BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, November 28, 2012

Mata Pemerhati

As salam wbt.



Cik Mai sekarang ni terfikir nak tulis apa la entri kali ni... kemudian, terdetik pula nak cakap pasal "Mata Pemerhati"

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan (pada) pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran. (Al- Baqarah:164)

Ok, kita straight to the point apa yang Cik Mai nak kongsikan... sekadar pendapat:

1. Tentang Akal

Sejak belakangan ini, Cik Mai sedar bahawa dalam masyarakat kita, ada golongan yang tidak menggunakan akal sebaik-baiknya dan ada yang menggunakannya sampai tahap 'bertuhankan akal'.
Dalam hidup ini, kita perlu sentiasa berfikir. Budaya berfikir inilah budaya umat-umat yang berjaya seperti umat terdahulu. Takkan kita tak kenal Ibnu Sina, Al-Khawarizmi dan sebagainya, kan? Semuanya bermula dengan firman Allah Taala iaitu "Iqra' ".  Bak kata orang putih "You are what you eat, you are what you READ!" Kalau makanan ialah keperluan fizikal, maka pembacaan merupakan keperluan mental yang sama tarafnya dengan makanan.

Malangnya, kita diserang secara dalaman dengan serangan Hedonisme (budaya suka berseronok). Kita bukanlah menentang fitrah manusia itu perlukan hiburan. Tetapi, fitrah yang dilayan dengan melampau akan menjadi fitnah. Sehingga budaya hedonisme ni telah meruntuhkan empayar yang hebat dan berlarutan dalam kehidupan masyarakat sehingga hari ini. Maka, wujudlah golongan yang malas berfikir dan suka berseronok semata-mata. Sikap suka mengkaji masyarakat terdahulu terkubur saja dalam diri sebahagian besar umat manusia kini.

Tetapi, apabila budaya berfikir tidak berlandaskan matlamat yang betul, maka wujud pula golongan yang bertuhankan akal semata-mata. Sebagai manusia, kita mempunyai batasan dalam kehidupan. Sebagai contohnya, tidak mungkin ada dalam dunia ni manusia yang menguasai dengan pakarnya semua ilmu.

Begitu juga dalam tahap berfikir, perlu berlandaskan matlamat iaitu 'mengagungkan kebesaran Allah'. Apabila sesuatu persoalan yang muncul, kita tidak boleh melayannya dengan logik akal semata-mata. Kerana pemikiran yang tidak berlandaskan wahyu ini, akan menjadi racun! Tidak hairanlah, wujudnya golongan seperti Islam Liberal, Sekularisme dan Atheist kerana racun ilmu yang berlandaskan logik akal semata-mata.


2. Melayan Ilmu dengan Mengkaji & Merujuk

Dalam menerima sesuatu ilmu, perlu ada kesahihan dan perbandingan yang tepat. Jadi, apa yang perlu kita buat untuk mendapatkan kesahihan sesuatu ilmu? Jawapannya kita perlu mengkaji. Kita tidak boleh menerima sesuatu ilmu itu secara bulat-bulat tanpa rujukan yang sahih. Sebagai contohnya, ilmu berkenaan hukum hakam agama, rujukan yang paling utama ialah Al-Quran dan As Sunah. Kemudian, rujukan lain dalam ilmu agama ialah Ijma' Qias dan Uruf.

Dan, merujuk pula pada orang ahli dalam bidang tersebut. Kebanyakan Islam Liberal yang muncul pada hari ini ialah mereka yang terlalu ghairah menuntut ilmu agama tanpa guru dan menafsirkan Al-Quran mengikut nafsu. Lebih dahsyat lagi mereka mempersoalkan kenapa perlu menerima hadis... Nauzubillahi min zalik!

Dalam aspek ilmu yang lain pula, seperti Sejarah... juga kita tidak boleh melayan fakta sejarah dengan terus menghadamnya. Sejarah telah banyak diselewengkan dan dipalsukan. Maka, apabila kita mempelajari ilmu berkaitan sejarah, perlu ada kajian untuk memastikan kita memiliki ilmu yang benar.

Sikap mengkaji inilah yang membangunkan sesuatu empayar. Tanpa kajian, tidak mungkin kita akan mendapat fakta yang tepat. Seperti mana teori yang dikemukakan dalam bidang astronami, tokoh-tokoh ilmu mengatakan matahari mengelilingi bumi sedangkan setelah dikaji, ternyata bumi yang mengeliligi matahari.

3. Sikap Mudah Terpengaruh dan Taksub

Sikap ini membunuh kebenaran ilmu. Sebagai manusia, kita tidak terlepas dengan pengaruh. Tetapi, kita hendaklah berhati-hati dengan pengaruh ilmu agar tidak termasuk dalam golongan yang taksub. Golongan yang taksub akan menolak kajian yang adil sebaliknya mereka akan berusaha mencari hujah untuk membenarkan ketaksuban mereka terhadap sesuatu perkara, ibarat menegakkan benang yang basah.

4. Membenci Ilmu

Yang terakhir, sikap yang paling bahaya dalam diri kita ialah membenci ilmu. Sikap ini akan mempersempitkan pemikiran kita semata-mata. Jangan jadikan alasan tidak minat terhadap ilmu tersebut sebagai asbab untuk kita menolak untuk mempelajari sesuatu ilmu. Sesungguhnya, inilah kerugian yang amat besar dalam jiwa manusia kerana sikap ini juga punca kemusnahan kepada sebuah kegemilangan ilmu dalam empayar yang sangat gah!

Konklusinya, jadikan mata kita mata pemerhati dengan berfikir mengikut batasan akal dan mengkaji. Yang paling penting, jangan pernah membenci ilmu.

Sekian-Cik Mai


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...