangan Allah. Ciri-ciri diaorang kadangkala kita lihat seolah-olah golongan yang disebutkan oleh Allah dalam Al-Quran (23: 1- 11). Rujuklah ya.

Kita boleh simpulkan matlamat diaorang ni macam ini:

 Belajar kerana nak berjaya dalam exam > Nak membanggakan ibu bapa dan meningkatkan maruah diri > Nak capai keredhaan Allah
Kadang-kadang, kita akan perasan apa-apa yang diaorang study pon, mesti selalu masuk dalam exam. Itulah namanya rahmat daripada Allah. Allah membantu hamba-hambaNya yang mukmin.

Golongan B pula,
Allah berikan kemudahan diaorang dalam bidang akademik walaupun kita lihat diaorang tak banyak sangat berusaha ditambah pula dengan maksiat yang sering dilakukan. Walaupun diaorang mendekati zina, walaupun mereka selalu membanggakan diri... tetapi, Allah tetap memberi mereka nikmat dalam bentuk kejayaan.

Kenapa? mengapa?

Kita tidak pelu pertikai, tentu saja Allah ada hikmah tersendiri. Kita tak perlu pertikai kenapa maksiat yang diaorang buat tak menjadi asbab untuk diaorang gagal. Tetapi, kita perlu pertikai, kenapa kita sendiri tidak cuba untuk menyedarkan diaorang.

Sebagai manusia biasa, Cik Mai terfikir juga golongan macam ini, bukanlah diaorang tak tahu menahu soal agama, tetapi, masih lagi lalai. Masih lagi ikut perkara yang diaorang tahu salah. Pabila muhasabah balik, oh, siapalah Cik Mai nak pertikaikan hak Allah dalam memberi kepada hamba-hambaNya.

Teringat kisah para malaikat mempersoalkan penciptaan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi... Dan, Allah menjawab bahawasanya, hanya Dia Yang Maha Mengetahui.

Kalau kita susah hendak belajar kerana perangai dan perbuatan kita, maknanya Allah SWT sayang sangat-sangat pada kita. Allah meletakkan syarat untuk kita berjaya dengan mentaatinya. Berbeza dengan orang yang intelligent (Golongan B). Mungkin Allah sedang menguji diaorang.Berbeza juga dengan golongan A, jikalau mereka meninggalkan matlamat mereka, dengan segera Allah tarik balik kejayaan mereka.

Kita ini, yang terkeluar daripada kedua-dua golongan tadi, perlu sedar, kasih sayang Allah ada kalanya straight to the point, ibarat golongan A. Kadangkala, ibarat kita sendiri yang susah nak berjaya kerana selalu meninggalkan perintahNya. Kadangkala dengan memberi nikmat walaupun kita sering lalai kepadaNya ibarat   golongan B.

Apa-apa pun, semoga Allah menetapkan hati golongan A dan memberi hidayah buat kita dan golongan B. InsyaAllah.

 Mudah-mudahan, kita tidak tergolong dalam golongan yang Allah sengaja kaburkan mata hati dengan mengejar dunia semata-mata. Mudah-mudahan, kita tidak tegolong dalam golongan yang menerima Istidraj. Amin ! - sekian, Cik Mai

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...