BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, December 12, 2011

Setia Kasih

Zara membasuh mukanya sebersih-bersihnya. Tekanan perasaan benar saat ini. Sudah menjadi tabiatnya, dia tidak suka mengamuk, tetapi, apabila rasa geram melanda, airlah jadi teman akrabnya. Dia menghembuskan nafasnya. Rasa dingin menyapa mukanya.
                Entah kenapa, hatinya bagai disiat-siat setelah mendengar kutukan jiran kampung. Yang sebenarnya, dia sudah lali dengan mulut orang kampung. Tetapi, tidak pula hari ini.
                “Akak, berapa harga semua ni?”soal Zara sebelum membayar harga barang-barang dapur yang dibelinya di Kedai Kak Limah.
                “RM 15.70…”jawab kak Limah.
                “Hai… banyak membeli Zara?  Ada yang datang meminang ke?” seloroh Kak Limah yang memang peramah. Zara faham akan gurauan Kak Limah. Kak Limah bukan seperti orang lain.
                “Kak Limah… ada ke orang nak masuk meminang lagi?  Kalau datang pun, mesti kena tendang lagi… maklumlah… orang jual mahal,kan?”tajam sekali sindiran Sofea, yang sebaya dengannya, sudah beranak dua.Sofea memang sejak di bangku sekolah lagi cemburu dengan Zara, dek kerana suaminya dahulu sangat mencintai Zara walaupun tidak diterima.
                “Kau ni Sofea… tak baiklah cakap begitu…”
                “Saya balik dulu ye, Kak Limah… nanti menangis pula Humaira’ kat rumah tu… Assalamua’laikum!”
                “Hai… orang dah tak ada teman, jaga anak cacat pun jadilah,ye tak?” kata-kata itu memang membuatkan Zara rasa bagai gunung berapi Krakotoa! Dia segera beredar, malas mencari fasal.
                Peristiwa itu dilupakan. Zara keluar dari tandas bersama tuala kecil yang digunakan untuk mengelap mukanya.
                “Umi Ja… tengokla… Ira lukis ni… hikhik… lawa tak?”Humaira’ datang kepadanya dengan gaya manja yang tak sudah. Seketika, hatinya terubat sedikit daripada amarah.
                “Lukis apa ni, sayang?”Zara mencapai lukisan anak kecil istimewa tersebut.
                “Ni Umi… Ni Ira… Ira nak lukis ibu dengan ayah… tapi kan… Ira lupa la… muka diorang cam maner, Umi… ”Humaira membuat muncung. Seolah-olah menzahirkan kedukaannya dek kehilangan ibu bapanya. Zara menghela nafas. Berat sekali bunyinya… dia sedar, Humaira’ sejak dahulu lagi, sangat merindui insan yang telah pergi itu… apakan daya…


Imbas Kembali
                Zara mendukung anak kakaknya itu penuh kasih. Dia kucup bersama linangan air mata. Tahlil baru saja berakhir. Hujan yang lebat semakin mendinginkan suasana sepi rumah pusaka tersebut. Kepulangannya Aidilfitri ini bukanlah yang terindah.
                Hampir seharian menunggu, rupa-rupanya memang keluarga kakaknya tidak akan sampai lagi. Mereka sekuluarga terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke kampung. Dan, Humaira’, anak kecil itu… kecerdasan mindanya diragut bersama nyawa ibu bapa yang dikasihi. Asalnya, gadis kecil itu seorang yang normal, namun, setelah pembedahan dilakukan, dia mengalami penyakit autisme.
                Tetamu beransur-ansur pulang. Yang tinggal hanyalah Kak Limah yang sedia membantu Zara yang masih dalam kesedihan.
                “Zara… Kak Limah harap, Zara kuatkan semangat yer… Yang ni sajalah Kak Limah mampu tolong, Kak Limah balik dulu ya?”ucap Kak Limah sebelum pulang.
                “Terima kasih banyak-banyak Kak Limah… saya minta maaf susahkan Kak Limah hari ni… yelah, sepatutnya, musim raya ni, Kak Limah ada ramai tetamu sanak-saudara yang perlu dilayan…”kata Zara, yang serba salah dengan budi baik Kak Limah.
                “Janganlah cakap begitu, Zara. Mak ayah Zara lagi banyak tolong keluarga akak. Ini saja yang mampu akak tolong, Zara…”balas Kak Limah.
                “Kak Limah… setiap ujian itu tanda kasih sayang Allah,kan?”entah kenapa, sebak yang terbuku dalam hati terluah juga.
                “Benar, Zara. Semakin kita diuji, semakin kita dekat denganNya…” Kak Limah mendakap Zara yang semakin sebak.
                Pelukan terlerai. Kak Limah membuka payungnya lalu turun daripada rumah pusaka ibu bapa Zara itu. Zara menghantar pandangannya sehinggalah kelibat Kak Limah tenggelam dek kejauhan dalam gerimis hujan yang semakin reda.
---------------------------------------------------------
                Sebagai seorang guru, sudah menjadi rutinnya untuk keluar dari rumah, menuju ke sekolah, berdepan dengan pelbagai ragam guru dan pelajar. Hari ini, Zara memulakan harinya dengan penuh tenang. Humaira’, sejak awal pagi lagi dihantar ke sekolah khas.  Kemudian, dia menuju ke sekolah tempat dia mengajar.
                Keretanya memasuki pintu gerbang Sekolah Menengah Sains Kepala Batas. Senyuman disedekahkan kepada pengawal keselamatan yang sudah hampir separuh abad itu, sekadar menghormatinya.  Dia memarkir keretanya di tempat letak kereta guru berhadapan pejabat sekolah.
                “Assalamua’laikum, Cikgu Zara,”tegur Ustaz Haikal yang juga baru saja sampai.
                “Wa’alaikumsalam…”jawab Zara. Dia mengatur langkah ke pejabat untuk punch card seperti biasa.
                “Err, cikgu…”Ustaz Haikal cuba menahannya, seperti ada hal yang ingin diperkatakan.
                “Ya, ustaz? Ada apa?”soal Zara, sedikit hairan. Selalunya, Ustaz Haikal tidak gemar menegur orang,terutamanya perempuan melainkan sekadar senyuman biasa.
                “Saya nak tanya… sama ada ustazah masih ada ibu atau ayah…”soal Ustaz haikal, dalam keadaan teragak-agak, bimbang akan menyinggungkan perasaan Zara.
                “Ibu bapa saya dah meninggal,”jawab Zara ringkas.
                “Abang? Saya rasa cikgu ada abang bukan?”soal Ustaz Haikal lagi.
                “Hmm… mana ustaz tahu?”soal Zara pula.
                “Saya rasa je…”Ustaz Haikal tunduk sedikit. Mungkin malu barangkali…
                “Abang dan kakak ipar saya baru saja meninggal, tahun lepas… saya tinggal dengan anak saudara saya,”jawab Zara dengan lengkap, kerana dia pasti Ustaz Haikal akan bertanya lagi. Zara seolah-olah dapat menangkap isi hati Ustaz Haikal. Dia sudah lali dengan soalan sebegitu. Ustaz Haikal bukanlah orang yang pertama yang bertanya seperti itu.
                “Innalillah…”ucap Ustaz Haikal.
                “Kalau tak ada apa-apa, saya masuk pejabat dulu, nanti lambat pula nak punch card,” Zara meninggalkan Ustaz Haikal yang masih dalam keadaan sedikit resah itu. Ustaz Haikal jadi terpinga-pinga seketika. Kemudian, barulah dia sedar, dia terlupa hendak punch card pula.
                “Astaghfirullah… macam mana aku boleh tercegat lagi kat sini, nanti, lambat pula masuk pejabat…”bisik hatinya.
------------------------------ -----------------------------   
                  Zara masuk ke kelas 4 Aluminium dengan bersemangat untuk mengajar subjek sejarah. Senyuman yang manis dihadiahkan kepada anak muridnya. Seisi kelas berdiri lalu member salam seperti biasa. 
                “Baiklah, sebelum kamu semua duduk, saya nak, macam biasa… ada apa-apa soalan sebelum kita sambung bab seterusnya? Kalau tak ada, kamu tak boleh duduk lagi!”tanpa sedar Zara tersengih.
                “Cikgu… zaman batu betul-betul wujud ke?”soalan cepumas daripada Aisyah, pelajar cemerlang sejarah.
                “Bagus soalan kamu… ni mesti baru tengok video ‘Akhir Zaman’, kan?”
                “Hehe… cikgu dah tengok ke?”soal Aisyah lagi.
                “Mana boleh saya ketinggalan… hmm, kelas, siapa yang dah tengok video tu?”soal Zara.
                Hampir separuh daripada pelajar kelas tersebut mengangkat tangan.
                “Nak tengok tak?” Zara sengaja menarik perhatian pelajarnya.
                “Nak!!!” seisi kelas menjawab.
                “Kalau macam tu… nanti saya tempah bilik tayangan dengan syarat…”
                “Apa syaratnya cikgu?”soal Nabil yang tak sabar-sabar nak menonton video yang semakin hangat itu.
                “Kita habiskan sukatan dulu… ala, tak banyak pun, ada sikit je lagi… ok?”Zara cuba menaikkan semangat mereka.
                “Okla…”kendur saja jawapan mereka.
                Zara menggeleng. Dia membelek buku teks. Ya, Zaman Gelap Eropah. Topik yang sangat menarik. Barat yang diagungkan anak-anak muda zaman sekarang, hakikatnya dahulu, bangsa inilah yang paling mundur, yang paling kolot! Sedangkan umat islam ketika itu mencapai tamadun yang sangat hebat, bersama ilmuwan yang berjasa dalam bidang ilmu zaman sekarang, malangnya telah ‘dipadam’ sejarah mereka.
                “Saya nak kamu baca dan bincang  dulu bab ni, lepas tu, kita buat kuiz sejarah. Hadiahnya ada dalam kereta saya… setiap kumpulan yang dapat markah tertinggi, dapatlah hadiah, yang terendah, saya juga akan bagi ‘hadiah’… tapi, hadiah tu lain sikitlah…”Zara tersengih lagi.
                Setelah masa yang diberikan tamat, maka, berperanglah kumpulan-kumpulan pelajar dalam kelas tersebut. Syukur, Alhamdulillah, pembelajaran hari ini tiada aura mengantuk macam selalu.
                “Baiklah… pemenang kali ini, kumpulan C! Kalau nak hadiah, ketua kumpulan pergi ambil kat tempat duduk belakang kereta saya…”
                “Cikgu… jangan lupa video akhir zaman…” pesan seisi kelas.
                “InsyaAllah!” Zara gembira hari ini. Kelas hari ini mencapai matlamat…
--------------------------------  
                Zara pulang ke rumah setelah selesai tugasnya sebagai seorang pendidik pada hari ini. Dia terlihat Pak Long sedang berbual di halaman rumah dengan sepasang suami isteri yang sudah berusia.  Zara memang berniat hendak ke rumah Pak Long hari ini memandangkan dia sudah meminta bantuan Pak Long untuk mengambil Humaira’ dari sekolah dan tinggal sebentar di rumah Pak Long kerana dia pulang agak lewat sedikit. Sebelum keluar dari kereta, dia mengambil bungkusan kuih yang dibeli tadi untuk diberikan kepada Pak Long sekeluarga.
                Dia menuju ke rumah Pak Long. Dari jauh, Pak Long sudah tersenyum melihatnya.
                “Zara, cepat sikit mari sini, tetamu dah nak balik dah ni…”ujar Pak Long. Zara mempercepat langkah kakinya.
                “Assalamua’laikum,” ucap Zara lalu bersalaman dengan tetamu tersebut. Dia menyertai mereka yang sedang duduk di bangku halaman rumah Pak Long. Dia bertentangan dengan tetamu tersebut.
                “Elok benarlah kalau macam ini, Zara pun dah balik…”kata Pak Long.
                “ Yang sebenarnya, makcik dengan pakcik ni, ada hajat. Kami ni mak ayah Haikal,”jantung Zara bagaikan nak luruh saja. Baru pagi tadi Ustaz Haikal bertanya itu dan ini.
                “Oh, begitu…”
                “Zara kenal, kan?”
                “Ya, rakan sekerja saya…”
                “Sebenarnya, makcik dan pakcik ni dah lama kenal  Zara. Kami dah lama kawan dengan Pak Long kamu ni. Kuasa Allah menentukan segala-galanya. Dunia ini kecil, Zara. Tanpa pengetahuan kami, Haikal dah lama menyimpan hajat ini. Adakah Zara sudi menjadi menantu kami?”soalan inilah yang sering singgah menghantui hatinya.
                Zara menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia menyusun kata supaya tidak menghampakan kedua-dua tetamu itu.
                “Makcik, Pakcik… saya tak seperti wanita lain… saya tak mungkin dapat memenuhi impian setiap insan yang sudah berumah tangga. Saya tak mampu melahirkan zuriat… Lagipun, saya bertanggungjawab menjaga anak saudara saya…”
                “Zara, selama ini, kami sudah tahu mengenai hal tersebut. Kami sedia menerima kamu, Zara…”akui tetamu tersebut.
                “Makcik, Pakcik… mungkin makcik dan pakcik boleh terima saya… tapi, bagaimana dengan Haikal?”soal Zara sedikit gugup. Dia tunduk. Sekali lagi, dia membuka aibnya supaya tiada yang akan kecewa nanti.
                “InsyaAllah, saya akan terima seadanya…” Ustaz Haikal muncul sambil mendukung Humaira’. Zara tergamam. Sebelum ini, Humaira’ enggan didukung sesiapa melainkan orang yang rapat dengannya saja.
                “Zara… Sudikah pula kamu menerima kami?”soalan itu dibiarkan tidak berjawab. Dia perlukan masa.
                “Saya perlukan masa…”itulah jawapan terakhir daripada Zara.
-----------------------------------  
                Malam itu, entah kenapa Zara rasa gelisah benar.  Makan malam bersama keluarga Pak Long malam itu tidaklah semeriah sebelum ini. Entah kenapa, dia berasa segan pula kali ini. Humaira’ pula, ceria semacam saja.
                “Kak Zara… ok ke?”soal Fetima, sepupunya yang bakal mengambil SPM.
                “Ehem… akak ok jelah… tak ada apa-apa…” Zara cuba menyelindungkan perasaan gelisahnya.
                “Macam mana Zara? Dah fikir belum? Sebelum ni, yelah… setiap yang datang, mesti melupakan hajat mereka… tapi, kali ni, tak lagi kan?”soal mak Long, yang sudah seperti ibunya sendiri.
                “Zara… Mak Long, siapa di dunia ini yang tak mahu zuriat sendiri?”entah kenapa, soalan yang menghampakan seumur hidupnya itu diulang kembali…
                “Zara… memang betul kata  kamu tu. Tapi, siapakah yang dapat menidakkan takdir, Zara? Jika kamu masih ragu-ragu, istikharahlah… itu jalan terbaik,”nasihat Mak Long.
                “Akak, senyum la sikit, janganlah asyik gelisah jer… Lupakan sekejap yer kisah petang tadi?” ujar Fetima.
                Zara mengukir senyum tanda menghargai perhatian yang diberikan oleh kedua-dua orang anak beranak itu. Pak Long tiada bersama kerana ke masjid untuk mendengar kuliah agama. Seketika, Zara berasa amat bahagia, walaupun tanpa ibu, ayah dan abang sekeluarga. Hidup ini, seperti lautan. Kadangkala tenang, kadangkala bergelora…
----------------------------------------------------   
                Video ‘Akhir Zaman’ yang ditayangkan sekadar ditonton tanpa penghayatan. Lagipun, sudah berkali-kali dia menonton video tersebut. Zara lebih memikirkan lamaran Ustaz Haikal tika ini. Sudah tiga hari berlalu, dan sudah tiga kali di beristikharah. Gerak hatinya rasa ingin terima. Tetapi, entah kenapa, dia rasa belum bersedia lagi untuk menyatakannya. Ya Rabb, bimbinglah hatiku ini.
                “Cikgu… dah habis dah…”kata Aisyah.
                “Oh, dah habis… hmm, baiklah. Saya tayangkan video ini, supaya kita semua sedar reality kita sekarang. Tetapi, jangan percaya 100% video ini…faham?”kata Zara.
                “Tapi, kenapa cikgu?”soal Haziem.
                “Video ini, sumbernya ada yang sahih, dan ada yang tidak. Tambahan pula, yang buat video ini, hanya manusia biasa. Manusia tidak sempurna. Jadi, tak patutlah kita percaya 100%... bukanlah maksud cikgu tak boleh percaya langsung, tapi, kita kena pandai menilai dan mengambil iktibar daripada video ni. Okla, cikgu nak tanya, apa pendapat kamu tentang video ni?”soal Zara.
                “Cikgu, kenapa kita kena belajar benda yang tak betul?”soal Zafri, yang berkaca mata tebal.
                “Zafri, kita ambil benda tu sekadar pengetahuan je… Yang betul kita pegang, yang salah kita kena tahu. Kalau kita tahu yang salah, senanglah kita kena tipu, kan?”hujah Zara begitu menyakinkan seisi kelas.
                “Kesimpulannya, kita memang dah banyak kena tipu, kan, cikgu?”ujar Aisyah pula.
                “Betul tu… Sejarah memang boring… Seriously, tipu la kalau cikgu kata cikgu tak pernah tidur dalam kelas sejarah dulu… walaupun cikgu minat sejarah. Tapi, sejarah ni penting bukan sebab subjek lulus SPM, tapi, sejarah membuktikan kehebatan kita, sejarah mengangkat maruah kita… jadi, tanggungjawab kita sekarang, kita kena cipta sejarah baru… Kamu semua kena cipta sejarah cemerlang SPM tahun depan…boleh?”Zara cuba menaikkan semangat para pelajarnya.
                “InsyaAllah, boleh!!!”
                Pintu bilik media diketuk… Ustaz Haikal masuk. Tiba-tiba, jantung Zara berdegup kencang bagai tak keruan saja bunyinya.           
                “Ni  kelas 4 Aluminium, kan? Lepas ni, kamu semua stay kat sini saja. Satgi kelas saya,kan?”soal Ustaz  Haikal.
                “Ustaz, tak payah bawak buku ke?”soal Aizam, selaku ketua kelas.
                “Tak payah, hari ni saya nak tayang video pasal Haji. Itu saja, okay?”
                “Okay, Ustaz… waa, syok la hari ni, duduk kat library je…”ujar Naqib, yang memang gemar berada dalam perpustakaan.
                “Minta maaf, Cikgu Zara, mengacau kelas sekejap…”ucap Ustaz Haikal.
                “Eh, tak apa…”entah kenapa, dia tidak kisah pula ada yang mengganggu kelasnya. Sebelum ni, dia kurang senang apabila guru atau pelajar lain mengganggu kelasnya. Tetapi, dia tidaklah geram pun, dan tidaklah pula menunjukkan reaksi tersebut.
                “Baiklah, sekarang saya nak bagi projek kepada kamu semua. Saya nak, kamu cari maklumat pasla sejarah dunia, yang tak ada dalam buku teks, bukanlah yang tak ada kaitan langsung dalam buku teks, tapi, faktanya lagi jelas daripada dalam buku teks. Boleh buat sendiri ataupun berkumpulan. Buat dalam bentuk folio atau nota poket. Boleh tulis sendiri atau bertaip. Ikut sukalah, tapi, biarlah kemas dan menarik… InsyaAllah, bulan depan, giliran Panitia Sejarah pula untuk buat pameran di perpustakaan. Jadi, hasil kerja kamu, saya akan pamerkan. InsyaAllah…”kata Zara sebelum kelas Sejarah berakhir.
                “Bangun semua, terima kasih cikgu!”ucap ketua kelas diikuti seisi kelas.
--------------------------------

                Zara sudah bersedia berhadapan dengan keluarga Ustaz Haikal. Seperti yang diaturkan, dua buah keluarga bertemu bagi mengetahui keputusan si gadis yang dilamar.  Dengan ucapan bismillah, majlis dimulakan.
                “Seperti yang dijanjikan, hari ini, saya menunaikannya. Saya…”Zara masih berdebar-debar untuk meneruskan keputusannya.
                “Saya… terima lamaran Ustaz Haikal,” akhirnya terluah juga.
                “Alhamdulillah… jadi, bolehlah kita tetapkan tarikh pertunangannya, ya?” ucap bapa Ustaz Haikal, Haji Muhammad.
                “Bagaimana, Zara?”soal ibu Ustaz Haikal pula, Hajah Rosnah.
                “Saya serahkan kepada Ustaz Haikal saja…”Zara sedikit tersipu malu. Pipinya yang puti gebu itu tanpa disedari sedikit kemerah-merahan.
                “Ermm, kalau boleh, hujung minggu ini?”Ustaz Haikal sekadar mengagak.
                “Oh, elok sangatlah tu, lagi cepat lagi bagus,kan?”usik pak Long.
                “Yeye… Ucetad jadi  Abi… Ira suke… takde la Umi Ja sunyi nanti…”celoteh Humaira’, gadis kecil yang istimewa di hati Zara itu.
                “Amboi… Ira dah pandai ye berjiwang pulak nih… sapa ajar ni?” Zara mencubit manja pipi Humaira’.
                “Alaa… ucetad la yang ajar… selalu kan… kalau Ira pergi taman mainan dengan Tok long… mesti Ucetad ada… siap bagi cokelat lagi!”kata-kata Humaira’ itu membuatkan Ustaz Haikal tak senang duduk pula. Ustaz Haikal malu sendiri.
                “Oh, patutlah…”Zara tersenyum kecil. Memang patutlah Humaira’ rapat dengan Ustaz Haikal… Zara teringat Ustaz Haikal mendukung Humaira’ tempoh hari. Pak Long serta ibu bapa Ustaz Haikal ketawa.
                Alhamdulillah, kini, Zara sudah menemui insan yang sudi menerimanya seadanya. Akhirnya, Allah memakbulkan doanya, walaupun bertahun-tahun dia menanti. Tiada apa yang dapat diungkapkan melainkan hanya syukur semata-mata. Kepala Humaira’ diusap-usap penuh kasih. Anak kecil ini telah menemani hidupnya yang sunyi tanpa teman sekaligus menjadikannya seorang wanita yang bernaluri keibuan yang tinggi biarpun tak mampu beroleh zuriat sendiri akibat sakit pangkal rahim.
-----------------------------------------   
                Pameran Panitia Sejarah akan dijalankan serentak dengan Panitia Pendidikan Islam. Aduhai, Zara jadi tak keruan pula. Di sekolah, belum ada sesiapa pun yang tahu mengenai statusnya sebagai tuning Ustaz Haikal.  Malah, mungkin mereka tak akan terjangka kerana Ustaz Haikal jarang bertegur sapa dengannya.
                Semasa dia menyusun bahan-bahan pameran bersama pelajarnya, dia tidak sedar akan kehadiran Ustaz Haikal yang mempunyai tujuan yang sama. Mujurlah, Ustaz Haikal tidak menegurnya apa-apa. Kalau setakat duduk berhampiran saja Zara rasa bagaikan nak luruh jantung, inikan pula kalau bertegur sapa, pengsan la jawabnya! Dia tidak tahu kenapa dia harus segan yang amat terhadap bakal suaminya itu.
                Setelah selesai kerjanya, dia segera beredar. Ustaz Haikal hanya memerhati. Hai, sudah hampir sebulan mereka bertunang, tapi, Cikgu Zara seorang ini masih lagi begini. Mungkin segan masih menebal lagi agaknya. Sebelum ini, Cikgu Zara yang dicintainya itu bukanlah seorang yang sangat pemalu seperti sekarang.
                ‘Apa-apa ajelah…’ keluh Ustaz haikal dalam hati sambil menggeleng.
                “Ustaz, kenapa Cikgu Zara tu kalut semacam jer? Dia sakit perut ke?”soal Badri yang kehairanan.
                “Entahlah… betullah kut sangkaan kamu tu… hmm, ada lagi yang nak disusun?”soal Ustaz Haikal.
                “Dah habis dah ustaz…”ujar Badri mewakili rakan-rakannya yang lain.
                “Oh, terima kasih ya… nah, saya belanja, belilah apa-apa aja yang kamu semua nak beli,”Ustaz Haikal menghulurkan wang RM 5 seorang.
                “Buat susah-susah je, ustaz ni… tak apalah ustaz, sikit je kami tolong ni…”sopan sekali Badri menolak.
                “Kalau macam tu, kamu semua ikut saya ke kantin, sekarang dah rehat kan? Kita makan ramai-ramai,”ajak Ustaz Haikal yang memang mesra dengan pelajarnya.
                “Terima kasih ustaz…”belum sempat Badri menolak sekali lagi, Hadi yang berada di sebelahnya menjawab.
 ‘Amboi, suka hati saja kawan aku ni’bisik hati Badri.
Akhirnya, mereka akur dan mengikut Ustaz Haikal ke kantin.
------------------------------------------   
                Zara keluar dari bilik makan guru di kantin. Dia melihat Ustaz Haikal bersama para pelajarnya. Hatinya senang melihat keakraban bakal suaminya itu dengan para pelajar.  Tidak hairanlah, Ustaz haikal memang orang yang terbaik dari pandangannya. Tanpa disedari, telefonnya bordering.
                “Zara, Pak Long ni… Humaira’ accident!”panggilan telefon daripada Pak Long itu memang amat mengejutkan. Zara pengsan tidak sedarkan diri.
                Para pelajar perempuan yang berada berhampirannya segera menyambutnya. Zara dibawa ke bilik rawatan oleh beberapa orang guru lain yang turut berada di situ.
---------------------------------   
                “Zara, are you okay?” Soal Cikgu Wani setelah Zara tersedar daripada pengsan.
                “Wani… anak saudaraku accident !” Zara menangis teresak-esak.
                “Kau ambil cuti kecemasan dulu. Lepas tu, aku tolong bawa kau ke hospital ya?”Cikgu Wani menawarkan pertolongannya.
                “Terima kasih, Wani!” Zara memeluk rakan sekerjanya yang amat prihatin itu.
                Setelah segala urusan selesai, Cikgu Wani membawa Zara ke hospital. Zara tidak berdaya menanggung kesedihan lagi. Setelah satu demi satu orang yang dikasihinya pergi. Hatinya tidak henti-henti berdoa semoga Humaira’ selamat.
                Sampai saja di hospital, Zara segera masuk ke dalam hospital dan tergesa-gesa bertanya di kaunter utama. Setelah mengetahui wad yang menempatkan Humaira’, dia dan Cikgu Wani bergegas ke sana. Pak Long sedang menunggu di luar wad.
                “Pak Long… macam mana boleh jadi macam ni?”Zara mengalirkan air matanya lagi.
                “Pak Long sampai di sekolahnya, Pak Long tengok dia dah dilanggar kereta depan sekolah. Pak Long minta maaf, Zara… memang salah Pak Long, datang lewat… Agaknya, Humaira’ nak balik sendiri…” Pak Long semakin tidak keruan. Air mata lelakinya tumpah. Terpancar penyesalan yang amat dalam sekali dari raut wajahnya. Matanya membengkak dan bertukar kemerah-merahan.
                Cikgu Wani menenangkan Zara. Zara menjadi lemah sekali saat ini. Humaira’, sudah dianggap seperti anaknya sendiri. Ya Rabb, selamatkanlah dia…
-----------------------------  
                “Pihak kami tidak dapat menyelamatkannya. Allah SWT saja yang berkuasa ke atas makhluknya, saya harap, encik sekeluarga bersabar, ya?” ucap Dr. Hamdi.
                Sekujur tubuh kecil di atas katil sorong ditutup dengan kain putih dikeluarkan daripada wad. Zara tidak berdaya lagi. Dia hanya mampu mengucup dahi anak saudaranya itu penuh hiba.
                Ustaz Haikal hadir dengan tergesa-gesa. Dia baru saja pulang dari sekolah terus menuju ke hospital tersebut. Apabila melihat Zara mengucup dahi Humaira’, Ustaz Haikal mengerti bahawa anak kecil itu sudah pergi meninggalkan mereka semua. Tanpa disedari, hatinya dihimpit pilu. Air matanya bertakung menjadi kolam di tubir matanya.
                “Humaira’!” hatinya menjerit. Kakinya tidak mampu lagi menyokong tubuhnya untuk berdiri. Dia jatuh terduduk. Tiada apa lagi yang mampu diucapkan melainkan ‘Innalillah’. Kopiah di kepalanya ditanggalkan, lalu dilipat-lipat untuk menutup matanya. Dia tak mampu menahan tangisan lagi saat ini.
                Saat mereka menanti detik bahagia, saat inilah Humaira’ pergi meninggalkan mereka. Kerinduan anak kecil tersebut terhadap ibu bapanya terbalas juga akhirnya. Biarlah dia pergi, pergi menemui ibu bapanya… Zara pasrah.
Imbas Kembali
                “Umi Ja… nanti kalau Umi Ja kawen dengan Ucetad, mesti umi dapat anak, kan? Mesti Umi ja sayang anak umi,kan, kan?” tanya Humaira’.
                “Ira… Umi Ja mana boleh dapat anak…”balas Zara.
                “Umi Ja tipu la… orang kawen mesti dapat anak, kan? Mesti Ira tak boleh kawan dengan Umi Ja lagi…”keluh si kecil.
                “Ira… mana ada… Umi Ja sayang Ira sorang je, tau!” Zara memeluk anak saudara kesayangannya itu.
                “Umi… Ira teringinla nak jumpa ayah dengan ibu lagi…”luah si kecil lagi. Zara tersentak seketika. Ternyata, si kecil ini sangat merindui ibu bapanya. Begitu juga dengan dirinya, yang merindui arwah abangnya.
---------------------------------------- 
                Humaira’ selamat disemadikan. Tanah kuburnya yang masih merah itu disentuh oleh Zara. Dia sudah pergi…
                “Umi… Ira teringinla nak jumpa ayah dengan ibu lagi…” kata-kata itu masih terngiang-ngiang di telinganya.
                “Zara… mari, kita balik... pujuk Pak Long.
                Zara bangkit juga. Dia mengatur langkahnya, semakin lama, semakin jauh jaraknya dengan pusara Humaira’. Ustaz Haikal dan keluarganya turut sama menghadiri upacara pengebumian tersebut. Zara mengalihkan pandangannya ke belakang. Dia teringat kenangan indah bersama si kecil itu.
                “Zara… biarkanlah dia pergi bertemu ibu bapanya…”pujuk Mak Long.
                Zara mengangguk. Selangkah demi selangkah, tanah perkuburan itu ditinggalkan.  Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Amin.
-----------------------------------------------   
                “Aku terima nikahnya, Nur Zara Alisha bt Zainudin, dengan mas kahwinnya, RM 24.00 tunai!”maka, terlerailah sudah status bujang Zara dengan lafaz akad nikah daripada Ustaz Haikal.
                Kini, hadirlah sinar baru dalam hidupnya. Walaupun pelangi indahnya bersama Humaira’, telah terpisah di antara dua alam, namun, Humaira’ tetap di hatinya. Allah kembalikan cahaya mentari dalam hidupnya. Semoga, hidupnya akan lebih lengkap dengan hadirnya seorang lelaki bergelar suami.
-------------------------------------------
Kadangkala, Allah turunkan hujan lebat bersama ribut petir, 
kemudian, hujan beransur reda lalu hadirnya pelangi. Namun, pelangi beransur hilang,
Allah gantikan semula cahaya mentari...

Begitulah hidup ini...
-sekian-5.40 pagi-31 julai 2011-sehari sebelum puasa-

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...