BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, December 29, 2011

Ikhlas: Sebuah Rahsia

                Selalu orang mempersoalkan ikhlas, kan? Apa itu ikhlas? Ikhlas adalah rahsia Allah. Dan, ikhlas merupakan hakNya dan bukan hak makhluk. Ikhlas sesuatu yang abstrak. Sama juga seperti cinta. Sama juga seperti perasaan. Abstrak ialah ghaib. Sesuatu yang bukan bersifat boleh disentuh, boleh dilihat oleh mata kasar, bahkan tak dapat diukur oleh manusia seperti kita.

                Pernah sekali Cik Mai terbaca sebuah artikel di Iluvislam.com.(http://www.iluvislam.com/tazkirah/nasihat/1023-ikhlas.html) Ternyata, ikhlas itu tidak kekal sifatnya. Ikhlas itu tidak boleh diungkap. Kenapa? Kerana ikhlas hanya Allah yang berhak memberinya. Jadi, apabila kita berniat, mengucapkan dan menzahirkan rasa ikhlas,kita akan kehilangan keikhlasan.

                Jadi, bagaimana hendak meraih ikhlas? Tak perlu diniat, diucap dan dizahirkan. Cukup sekadar kita buat semuanya kerana Allah SWT. (lillahi ta’ala). Tambahan pula, perasaan kita mudh berubah-ubah. Pada awalnya, kita berbuat baik kerana sifat kemanusiaan dan rasa kasihan. Lama-kelamaan, amalan yang kita lakukan akan membuatkan kita rasa riak dan syok semacam. Maka, apabila hadirnya perasaan itu, berdoalah moga-moga dijauhkan. Jadi, marilah kita niatkan semuanya lillahi ta’ala. InsyaAllah, mudah-mudahan kita akan dapat melupakan kebaikan kita.

                Oleh itu, kita tidak sepatutnya meletakkan seseorang itu sama ada diri kita atau orang lain dengan persoalan ikhlas. Sebagai contoh:

“Kalau buat ibadat tak ikhlas, baik tak payah la weii… bajet kau alim sangat…” 
“Buat apa nak belajar kalau tak ikhlas…” 
“Aku Cuma nak lelaki yang ikhlas jerr…”
                Perspektif kita perlu diubah tentang ikhlas. Semoga kekhilafan kita dapat diperbetulkan dalam meraih keikhlasan. Biarlah Allah yang menilai, bukan diri kita atau orang lain.Tahukah kita?
Terdapat sahabat yang apabila mendengar tentang ikhlas mereka akan menangis. Meraka berasa tidak selamat dan tidak dapat memperoleh keikhlasan kerana ketinggian nilai sifat ikhlas. Sesungguhnya, ikhlas adalah kedudukan paling tinggi selepas iman.
                Semoga kita semua memperoleh manfaat. Segala kesilapan dalam penulisan ini, mohon dimaafkan.
sekian.-Cik Mai

Monday, December 26, 2011

Cinta dalam Amanah



                Amanah. Tanggungjawab. Kedua-duanya mempunyai erti yang sama. Ada apa dengan amanah?  Setiap manusia ada amanah dalam diri masing-masing. Masihkah kita ingat sifat-sifat wajib bagi seorang rasul? Amanah, Fatonah, Tabligh,Siddiq.

                Ya, amanah salah satu daripadanya. Dan, RasulAllah SAW sendiri digelar sebagai Al-Amin oleh masyarakat Makkah hatta yang membenci baginda sendiri. Di akhir zaman ini, amanah seolah-olah dipandang ringan. Dan yang paling dahsyat lagi, tidak ada langsung walau secebis rasa tanggungjawab dalam diri.

                Yang menyedihkan pula, orang yang bertanggungjawab sering diperkecilkan. Kalau di kawasan utara seperti di Kedah dan Pulau Pinang, golongan yang bertanggungjawab digelar ‘pulun’. Itulah serba-serbi cabaran dalam menunaikan amanah.
“Tak kenal, Maka, Tak cinta”
                Agar rasa tidak terbeban dengan amanah, kita perlu ada rasa cinta dalam amanah. Kalau tidak kenal dengan amanah, maka, tak cintalah, kan? Baiklah, sebelum kita pikul sesebuah amanah, kita harus berfikir panjang sebelum menerimanya. Dan, jikalau kita terpaksa memikulnya, cubalah untuk meredhainya.

                Amanah yang paling penting dalam setiap diri insan, ialah menjadi khalifah di atas muka bumi  dan menunaikan ibadah kepada Dia Yang Maha Esa. Jikalau kedua-dua amanah ini pun kita tidak dapat laksanakan, bagaiman pula tanggangjawan lain? Sudah tentu tidak terlaksana dengan baik, bukan?
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".(2:30)
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.(51:56)
                Memang, amanah sesuatu yang berat. Imam Al-Ghazali juga pernah berkata; “Yang paling berat itu menunaikan amanah.” Tambahnya lagi; “Yang paling ringan itu meninggalkan solat”.

                Dan ingatlah, ketika RasulAllah menjalani peristiwa Isra Wal Mikhraj, dia diperlihatkan azab bagi mereka yang meninggalkan amanah. Mereka terpaksa menanggung beban seberkas kayu yang sangatlah berat di belakang mereka. Kemudian, ditambah lagi beban. Begitulah seterusnya.  Apabila baginda bertanya kepada Jibril, mengapa mereka terpaksa menerima azab seperti itu. Maka, Jibril pun menjawab kerana mereka menerima amanah sedangkan mereka tidak memikulnya kemudian menerima pula amanah yang lain.

                Rasa tanggungjawab sangatlah memberi impak yang banyak. Jika ibu bapa rasa bertanggungjawab, mereka akan teliti dalam mendidik anak-anak. Maka, dengan rasa tanggungjawab dan perhatian yang diberikan, insyaAllah, anak-anak tidak akan terjebak dalam kancah gejala sosial. Jika seorang peguam mempunyai rasa amanah, dia akan membela orang yang tidak bersalah dan menegakkan keadilan. Jika tidak, dia telah membebaskan orang yang benar-benar bersalah dan menindas keadilan. Begitu juga dengan golongan pemerintah yang bertanggungjawab, dia tidak akan menganiaya rakyatnya dengan memakan harta rakyat dan menindas mereka. Malah, dia akan membangunkan rakyatnya dan menjaga kebajikan rakyat. Maka, Negara akan terus makmur dengan keredhaan daripada Ilahi.

                Janganlah amanah diabaikan kerana anasir-anasir lain seperti wang dan ganjaran lain. Dan, yang paling penting, tunaikanlah amanah kerana Allah. InsyaAllah, apabila kita rasa seperti ingin mengabaikannya, kita akan rasa bersalah.

                Mari, tunaikan amanah bersama-sama.  Tunaikanlah dengan rasa cinta terhadapnya kerana hal yang demikian tidak akan membuatkan kita rasa terbeban. InsyaAllah.-Cik Mai

p/s: jom tengok video ni... semoga dapat memberi manfaat kepada kita.

Sunday, December 25, 2011

Kata-kata satu doa



                Orang zaman dulu suka luahkan rasa geram pada anak-anak dengan ayat sebegini: “Bertuah punya budak!”

                Mungkin, mereka tidak mahu anak-anak mereka mendapat hidup yang malang hasil daripada kata-kata yang menjadi doa buat anak-anak mereka.

Seperti pepatah yang berbunyi begini:
“Kata-kata itu boleh jadi doa”
                Pada perspektif dari kaca mataku, ada kalanya, benar juga pepatah tersebut. Imam Al-Ghazali pernah berkata, “yang paling tajam itu ialah lidah manusia”. Ya, lisan dapat menaikkan semangat dalam kehidupan seseorang. Lisan juga dapat merendahkan peribadi seseorang. Lisan yang baik, pujian dan nasihat. Lisan yang buruk, kutukan dan fitnah. Impak lisan sangatlah besar walaupun kelihatan remeh. Sehingga orang yang memfitnah jauh lebih dasyat daripada orang yang membunuh.
“Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”
                Lisan boleh membawa padah sehingga boleh membuahkan dendam dalam hati sesorang. Lisan juga boleh membawa manfaat dan rezeki sehingga orang berasa sangat senang dengan kita kerana lisan kita.  Setiap perkara ada pro dan kontra. Setiap perkara ada positif dan negatifnya. Setiap perkara ada kebaikan dan keburukannya. Itulah hukum lumrah alam. Tetapi, kebaikan dan keburukannya bergantung kepada tindakan dan pelaksanaan sesuatu perkara, terutamanya yang berkaitan dengan lisan.

                Cuba kita bayangkan, seorang budak lelaki sangat gemar berkawan dengan budak perempuan. Dia sangat lemah dan sering dibuli oleh budak-budak lelaki. Dia digelar lembik. Apakan daya, dia tak mampu untuk melawan ejekan rakan-rakan yang membulinya. Dia pun meletakkan dalam dirinya bahawa dia hanya boleh berkawan dengan budak perempuan dan  main serta bergaya seperti perempuan. Balik rumah, dia dipukul dan dimaki oleh ayah dan ibunya. “Anak tak guna. Buat malu aku saja, sudahlah lembik,  ada hati nak jadi perempuan pula! Kau nak sangat, kan? Hah, jadilah perempuan!”
                Apabila menginjak remaja, dia mula bergaul dengan orang-orang yang digelar ‘sotong’, ‘maknyah’, ‘pondan’ dan sebagainya. Orang sekeliling pun asyik mengata dan mengutuk dirinya tanpa ada rasa tanggungjawab untuk membawa dia ke jalan yang benar. Yang ada hanyalah, kejian, kutukan dan cacian. Dan, akhirnya, dia termasuk dalam kancah kegelapan sehingga sanggup menukar jantina melalui pembedahan.

                Salah siapakah? Doa siapakah yang menyebabkan dia menjadi begitu? Ya, inilah yang dikatakan “kata-kata itu boleh jadi doa”. Memang, secara umumnya, dialah yang bersalah kerana tidak mempertimbangkan akibat dan kesan daripada perbuatannya. Tapi, cuba kita fikirkan, siapakah yang menyebabkan dia tertekan? Jawapannya, Lisan! Ya, lisan rakan-rakan, lisan ibu bapanya, lisan orang sekelilingnya.
        
                Walaupun kutukan itu boleh mendatangkan manfaat sebagai contoh, agar si pelaku sedar kesalahannya dan berubah. Tapi, sejauh manakah matlamat itu berkesan. Kadangkala, matlamat tidak menghalalkan cara!

                Janganlah hendaknya kita menghukum dengan lisan. Sebaliknya, pulihkan dan pimpin anak-anak dengan lisan yang mendidik. RasulAllah SAW sendiri, sangat menjaga lisan. Kenapa bukan kita? Ya, kita memang bukanlah baik mana, tapi, sekurang-kurangnya, kita berusaha untuk menjadi baik. Semoga dengan kebaikan kita akan tumbuhlah manfaat dan kebaikan lain.

                Pernahkah anda membaca novel atau menonton filem ‘Dalam Mihrab Cinta’? Kalau yang pernah, kisah ini adalah salah satu contoh kesan lisan. 



Semoga kita dapat sama-sama menjaga lisan kerana kadangkala, kata-kata boleh jadi satu doa. -Cik Mai

Tuesday, December 20, 2011

Mood: Tak ada mood? Jom dapatkan mood!

           
     Sebagai manusia biasa, kita tak lari daripada mempunyai masa-masa angin tak berapa elok, kan? Tambahan pula, kalau kita seorang yang agak baran. Secara jujurnya, rasanya semua orang ada baran masing-masing. Namun, setakat mana tahap baran, bergantung pada individu sendiri. Kadangkala, bukan dipinta sikap baran, Cuma sifat itu menjadi darah daging oleh sebab keturunan.

                Tapi, ada juga yang menjadi baran sebab peristiwa yang berlaku dalam hidupnya. Macam dibuli ke, kurang perhatian dan kasih sayang ke, dan macam-macam lagilah! Baiklah, itu kalau mood yang ‘moody’.
 
               Kalau mood gembira tak terkata, ‘happy go lucky’ juga bergantung pada individu. Semua orang ada mood macam ni. Walaupun dia skema dan kelihatan tak ada perasaan! Haha… tapi, tahapnya juga berlainan mengikut individu. Mungkin sama juga faktornya dengan sifat baran, mengikut keturunan dan keadaan.

                Dalam dunia, kita tak sepatutnya menghukum (judge) seseorang itu tak ada perasaan. Hakikatnya, Allah bagi semua jenis perasaan kepada semua manusia. Tak ada yang tertinggal satu perasaan pun. Cuma, tahap perasaan itu berbeza-beza mengikut orang.

                RasulAllah pun seorang yang ceria.  Wajah baginda sentiasa ceria dan menenangkan. Saidina Umar Al-Khattab RA dan Saidina Hamzah RA sebelum memeluk Islam juga merupakan orang yang baran. Tapi, mereka mampu mengawalnya setelah memeluk Islam.

                Dalam hendak study pun, kita perlukan mood, kan? Kita tak boleh paksa diri sendiri. Nanti kita akan rasa terpaksa. Mungkin kita pernah merungut,

“Bertuahnya pelajar cemerlang yang selalu ada mood nak study!”

                Tahukah kita? Kita tak perlu memaksa diri untuk study! Tapi, kita perlu ada mood untuk study! Macam mana nak dapatkan mood? Bukan untuk mood study saja, tapi untuk mood-mood yang lain. Hah, macam ini.
1.      
  
 1. Berdoa
a)-andai kita marah, kita diam saja. Tenangkan diri, ambil wudhu’ dan berdoa supaya dapat ketenangan diri. Lupakan perasaan marah dengan mengelak dengan perkara yang buat kita marah dan buat kerja lain yang menyenangkan hati dan menenangkan.

b)-andai kita tengah malas, berdoa supaya kita dapat mood untuk jadi rajin. Jika kita tengah berbaring-baring, bangun dan rengangkan badan. Buat sesuatu yang menaikkan semangat (ikut cara sendirilah ye?). Kemudian, ucapkan Bismillah dan cuba buat kerja (study atau kerja di rumah seperti menyapu sampah dsb)

c)-andai kita tengah sedih. Menangis dahulu sampai puas. Luahkan pada diari atau orang yang memang rapat, memahami kita dan mampu menyimpan rahsia terhadap masalah kita. Basuh muka dan ambil wudhu’. Berdoa untuk menenangkan diri.

d)-andai kita tengah boring, berdoalah supaya kita dapat  buat sesuatu yang menarik dan bermanfaat untuk mengisi waktu boring tersebut. InsyaAllah, Dia akan ilhamkan perkara yang baik.

2. Beramal selepas berdoa
- Semua langkah selepas berdoa dah dinyatakan. Langkah kedua hanyalah mengamalkan langkah-langkah tersebut. Memang berdoa adalah jalan pertama, tapi, ingat! Doa tanpa usaha hanya sia-sia.

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (2:186)


Nak share sikit quote ni, hehehe:

Jadi, jom tawakal, bukan tawakul!
Jom amalkan sifat mahmudah, bukan mazmumah!
Jom jadi soleh dan solehah, toleh dan tolehah!
Jom jadi simple, tak ada trouble!
Jom amalkan yang mudah, sungguh tak susah!

Glosari:

 Tawakal: berserah kepada Allah selepas usaha
Tawakul: Berserah bulat-bulat kepada Allah tanpa usaha
Toleh: kata lawan bagi soleh

p/s: Hidup ni simple, RasulAllah pun hidup simple. =D


Saturday, December 17, 2011

Perihal Ombak: Sifatnya sementara


Ada apa dengan deru ombak? 

Ketika menulis entri kali ini, Cik Mai teringat pula filem 'Ombak Rindu'...

Sejujurnya, pada awalnya tertarik sebab dengar cerita best? Best sebab? Sebab orang kata novel tu best seller...
Jadi, cuba-cubalah nak membaca novel tersebut alang-alang dah ada di rumah (tak tau sapa beli).
Baca sikit pun, tak berminat nak baca sampai habis. Kenapa? Cik Mai seorang yang mudah mebayangkan situasi, jadi, rasa geli-geleman pula baca part awal-awal tu. Kemudian, Cik Mai terus langkau bab terakhir, haha. (Bagus punya perangai!)

Memandangkan dah lama tak berjumpa dengan kawan-kawan, dia-orang ajak keluar tengok 'Ombak Rindu'... (ikut jelah =.=')

Filem bagus, cuma kalau potong babak ranjang tu ok, kot? Bagus kerana pelakon yang handal memainkan watak. Sampai ada pakcik tu gelak gila-gila sebab anak lelaki dia menangis... haila~ penangan teruk juga filem ini.

Balik saja dari wayang, baca blog Rusydee Artz tajuk entri, Ombak Rindu la sangat... haha, amik! Makan dalam sikit sebab Cik Mai pun tengok juga... ngee...

Tapi, apabila dengar lagu Antara Dua Kasih-UNIC... seolah-olah lagu ini menghuraikan dengan lebih dalam apa itu deru ombak...ya, deru ombak itu, sifatnya kasih insan, bukan?






ya, di sebalik kejadian alam ini, Dia Maha Bijaksana mengatur semuanya. Dalam tiap-tiap kejadian, ada makna tersirat yang hanya orang-orang yang berfikir dan berakal dapat menghayatinya. Hidup ini juga ibarat Ombak, kadang tenang, kadang deras menghempas pantai.

Dan Dia lah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir). Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Ia jadikan padanya pasangan: dua-dua. Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir; (13:3) 
Oleh itu, marilah kita menghayati kebesaran Allah SWT dan menjalani hidup ini dengan panduan akal yang diberikan. Hmm, setakat itu sajalah nak cerita pasal Ombak. Wassalam-Cik Mai

Thursday, December 15, 2011

Memilih Novel: Anda perlu cerewet!



                Cik Mai suka baca artikel,novel, komik, majalah dan segala bahan bacaan sama ada dalam bentuk online ataupun berbuku. Sudah tentu bagi kaum hawa(majority), bahan bacaan amat dekat dengan mereka.

                Baiklah, bukan soal membaca yang nak dijadikan cerita. Tapi, novel. Kenapa? Sudah tentu kita semua tahu novel sangatlah digilai remaja mahupun orang dewasa. Zaman sekarang, kanak-kanak pun ada novel bagi peringkat usia mereka. Harganya? Ehem, faham-faham sajalah. Kalau dah tebal mestilah mahal, ye tak? Oleh itu, bagi mengelakkan kita rugi, lebih baik memilih dahulu sebelum membeli. Seelok-eloknya, dapatkan pandangan orang yang meminati jenis novel yang sama dengan kita.

                Apakah senarai keutamaan dalam memilih sesebuah novel?
  • 1.       Genre novel
  • 2.       Penulis
  • 3.       Sinopsis
  • 4.       Harga
  • 5.       Penerbit
  • 6.       Bahasa (Cik Mai pernah tertipu dengan tajuk novel dan sinopsisnya. Pabila dah beli dan baca, rupa-rupanya bahasa indonesia~ rugi gila!)
InsyaAllah, apabila kita sudah berkenan dengan sesebuah novel yang menepati keutamaan kita, kita tidak akan berasa rugi apabila membacanya. Pesanan! Jangan mudah terpedaya dengan kulit novel yang cantik padahal isinya tidak memuaskan. Zaman sekarang teknologi hebat-hebat. Pakar dalam bidang design pun ramai. Oleh itu, berhati-hati, ya?
Nak lebih jimat? Belilah novel di Pesta Buku. Lebih menguntungkan, kita dapat autograph daripada penulis asal novel tersebut. Membaca pun kena memilih, walaupun perkara ini kelihatan remeh saja,kan? Apa-apa pun, semoga mendapat manfaat daripada entri yang ringkas tidak seberapa ini.

Monday, December 12, 2011

Teduhan Hati

 
  Aku merenung ke luar jendela. Di luar sana, manusia sedang sibuk dengan hal masing-masing. Seakan belum ketemu kesudahannya.  Tetapi aku, di sini, sedang menanti sama ada akan berakhir atau bersambung kisah hidupku ini.
                “Assalamua’laikum,Nurul, sebentar lagi, pembedahan akan bermula…” beritahu Kak Nisah, jururawat yang bertugas.
                “Wa’alaikusalam…”aku sekadar menjawab salamnya.  Walaupun hidup seperti sediakala itu adalah harapan setiap insan yang menanggung derita sepertiku, tetapi, aku hanya berharap agar harapanku, sejak dahulu lagi, akan termakbul… selebihnya, aku serahkan kepadaNya.
                “Kak Nisah…” tiba-tiba aku rasa ingin menegurnya.
                “Ya?”
                “Papa tak datang lagi ke?” soalku. Kak Nisah menggeleng.
                Aku masih berharap, agar, Papa masih ingat, aku ialah anaknya. Aku juga keluarganya. Aku tidak minta seperti apa adik-adik dan ibu tiriku minta. Cuma satu, aku harap aku tak dipinggirkan sehingga sebegini rupa. Aku harap dan terus mengharap, aku dapat bertemu abang kandungku… juga arwah mama… walau mustahil!
-------------------
                Ubat bius disuntik ke dalam badanku. Dunia seakan kelam… gelap sekali. Mataku terpejam rapat. Tiada apa-apa di sekeliling. Gelap…
                Seketika kemudian…aku dapat rasa, cahaya semakin lama semakin mendekatiku. Perlahan-lahan kelopak mataku dibuka. Aku lihat sekeliling. Ini ruang lobi hospital. Aku jadi bingung. Kenapa aku berada di sini?
                Aku duduk di atas bangku. Aku lihat ada sepasang suami isteri bergegas masuk ke dalam hospital. Isterinya sangat sarat ketika itu. Seakan-akan sudah tiba saat kelahiran.  Si suami pula mendukung anak sulungnya.
                Aku tertarik untuk mengekori mereka. Entah kenapa, kehadiranku seakan tidak disedari sesiapa.  Ku amati wajah si suami. Aku seperti sangat kenal wajahnya. Siapakah dia?
                Si isteri dimasukkan ke dalam wad. Si suami setia menunggu bersama anak lelaki mereka. Aku hampiri mereka. Ingin sekali aku mengetahui apa yang terjadi selepas ini. Apakah kaitannya mereka sekeluarga ini denganku? Kenapa aku tertarik dengan mereka?
                Setelah beberapa lama… doktor keluar dengan senyuman manis. Ada riak keletihan sedikit di raut wajahnya.
                “Tahniah, encik. Anak perempuan… isteri encik stabil… Cuma, dia  perlukan masa untuk berehat…”
                “Alhamdulillah!”ucap si suami.
                “Papa, Akim dah dapat adik ke?” soal si anak kecil.
                “Ya… nanti kita tengok adik, k?”si suami mendukung anaknya dengan erat sekali. Ubun-ubun si anak digosok-gosok. Terpancar kegembiraan dari wajahnya.
                Aku dapat menangkap panggilan kepada si anak. Akim… adakah ini, keluargaku? Ya Allah… benarkah ini masa lampauku? Aku seakan ingin memeluk saja si anak kecil yang juga abang kandungku…Tapi, aku sedar, aku hanya dapat melihat saja…
                Air mataku menitis satu persatu. Melihat kebahagiaan saat itu. Andai dapat kumerasa saat ini… Tangisanku semakin lebat. Aku jadi sebak.  Tanpa sedar, dunia semakin kelam di sekelilingku. Aku membuka kembali mataku. Kulihat, papa sedang meng’iqamat’kan di telinga kiriku. Syahdu sekali suaranya. Mama… perempuan yang kulihat sarat tadi sekadar memerhati. Hatinya penuh rasa syukur juga bangga dengan zuriat mereka berdua.
                Ingin sekali aku mendakap mama saat ini. Mama, terima kasih kerana melahirkanku… Aku sudah mengerti kini, aku diperlihatkan masa laluku. Aku sedang berada dalam dunia lain. Ya… mungkin kuasa Allah yang ditunjukkan  kepadaku.
------------------
                Badanku seakan melayang ke sebuah tempat. Aku ‘terbang’ keluar dari hospital tadi. Destinasiku tidak pasti. Aku sekadar terbang sehinggalah sampai di suatu tempat…Tanah perkuburan. Aku kenal kawasan ini.
                Aku lihat imam membaca talkin. Hatiku sekali lagi dihimpit sayu. Aku seakan kenal wajah seorang budak perempuan yang sedang didakap oleh abangnya… itulah aku. Dan, papaku turut berada di situ. Juga ibu tiriku yang sedang mengandung.
                Perit rasanya saat ini. Jantungku bagai disentap hebat. Mengapa saat mama dalam penderitaan, tegar sekali papa menduakan kesetiaan mama? Sehingga kini, aku tidak dapat lupakan peristiwa ini. Saat ini, papa dan ibu tiriku baru diakad nikahkan sehari sebelumnya. Papa… sampai hati kau melakukan dosa demi kehendak dirimu saat isterimu tak mampu memberikannya?
                Aku terbang ke sebuah tempat lagi. Di sana, di rumah lamaku, mama sedang terlantar. Pipinya basah dengan air mata. Aku dapat mendengar kata-katanya.
                “Abang, sudah terbukti abang yang bersalah. Abang, hanya satu pintaku, walau abang sudah mengkhianatiku tapi, tolonglah bertanggungjawab terhadapnya… sebelum mata ini tertutup buat selamanya…”
                Jelas terpancar rasa kesal di wajah papa. Tetapi, bagiku, andai papa sudah terlanjur, sudah tentunya dia perlu bertanggungjawab!
                Aku tinggalkan tempat-tempat ini. Aku terus terbang ke sana sini mencari arah tuju yang lebih bermakna. Di sebuah taman, aku berhenti seketika waktu. Seorang wanita menghampiriku. Wajahnya berpurdah. Dari matanya, terpancar keikhlasan hatinya. Entah kenapa aku dapat merasakannya.
                “Assalamua’laikum… boleh umi duduk di sini,”ucapnya sambil membahasakan dirinya sebagai umi.
                “Wa’alaikumsalam… silakan, apa salahnya…”ujarku.
                “Apa yang sedang anak khuatirkan? Tampak bimbang saja…”
                “Entahlah… ermm…”aku tersentak seketika.
                “Macam mana umi boleh lihat saya?”soalku penuh rasa terkejut.
                “Kun Faya Kun… Umi tahu kamu bukan manusia di alam ini… kerana umi juga begitu…”jawabnya tenang.
                “Siapa umi…?”aku bertambah bingung.
                “Bukankah Umi sudah cakap tadi? Hmm, apa-apa pun, memandangkan kita serupa, apa kata anak ikut umi?”pelawanya.
                “Ke mana?”soalku lagi. Persoalan tadi dibiarkan tenggelam begitu saja.
                “Ikut saja…”
----------------------------
                Aku dan Umi berada di bawah pokok berhadapan sebuah rumah. Aku tahu rumah tersebut. Itulah rumah Pak Su dan Mak Su. Aku lihat papa bersalaman dengan Pak Su. Kepala abang diusap-usap, dicium ubun-ubunnya.
                Ketika itu, abang seakan menahan tangis. Namun, aku sangat yakin ketika inilah, papa menyerahkan abang kepada Pak Su dan Mak Su yang tidak mampu memperoleh zuriat.  Sejak itulah, aku dan abang terpisah.
                Papa menghidupkan keretanya. Dia berlalu meninggalkan ketiga-tiga orang itu. Abang seakan mampu menerima hakikat. Aku sangat yakin, abang selamat dengan Pak Su dan Mak Su. Tiadalah lagi penganiayaan kepada abang… oleh ibu tiriku.
                “Anak kenal mereka?”soal umi.
                “Ya… kenal… Pak Su, Mak Su, Abang…”jawabku.
                “Sekarang mereka di mana?”soal umi.
                “Setahu saya, sejak beberapa tahun yang lalu, setelah penyerahan abang kepada keluarga Pak Su… Pak Su sekeluarga telah berpindah keluar Negara… sehingga kini, tiada khabar berita tentang mereka…”jawabku.
                “Anak… anak teringin tak nak tahu keadaan sekarang? Di sekolah... ??”soal umi.
                “Mestilah!”aku menjawab dengan beriya-iya.
                “Mari…”
----------------------
                Di kelasku. Guru kelasku memaklumkan keadaanku. Saat ini, peperiksaan percubaan SPM sudah tamat. Hatiku jadi sebak. Aku tidak dapat mengambil peperiksaan tersebut. Cita-cita tinggi ingin mencapai kejayaan kelak… namun, dalam mendaki puncak, belum pasti kan sampainya aku.
                “Humairah sedang menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan di otaknya. Mari kita doakan keselamatannya…”ucap guru kelas, Puan Suraya.
                Seisi dewan menadah tangan mendoakanku. Aku dapat melihat, Aisyah, sahabat karibku berdoa dengan penuh kesungguhan.  Aku terharu melihatnya. Selama ini, kusangkakan, aku dan dia sudah tidak lagi bersahabat baik… rupa-rupanya, jauh di sudut hatinya, dia amat merinduiku… Perselisihan faham lalu membuatkanku menyesal kini. Entah kenapa, saat ini aku seperti ingin mendakapnya, memohon maaf atas keegoanku!
                “Anak, apakah yang terjadi sebenarnya?”soal Umi.
                “Sebenarnya, di antara saya dengan Aisyah, kami saling bersaing. Aisyah cemburu dengan saya kerana, setiap apa yang diingininya, akan saya miliki, bukan dia… Dia belajar bersungguh-sungguh, tetapi saya tidak… malangnya, keputusan peperiksaan saya lebih baik berbandingnya. Saya sedar akan hal tersebut. Saya sentiasa berdoa semoga dia akan jauh lebih baik berbanding saya… namun, doa saya tidak makbul. Saya sering dengar keluhannya, dan saya setia mendengar dan memahaminya… Satu hal yang meracuni persahabatan kami ialah hadirnya seorang lelaki bernama Azli. Saya sedar Aisyah menyimpan perasaan terhadap Azli, tetapi Azli pula menaruh hati terhadap saya… Saya tidak melayannya… tetapi, fitnah yang tersebar mengenai saya telah merenggangkan persahabatan kami… sehingga kini…”jelasku panjang lebar.
                “Anak, cemburu tanda sayang… Mana mungkin seorang sahabat akan tidak tergugat jika dia ingin setanding dengan sahabatnya… Dia ingin setanding dengamu kerana dia sayangkanmu… Cemburu bukan Hasad Dengki, sayangku…”nasihat Umi.
----------------------------
                “Anak, ada satu saja lagi tempat terakhir yang ingin umi bawa sebelum kita berpisah…”
                “Di mana, umi?”
                “Di situ, sayangku… di surau sekolah kamu… Mari… Mereka baru saja selesai menunaikan solat Zohor,” Umi memimpin tanganku. Kami sama-sama masuk ke dalam surau.
                “Lihat, Humairah… adik-adik kamu merinduimu. Adik- adik seperjuanganmu, mereka sama-sama menadah tangan dengan penuh kesungguhan mendoakanmu, Humarah… Lihat pula, adik-adik yang sering menentang nasihatmu, mereka lebih menyayangimu…”ujar Umi.
                “Umi… saya tak sangka… Ya Allah… Ampunkan dosaku… Ya Rabb,” hatiku merintih.
                “Humairah, perjuanganmu menegakkan syariat di sekolah ini tidak sia-sia… Bukan sekadar kasih Allah didamba, tetapi, kasih manusia mengelilingi dirimu... Humairah, andai diberi peluang kedua untuk hidup, jangan sia-siakan perjuangan kamu sebagai seorang serikandi…”pesan Umi.
                “Umi… terima kasih…”ucapku penuh hiba.
                “Sayangku, bersyukurlah kepada Allah yang telah memakbulkan harapanmu…”
                “Umi, sebelum kita berpisah… izinkan saya mengetahui siapa sebenarnya Umi?”pintaku buat kali terakhir.
                “Umi… ialah mama kamu…”Umi membuka purdahnya. Wajahnya berseri-seri. Dapat kulihat nur di wajahnya.
                Aku ingin mendakapnya namun, dia ghaib begitu saja. Aku hampa… Berlinangan air mata rinduku. Ya Rabb… aku merasa pedih di mataku. Kemudian, dunia sudah gelap gelita, tiada apa yang ku sedar selepas itu.
-------------------------
                Kubuka mataku perlahan-lahan. Kulihat sekeliling. Aku sudah kembali ke dunia asalku. Kulihat papa di sisiku sedang lena menanti kesedaranku. Ya Allah, selama ini kufikir papa sudah menyisihkan aku daripada hidupnya.
                “Alhamdulillah, adik sudah sedar…”ujar seorang doktor yang baru saja masuk.  Di kotnya tertera nama Hakim.
                “Doktor… bagaimana dengan keadaan saya, sekarang?” soalku.
                “Alhamdulillah… ketumbuhan di otak sudah Berjaya dibuang… mujurlah masih belum terlambat…”ujar Dr.Hakim.
                Papa tersedar dari lenanya. Dia seakan tidak percaya. Dia mencium dahiku. Air matanya menitis di dahiku. Aku kaku tidak percaya dengan apa yang papa lakukan ini.
                “Adik, syukur Alhamdulillah, adik dah sedar… Adik… ini abang yang adik tunggu sejak sekian lama… Dr. Hakim… abang kandung adik!” ucap papa. Dr. Hakim menghampiriku dan mengusap air mata papa yang menitis tadi.
                “Ya… Abang dah balik, adik…”dia menatap wajahku.
                Serta-merta aku mengucap tahmid dan tasbih.  Ya Allah, setinggi-tinggi syukur ke hadratMu! Kau telah menyatukan aku dengan keluargaku. Aku seakan dilahirkan semula ke dunia ini, dengan kebahagiaan yang kulihat sewaktu kelahiranku dahulu.

                Walau aku hanya dapat bersama Mama buat seketika, itu sudah cukup memadai bagiku.  Semoga peluang kedua ini tidak akan aku sia-siakan. InsyaAllah!

Di sebalik keterikan bahang dalam hati,
Sebatang pohon menjanjikan teduhan hati,
Iaitu pohon harapan kepada Ilahi...

Setia Kasih

Zara membasuh mukanya sebersih-bersihnya. Tekanan perasaan benar saat ini. Sudah menjadi tabiatnya, dia tidak suka mengamuk, tetapi, apabila rasa geram melanda, airlah jadi teman akrabnya. Dia menghembuskan nafasnya. Rasa dingin menyapa mukanya.
                Entah kenapa, hatinya bagai disiat-siat setelah mendengar kutukan jiran kampung. Yang sebenarnya, dia sudah lali dengan mulut orang kampung. Tetapi, tidak pula hari ini.
                “Akak, berapa harga semua ni?”soal Zara sebelum membayar harga barang-barang dapur yang dibelinya di Kedai Kak Limah.
                “RM 15.70…”jawab kak Limah.
                “Hai… banyak membeli Zara?  Ada yang datang meminang ke?” seloroh Kak Limah yang memang peramah. Zara faham akan gurauan Kak Limah. Kak Limah bukan seperti orang lain.
                “Kak Limah… ada ke orang nak masuk meminang lagi?  Kalau datang pun, mesti kena tendang lagi… maklumlah… orang jual mahal,kan?”tajam sekali sindiran Sofea, yang sebaya dengannya, sudah beranak dua.Sofea memang sejak di bangku sekolah lagi cemburu dengan Zara, dek kerana suaminya dahulu sangat mencintai Zara walaupun tidak diterima.
                “Kau ni Sofea… tak baiklah cakap begitu…”
                “Saya balik dulu ye, Kak Limah… nanti menangis pula Humaira’ kat rumah tu… Assalamua’laikum!”
                “Hai… orang dah tak ada teman, jaga anak cacat pun jadilah,ye tak?” kata-kata itu memang membuatkan Zara rasa bagai gunung berapi Krakotoa! Dia segera beredar, malas mencari fasal.
                Peristiwa itu dilupakan. Zara keluar dari tandas bersama tuala kecil yang digunakan untuk mengelap mukanya.
                “Umi Ja… tengokla… Ira lukis ni… hikhik… lawa tak?”Humaira’ datang kepadanya dengan gaya manja yang tak sudah. Seketika, hatinya terubat sedikit daripada amarah.
                “Lukis apa ni, sayang?”Zara mencapai lukisan anak kecil istimewa tersebut.
                “Ni Umi… Ni Ira… Ira nak lukis ibu dengan ayah… tapi kan… Ira lupa la… muka diorang cam maner, Umi… ”Humaira membuat muncung. Seolah-olah menzahirkan kedukaannya dek kehilangan ibu bapanya. Zara menghela nafas. Berat sekali bunyinya… dia sedar, Humaira’ sejak dahulu lagi, sangat merindui insan yang telah pergi itu… apakan daya…


Imbas Kembali
                Zara mendukung anak kakaknya itu penuh kasih. Dia kucup bersama linangan air mata. Tahlil baru saja berakhir. Hujan yang lebat semakin mendinginkan suasana sepi rumah pusaka tersebut. Kepulangannya Aidilfitri ini bukanlah yang terindah.
                Hampir seharian menunggu, rupa-rupanya memang keluarga kakaknya tidak akan sampai lagi. Mereka sekuluarga terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke kampung. Dan, Humaira’, anak kecil itu… kecerdasan mindanya diragut bersama nyawa ibu bapa yang dikasihi. Asalnya, gadis kecil itu seorang yang normal, namun, setelah pembedahan dilakukan, dia mengalami penyakit autisme.
                Tetamu beransur-ansur pulang. Yang tinggal hanyalah Kak Limah yang sedia membantu Zara yang masih dalam kesedihan.
                “Zara… Kak Limah harap, Zara kuatkan semangat yer… Yang ni sajalah Kak Limah mampu tolong, Kak Limah balik dulu ya?”ucap Kak Limah sebelum pulang.
                “Terima kasih banyak-banyak Kak Limah… saya minta maaf susahkan Kak Limah hari ni… yelah, sepatutnya, musim raya ni, Kak Limah ada ramai tetamu sanak-saudara yang perlu dilayan…”kata Zara, yang serba salah dengan budi baik Kak Limah.
                “Janganlah cakap begitu, Zara. Mak ayah Zara lagi banyak tolong keluarga akak. Ini saja yang mampu akak tolong, Zara…”balas Kak Limah.
                “Kak Limah… setiap ujian itu tanda kasih sayang Allah,kan?”entah kenapa, sebak yang terbuku dalam hati terluah juga.
                “Benar, Zara. Semakin kita diuji, semakin kita dekat denganNya…” Kak Limah mendakap Zara yang semakin sebak.
                Pelukan terlerai. Kak Limah membuka payungnya lalu turun daripada rumah pusaka ibu bapa Zara itu. Zara menghantar pandangannya sehinggalah kelibat Kak Limah tenggelam dek kejauhan dalam gerimis hujan yang semakin reda.
---------------------------------------------------------
                Sebagai seorang guru, sudah menjadi rutinnya untuk keluar dari rumah, menuju ke sekolah, berdepan dengan pelbagai ragam guru dan pelajar. Hari ini, Zara memulakan harinya dengan penuh tenang. Humaira’, sejak awal pagi lagi dihantar ke sekolah khas.  Kemudian, dia menuju ke sekolah tempat dia mengajar.
                Keretanya memasuki pintu gerbang Sekolah Menengah Sains Kepala Batas. Senyuman disedekahkan kepada pengawal keselamatan yang sudah hampir separuh abad itu, sekadar menghormatinya.  Dia memarkir keretanya di tempat letak kereta guru berhadapan pejabat sekolah.
                “Assalamua’laikum, Cikgu Zara,”tegur Ustaz Haikal yang juga baru saja sampai.
                “Wa’alaikumsalam…”jawab Zara. Dia mengatur langkah ke pejabat untuk punch card seperti biasa.
                “Err, cikgu…”Ustaz Haikal cuba menahannya, seperti ada hal yang ingin diperkatakan.
                “Ya, ustaz? Ada apa?”soal Zara, sedikit hairan. Selalunya, Ustaz Haikal tidak gemar menegur orang,terutamanya perempuan melainkan sekadar senyuman biasa.
                “Saya nak tanya… sama ada ustazah masih ada ibu atau ayah…”soal Ustaz haikal, dalam keadaan teragak-agak, bimbang akan menyinggungkan perasaan Zara.
                “Ibu bapa saya dah meninggal,”jawab Zara ringkas.
                “Abang? Saya rasa cikgu ada abang bukan?”soal Ustaz Haikal lagi.
                “Hmm… mana ustaz tahu?”soal Zara pula.
                “Saya rasa je…”Ustaz Haikal tunduk sedikit. Mungkin malu barangkali…
                “Abang dan kakak ipar saya baru saja meninggal, tahun lepas… saya tinggal dengan anak saudara saya,”jawab Zara dengan lengkap, kerana dia pasti Ustaz Haikal akan bertanya lagi. Zara seolah-olah dapat menangkap isi hati Ustaz Haikal. Dia sudah lali dengan soalan sebegitu. Ustaz Haikal bukanlah orang yang pertama yang bertanya seperti itu.
                “Innalillah…”ucap Ustaz Haikal.
                “Kalau tak ada apa-apa, saya masuk pejabat dulu, nanti lambat pula nak punch card,” Zara meninggalkan Ustaz Haikal yang masih dalam keadaan sedikit resah itu. Ustaz Haikal jadi terpinga-pinga seketika. Kemudian, barulah dia sedar, dia terlupa hendak punch card pula.
                “Astaghfirullah… macam mana aku boleh tercegat lagi kat sini, nanti, lambat pula masuk pejabat…”bisik hatinya.
------------------------------ -----------------------------   
                  Zara masuk ke kelas 4 Aluminium dengan bersemangat untuk mengajar subjek sejarah. Senyuman yang manis dihadiahkan kepada anak muridnya. Seisi kelas berdiri lalu member salam seperti biasa. 
                “Baiklah, sebelum kamu semua duduk, saya nak, macam biasa… ada apa-apa soalan sebelum kita sambung bab seterusnya? Kalau tak ada, kamu tak boleh duduk lagi!”tanpa sedar Zara tersengih.
                “Cikgu… zaman batu betul-betul wujud ke?”soalan cepumas daripada Aisyah, pelajar cemerlang sejarah.
                “Bagus soalan kamu… ni mesti baru tengok video ‘Akhir Zaman’, kan?”
                “Hehe… cikgu dah tengok ke?”soal Aisyah lagi.
                “Mana boleh saya ketinggalan… hmm, kelas, siapa yang dah tengok video tu?”soal Zara.
                Hampir separuh daripada pelajar kelas tersebut mengangkat tangan.
                “Nak tengok tak?” Zara sengaja menarik perhatian pelajarnya.
                “Nak!!!” seisi kelas menjawab.
                “Kalau macam tu… nanti saya tempah bilik tayangan dengan syarat…”
                “Apa syaratnya cikgu?”soal Nabil yang tak sabar-sabar nak menonton video yang semakin hangat itu.
                “Kita habiskan sukatan dulu… ala, tak banyak pun, ada sikit je lagi… ok?”Zara cuba menaikkan semangat mereka.
                “Okla…”kendur saja jawapan mereka.
                Zara menggeleng. Dia membelek buku teks. Ya, Zaman Gelap Eropah. Topik yang sangat menarik. Barat yang diagungkan anak-anak muda zaman sekarang, hakikatnya dahulu, bangsa inilah yang paling mundur, yang paling kolot! Sedangkan umat islam ketika itu mencapai tamadun yang sangat hebat, bersama ilmuwan yang berjasa dalam bidang ilmu zaman sekarang, malangnya telah ‘dipadam’ sejarah mereka.
                “Saya nak kamu baca dan bincang  dulu bab ni, lepas tu, kita buat kuiz sejarah. Hadiahnya ada dalam kereta saya… setiap kumpulan yang dapat markah tertinggi, dapatlah hadiah, yang terendah, saya juga akan bagi ‘hadiah’… tapi, hadiah tu lain sikitlah…”Zara tersengih lagi.
                Setelah masa yang diberikan tamat, maka, berperanglah kumpulan-kumpulan pelajar dalam kelas tersebut. Syukur, Alhamdulillah, pembelajaran hari ini tiada aura mengantuk macam selalu.
                “Baiklah… pemenang kali ini, kumpulan C! Kalau nak hadiah, ketua kumpulan pergi ambil kat tempat duduk belakang kereta saya…”
                “Cikgu… jangan lupa video akhir zaman…” pesan seisi kelas.
                “InsyaAllah!” Zara gembira hari ini. Kelas hari ini mencapai matlamat…
--------------------------------  
                Zara pulang ke rumah setelah selesai tugasnya sebagai seorang pendidik pada hari ini. Dia terlihat Pak Long sedang berbual di halaman rumah dengan sepasang suami isteri yang sudah berusia.  Zara memang berniat hendak ke rumah Pak Long hari ini memandangkan dia sudah meminta bantuan Pak Long untuk mengambil Humaira’ dari sekolah dan tinggal sebentar di rumah Pak Long kerana dia pulang agak lewat sedikit. Sebelum keluar dari kereta, dia mengambil bungkusan kuih yang dibeli tadi untuk diberikan kepada Pak Long sekeluarga.
                Dia menuju ke rumah Pak Long. Dari jauh, Pak Long sudah tersenyum melihatnya.
                “Zara, cepat sikit mari sini, tetamu dah nak balik dah ni…”ujar Pak Long. Zara mempercepat langkah kakinya.
                “Assalamua’laikum,” ucap Zara lalu bersalaman dengan tetamu tersebut. Dia menyertai mereka yang sedang duduk di bangku halaman rumah Pak Long. Dia bertentangan dengan tetamu tersebut.
                “Elok benarlah kalau macam ini, Zara pun dah balik…”kata Pak Long.
                “ Yang sebenarnya, makcik dengan pakcik ni, ada hajat. Kami ni mak ayah Haikal,”jantung Zara bagaikan nak luruh saja. Baru pagi tadi Ustaz Haikal bertanya itu dan ini.
                “Oh, begitu…”
                “Zara kenal, kan?”
                “Ya, rakan sekerja saya…”
                “Sebenarnya, makcik dan pakcik ni dah lama kenal  Zara. Kami dah lama kawan dengan Pak Long kamu ni. Kuasa Allah menentukan segala-galanya. Dunia ini kecil, Zara. Tanpa pengetahuan kami, Haikal dah lama menyimpan hajat ini. Adakah Zara sudi menjadi menantu kami?”soalan inilah yang sering singgah menghantui hatinya.
                Zara menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia menyusun kata supaya tidak menghampakan kedua-dua tetamu itu.
                “Makcik, Pakcik… saya tak seperti wanita lain… saya tak mungkin dapat memenuhi impian setiap insan yang sudah berumah tangga. Saya tak mampu melahirkan zuriat… Lagipun, saya bertanggungjawab menjaga anak saudara saya…”
                “Zara, selama ini, kami sudah tahu mengenai hal tersebut. Kami sedia menerima kamu, Zara…”akui tetamu tersebut.
                “Makcik, Pakcik… mungkin makcik dan pakcik boleh terima saya… tapi, bagaimana dengan Haikal?”soal Zara sedikit gugup. Dia tunduk. Sekali lagi, dia membuka aibnya supaya tiada yang akan kecewa nanti.
                “InsyaAllah, saya akan terima seadanya…” Ustaz Haikal muncul sambil mendukung Humaira’. Zara tergamam. Sebelum ini, Humaira’ enggan didukung sesiapa melainkan orang yang rapat dengannya saja.
                “Zara… Sudikah pula kamu menerima kami?”soalan itu dibiarkan tidak berjawab. Dia perlukan masa.
                “Saya perlukan masa…”itulah jawapan terakhir daripada Zara.
-----------------------------------  
                Malam itu, entah kenapa Zara rasa gelisah benar.  Makan malam bersama keluarga Pak Long malam itu tidaklah semeriah sebelum ini. Entah kenapa, dia berasa segan pula kali ini. Humaira’ pula, ceria semacam saja.
                “Kak Zara… ok ke?”soal Fetima, sepupunya yang bakal mengambil SPM.
                “Ehem… akak ok jelah… tak ada apa-apa…” Zara cuba menyelindungkan perasaan gelisahnya.
                “Macam mana Zara? Dah fikir belum? Sebelum ni, yelah… setiap yang datang, mesti melupakan hajat mereka… tapi, kali ni, tak lagi kan?”soal mak Long, yang sudah seperti ibunya sendiri.
                “Zara… Mak Long, siapa di dunia ini yang tak mahu zuriat sendiri?”entah kenapa, soalan yang menghampakan seumur hidupnya itu diulang kembali…
                “Zara… memang betul kata  kamu tu. Tapi, siapakah yang dapat menidakkan takdir, Zara? Jika kamu masih ragu-ragu, istikharahlah… itu jalan terbaik,”nasihat Mak Long.
                “Akak, senyum la sikit, janganlah asyik gelisah jer… Lupakan sekejap yer kisah petang tadi?” ujar Fetima.
                Zara mengukir senyum tanda menghargai perhatian yang diberikan oleh kedua-dua orang anak beranak itu. Pak Long tiada bersama kerana ke masjid untuk mendengar kuliah agama. Seketika, Zara berasa amat bahagia, walaupun tanpa ibu, ayah dan abang sekeluarga. Hidup ini, seperti lautan. Kadangkala tenang, kadangkala bergelora…
----------------------------------------------------   
                Video ‘Akhir Zaman’ yang ditayangkan sekadar ditonton tanpa penghayatan. Lagipun, sudah berkali-kali dia menonton video tersebut. Zara lebih memikirkan lamaran Ustaz Haikal tika ini. Sudah tiga hari berlalu, dan sudah tiga kali di beristikharah. Gerak hatinya rasa ingin terima. Tetapi, entah kenapa, dia rasa belum bersedia lagi untuk menyatakannya. Ya Rabb, bimbinglah hatiku ini.
                “Cikgu… dah habis dah…”kata Aisyah.
                “Oh, dah habis… hmm, baiklah. Saya tayangkan video ini, supaya kita semua sedar reality kita sekarang. Tetapi, jangan percaya 100% video ini…faham?”kata Zara.
                “Tapi, kenapa cikgu?”soal Haziem.
                “Video ini, sumbernya ada yang sahih, dan ada yang tidak. Tambahan pula, yang buat video ini, hanya manusia biasa. Manusia tidak sempurna. Jadi, tak patutlah kita percaya 100%... bukanlah maksud cikgu tak boleh percaya langsung, tapi, kita kena pandai menilai dan mengambil iktibar daripada video ni. Okla, cikgu nak tanya, apa pendapat kamu tentang video ni?”soal Zara.
                “Cikgu, kenapa kita kena belajar benda yang tak betul?”soal Zafri, yang berkaca mata tebal.
                “Zafri, kita ambil benda tu sekadar pengetahuan je… Yang betul kita pegang, yang salah kita kena tahu. Kalau kita tahu yang salah, senanglah kita kena tipu, kan?”hujah Zara begitu menyakinkan seisi kelas.
                “Kesimpulannya, kita memang dah banyak kena tipu, kan, cikgu?”ujar Aisyah pula.
                “Betul tu… Sejarah memang boring… Seriously, tipu la kalau cikgu kata cikgu tak pernah tidur dalam kelas sejarah dulu… walaupun cikgu minat sejarah. Tapi, sejarah ni penting bukan sebab subjek lulus SPM, tapi, sejarah membuktikan kehebatan kita, sejarah mengangkat maruah kita… jadi, tanggungjawab kita sekarang, kita kena cipta sejarah baru… Kamu semua kena cipta sejarah cemerlang SPM tahun depan…boleh?”Zara cuba menaikkan semangat para pelajarnya.
                “InsyaAllah, boleh!!!”
                Pintu bilik media diketuk… Ustaz Haikal masuk. Tiba-tiba, jantung Zara berdegup kencang bagai tak keruan saja bunyinya.           
                “Ni  kelas 4 Aluminium, kan? Lepas ni, kamu semua stay kat sini saja. Satgi kelas saya,kan?”soal Ustaz  Haikal.
                “Ustaz, tak payah bawak buku ke?”soal Aizam, selaku ketua kelas.
                “Tak payah, hari ni saya nak tayang video pasal Haji. Itu saja, okay?”
                “Okay, Ustaz… waa, syok la hari ni, duduk kat library je…”ujar Naqib, yang memang gemar berada dalam perpustakaan.
                “Minta maaf, Cikgu Zara, mengacau kelas sekejap…”ucap Ustaz Haikal.
                “Eh, tak apa…”entah kenapa, dia tidak kisah pula ada yang mengganggu kelasnya. Sebelum ni, dia kurang senang apabila guru atau pelajar lain mengganggu kelasnya. Tetapi, dia tidaklah geram pun, dan tidaklah pula menunjukkan reaksi tersebut.
                “Baiklah, sekarang saya nak bagi projek kepada kamu semua. Saya nak, kamu cari maklumat pasla sejarah dunia, yang tak ada dalam buku teks, bukanlah yang tak ada kaitan langsung dalam buku teks, tapi, faktanya lagi jelas daripada dalam buku teks. Boleh buat sendiri ataupun berkumpulan. Buat dalam bentuk folio atau nota poket. Boleh tulis sendiri atau bertaip. Ikut sukalah, tapi, biarlah kemas dan menarik… InsyaAllah, bulan depan, giliran Panitia Sejarah pula untuk buat pameran di perpustakaan. Jadi, hasil kerja kamu, saya akan pamerkan. InsyaAllah…”kata Zara sebelum kelas Sejarah berakhir.
                “Bangun semua, terima kasih cikgu!”ucap ketua kelas diikuti seisi kelas.
--------------------------------

                Zara sudah bersedia berhadapan dengan keluarga Ustaz Haikal. Seperti yang diaturkan, dua buah keluarga bertemu bagi mengetahui keputusan si gadis yang dilamar.  Dengan ucapan bismillah, majlis dimulakan.
                “Seperti yang dijanjikan, hari ini, saya menunaikannya. Saya…”Zara masih berdebar-debar untuk meneruskan keputusannya.
                “Saya… terima lamaran Ustaz Haikal,” akhirnya terluah juga.
                “Alhamdulillah… jadi, bolehlah kita tetapkan tarikh pertunangannya, ya?” ucap bapa Ustaz Haikal, Haji Muhammad.
                “Bagaimana, Zara?”soal ibu Ustaz Haikal pula, Hajah Rosnah.
                “Saya serahkan kepada Ustaz Haikal saja…”Zara sedikit tersipu malu. Pipinya yang puti gebu itu tanpa disedari sedikit kemerah-merahan.
                “Ermm, kalau boleh, hujung minggu ini?”Ustaz Haikal sekadar mengagak.
                “Oh, elok sangatlah tu, lagi cepat lagi bagus,kan?”usik pak Long.
                “Yeye… Ucetad jadi  Abi… Ira suke… takde la Umi Ja sunyi nanti…”celoteh Humaira’, gadis kecil yang istimewa di hati Zara itu.
                “Amboi… Ira dah pandai ye berjiwang pulak nih… sapa ajar ni?” Zara mencubit manja pipi Humaira’.
                “Alaa… ucetad la yang ajar… selalu kan… kalau Ira pergi taman mainan dengan Tok long… mesti Ucetad ada… siap bagi cokelat lagi!”kata-kata Humaira’ itu membuatkan Ustaz Haikal tak senang duduk pula. Ustaz Haikal malu sendiri.
                “Oh, patutlah…”Zara tersenyum kecil. Memang patutlah Humaira’ rapat dengan Ustaz Haikal… Zara teringat Ustaz Haikal mendukung Humaira’ tempoh hari. Pak Long serta ibu bapa Ustaz Haikal ketawa.
                Alhamdulillah, kini, Zara sudah menemui insan yang sudi menerimanya seadanya. Akhirnya, Allah memakbulkan doanya, walaupun bertahun-tahun dia menanti. Tiada apa yang dapat diungkapkan melainkan hanya syukur semata-mata. Kepala Humaira’ diusap-usap penuh kasih. Anak kecil ini telah menemani hidupnya yang sunyi tanpa teman sekaligus menjadikannya seorang wanita yang bernaluri keibuan yang tinggi biarpun tak mampu beroleh zuriat sendiri akibat sakit pangkal rahim.
-----------------------------------------   
                Pameran Panitia Sejarah akan dijalankan serentak dengan Panitia Pendidikan Islam. Aduhai, Zara jadi tak keruan pula. Di sekolah, belum ada sesiapa pun yang tahu mengenai statusnya sebagai tuning Ustaz Haikal.  Malah, mungkin mereka tak akan terjangka kerana Ustaz Haikal jarang bertegur sapa dengannya.
                Semasa dia menyusun bahan-bahan pameran bersama pelajarnya, dia tidak sedar akan kehadiran Ustaz Haikal yang mempunyai tujuan yang sama. Mujurlah, Ustaz Haikal tidak menegurnya apa-apa. Kalau setakat duduk berhampiran saja Zara rasa bagaikan nak luruh jantung, inikan pula kalau bertegur sapa, pengsan la jawabnya! Dia tidak tahu kenapa dia harus segan yang amat terhadap bakal suaminya itu.
                Setelah selesai kerjanya, dia segera beredar. Ustaz Haikal hanya memerhati. Hai, sudah hampir sebulan mereka bertunang, tapi, Cikgu Zara seorang ini masih lagi begini. Mungkin segan masih menebal lagi agaknya. Sebelum ini, Cikgu Zara yang dicintainya itu bukanlah seorang yang sangat pemalu seperti sekarang.
                ‘Apa-apa ajelah…’ keluh Ustaz haikal dalam hati sambil menggeleng.
                “Ustaz, kenapa Cikgu Zara tu kalut semacam jer? Dia sakit perut ke?”soal Badri yang kehairanan.
                “Entahlah… betullah kut sangkaan kamu tu… hmm, ada lagi yang nak disusun?”soal Ustaz Haikal.
                “Dah habis dah ustaz…”ujar Badri mewakili rakan-rakannya yang lain.
                “Oh, terima kasih ya… nah, saya belanja, belilah apa-apa aja yang kamu semua nak beli,”Ustaz Haikal menghulurkan wang RM 5 seorang.
                “Buat susah-susah je, ustaz ni… tak apalah ustaz, sikit je kami tolong ni…”sopan sekali Badri menolak.
                “Kalau macam tu, kamu semua ikut saya ke kantin, sekarang dah rehat kan? Kita makan ramai-ramai,”ajak Ustaz Haikal yang memang mesra dengan pelajarnya.
                “Terima kasih ustaz…”belum sempat Badri menolak sekali lagi, Hadi yang berada di sebelahnya menjawab.
 ‘Amboi, suka hati saja kawan aku ni’bisik hati Badri.
Akhirnya, mereka akur dan mengikut Ustaz Haikal ke kantin.
------------------------------------------   
                Zara keluar dari bilik makan guru di kantin. Dia melihat Ustaz Haikal bersama para pelajarnya. Hatinya senang melihat keakraban bakal suaminya itu dengan para pelajar.  Tidak hairanlah, Ustaz haikal memang orang yang terbaik dari pandangannya. Tanpa disedari, telefonnya bordering.
                “Zara, Pak Long ni… Humaira’ accident!”panggilan telefon daripada Pak Long itu memang amat mengejutkan. Zara pengsan tidak sedarkan diri.
                Para pelajar perempuan yang berada berhampirannya segera menyambutnya. Zara dibawa ke bilik rawatan oleh beberapa orang guru lain yang turut berada di situ.
---------------------------------   
                “Zara, are you okay?” Soal Cikgu Wani setelah Zara tersedar daripada pengsan.
                “Wani… anak saudaraku accident !” Zara menangis teresak-esak.
                “Kau ambil cuti kecemasan dulu. Lepas tu, aku tolong bawa kau ke hospital ya?”Cikgu Wani menawarkan pertolongannya.
                “Terima kasih, Wani!” Zara memeluk rakan sekerjanya yang amat prihatin itu.
                Setelah segala urusan selesai, Cikgu Wani membawa Zara ke hospital. Zara tidak berdaya menanggung kesedihan lagi. Setelah satu demi satu orang yang dikasihinya pergi. Hatinya tidak henti-henti berdoa semoga Humaira’ selamat.
                Sampai saja di hospital, Zara segera masuk ke dalam hospital dan tergesa-gesa bertanya di kaunter utama. Setelah mengetahui wad yang menempatkan Humaira’, dia dan Cikgu Wani bergegas ke sana. Pak Long sedang menunggu di luar wad.
                “Pak Long… macam mana boleh jadi macam ni?”Zara mengalirkan air matanya lagi.
                “Pak Long sampai di sekolahnya, Pak Long tengok dia dah dilanggar kereta depan sekolah. Pak Long minta maaf, Zara… memang salah Pak Long, datang lewat… Agaknya, Humaira’ nak balik sendiri…” Pak Long semakin tidak keruan. Air mata lelakinya tumpah. Terpancar penyesalan yang amat dalam sekali dari raut wajahnya. Matanya membengkak dan bertukar kemerah-merahan.
                Cikgu Wani menenangkan Zara. Zara menjadi lemah sekali saat ini. Humaira’, sudah dianggap seperti anaknya sendiri. Ya Rabb, selamatkanlah dia…
-----------------------------  
                “Pihak kami tidak dapat menyelamatkannya. Allah SWT saja yang berkuasa ke atas makhluknya, saya harap, encik sekeluarga bersabar, ya?” ucap Dr. Hamdi.
                Sekujur tubuh kecil di atas katil sorong ditutup dengan kain putih dikeluarkan daripada wad. Zara tidak berdaya lagi. Dia hanya mampu mengucup dahi anak saudaranya itu penuh hiba.
                Ustaz Haikal hadir dengan tergesa-gesa. Dia baru saja pulang dari sekolah terus menuju ke hospital tersebut. Apabila melihat Zara mengucup dahi Humaira’, Ustaz Haikal mengerti bahawa anak kecil itu sudah pergi meninggalkan mereka semua. Tanpa disedari, hatinya dihimpit pilu. Air matanya bertakung menjadi kolam di tubir matanya.
                “Humaira’!” hatinya menjerit. Kakinya tidak mampu lagi menyokong tubuhnya untuk berdiri. Dia jatuh terduduk. Tiada apa lagi yang mampu diucapkan melainkan ‘Innalillah’. Kopiah di kepalanya ditanggalkan, lalu dilipat-lipat untuk menutup matanya. Dia tak mampu menahan tangisan lagi saat ini.
                Saat mereka menanti detik bahagia, saat inilah Humaira’ pergi meninggalkan mereka. Kerinduan anak kecil tersebut terhadap ibu bapanya terbalas juga akhirnya. Biarlah dia pergi, pergi menemui ibu bapanya… Zara pasrah.
Imbas Kembali
                “Umi Ja… nanti kalau Umi Ja kawen dengan Ucetad, mesti umi dapat anak, kan? Mesti Umi ja sayang anak umi,kan, kan?” tanya Humaira’.
                “Ira… Umi Ja mana boleh dapat anak…”balas Zara.
                “Umi Ja tipu la… orang kawen mesti dapat anak, kan? Mesti Ira tak boleh kawan dengan Umi Ja lagi…”keluh si kecil.
                “Ira… mana ada… Umi Ja sayang Ira sorang je, tau!” Zara memeluk anak saudara kesayangannya itu.
                “Umi… Ira teringinla nak jumpa ayah dengan ibu lagi…”luah si kecil lagi. Zara tersentak seketika. Ternyata, si kecil ini sangat merindui ibu bapanya. Begitu juga dengan dirinya, yang merindui arwah abangnya.
---------------------------------------- 
                Humaira’ selamat disemadikan. Tanah kuburnya yang masih merah itu disentuh oleh Zara. Dia sudah pergi…
                “Umi… Ira teringinla nak jumpa ayah dengan ibu lagi…” kata-kata itu masih terngiang-ngiang di telinganya.
                “Zara… mari, kita balik... pujuk Pak Long.
                Zara bangkit juga. Dia mengatur langkahnya, semakin lama, semakin jauh jaraknya dengan pusara Humaira’. Ustaz Haikal dan keluarganya turut sama menghadiri upacara pengebumian tersebut. Zara mengalihkan pandangannya ke belakang. Dia teringat kenangan indah bersama si kecil itu.
                “Zara… biarkanlah dia pergi bertemu ibu bapanya…”pujuk Mak Long.
                Zara mengangguk. Selangkah demi selangkah, tanah perkuburan itu ditinggalkan.  Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Amin.
-----------------------------------------------   
                “Aku terima nikahnya, Nur Zara Alisha bt Zainudin, dengan mas kahwinnya, RM 24.00 tunai!”maka, terlerailah sudah status bujang Zara dengan lafaz akad nikah daripada Ustaz Haikal.
                Kini, hadirlah sinar baru dalam hidupnya. Walaupun pelangi indahnya bersama Humaira’, telah terpisah di antara dua alam, namun, Humaira’ tetap di hatinya. Allah kembalikan cahaya mentari dalam hidupnya. Semoga, hidupnya akan lebih lengkap dengan hadirnya seorang lelaki bergelar suami.
-------------------------------------------
Kadangkala, Allah turunkan hujan lebat bersama ribut petir, 
kemudian, hujan beransur reda lalu hadirnya pelangi. Namun, pelangi beransur hilang,
Allah gantikan semula cahaya mentari...

Begitulah hidup ini...
-sekian-5.40 pagi-31 julai 2011-sehari sebelum puasa-

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...