BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, April 29, 2012

Jangan Sangka Dahulu Tak Ada



Salam wbt. Hari ini Cik Mai nak publish entri dalam blog peribadi yang rasanya elok jikalau dikongsi bersama...Jom, kita nilai sama-sama...


Bila kita fikir-fikirkan balik... Filem P. Ramlee dan novel hikayat dahulu kala yang pernah Cik Mai tonton dan baca, membuka sedikit pandangan Cik Mai... selalu Cik Mai dok kata: Ala, zaman sekarang... rupa-rupanya dahulu pon dah ada haih!
1. Hantaran Mahal

 Cik Mai baca buku Hikayat 'Lembing Awang Pulang Ke Dayang', tulisan Abdul Latip Talib, rupa-rupanya isu hantaran mahal sudah berkurun lamanya wujud dalam sejarah kita orang-orang melayu nih...haha, semuanya angkara NAMA... Si mak bapak Dayang mintak Awang hantaran mahal-mahal, standard orang kaya la kirenye....hoho, filem P. Ramlee yang Bujang Lapok pun sama jugak, 'Kalau mak bapak kau tak mintak bla...bla...bla... Sekarang anak sudah tiga orang, hutang tak habis bayar'(tak ingat dialog macam mana...huhuhu , lebih kurang macam tu la...)
2. Memilih Menantu
Kalau tengok balik filem-filem P. Ramlee macam Antara Dua Darjat, Ibu Mertuaku... memang rupa-rupanya dahulu lagi orang sudah lihat pada PENDIDIKAN dan TARAF PEKERJAAN bakal menantu... "Siapa pilihan kau? Doktor?Lawyer?" anak jawab, "Ahli Muzik, mak"...'Apa, Ahli Muzik!!!' si emak dah berang...haha...kisah kahwin lari semua, sebenarnya dah lama wujud...
3. Pakat nak jadi artis
Lihat pula filem Seniman Bujang Lapok... watak tiga bujang itu menyerupai anak-anak muda yang semakin berminat untuk dunia seni berbanding meneruskan pelajaran... Realitinya, P.Ramlee telah menonjolkan isu ini sejak berpuluh tahun ke belakang, sedar tak?
4. Kahwin Lebih Satu(poligami)
Filem Madu 3 pula menyaksikan si orang kaya yang berkahwin tiga... realitinya sekarang, ramai datuk-datuk yang berkahwin lebih daripada satu,bukan? Situasi ini sangat jelas, bahawa masyarakat kita memang kurang dapat menerima poligami bukan saja sekarang, malah sejak dahulu lagi... mana tidaknya, kalau si lelaki tidak adil? mana tidaknya, kalau si isteri tidak redha? mana tidaknya, jika berlandaskan nafsu? mana tidaknya kalau si isteri tak ambil kisah hal suami?
5.Percintaan Bermula Dari Sifat Benci
Masam Masam Manis, haha... sweet kan cerita ini? Mula-mula bergaduh... kemudian bercinta... macam tu la novel-novel zaman sekarang... nak tambah perisa, buat la kahwin kontrak, kahwin paksa... kemudian, jatuh cinta... tetapi, hal ini sudah berlaku dalam masyarakat dahulu lagi.... perasan tak?
6. Anak Derhaka, Perlanggaran Hukum Agama
Yang ini, juga telah didedahkan sejak dahulu, kisah Si Tanggang, Anakku Sazali, dan tidak kurang juga percintaan di luar syariatullah, Semerah Padi... apabila dua merpati sejoli hebat bercinta lalu berzina... dipertontonkan kepada kita, tentang hukum hakam agama, dan akibat melanggar hukum atau syariat...juga terdapat dalam filem 'Sumpah Orang Minyak'.
7.Jenaka Berbahasa
Dahulu juga, ada lawak, malah lebih halus, lebih berbahasa berbanding lawak zaman sekarang... adakah kita sudah ketandusan idea untuk memikirkan lawak yang lebih bermoral seperti yang P.Ramlee dan seniman veteran dahulu pernah tonjolkan? Mengapa memilih lawak yang serba tidak bermoral???
8.Adik Beradik Berebut Harta
Hal ini juga sudah berlaku zaman Pak Arab lagi... ingat lagi cerita '3 Abdul'? Tetapi, walau air dicencang takkan putus,kan? So, the moral value sangat bernilai...tapi, zaman sekarang lagi teruk,kot? samapi berbunuh adik beradik sendiri...ish ish ish...
Sebenarnya, banyak lagi isu-isu dalam masyarakat kita, yang sejak dahulu lagi sudah terbit/ wujud... syabas kepada Allahyarham Tan Sri P.Ramlee kerana berjaya menyampaikan mesej dan situasi masyarakat yang pada hakikatnya, sekarang MASIH berlaku...kerana apa? Kita lupa sejarah... dan sejarah akan terus berulang, selagi kita tidak menutup sejarah... So, ambillah pengajaran...sebaik mungkin!

Saturday, April 28, 2012

Janji ArRahman

(Gambar hiasan saja)
Janji  Ar-Rahman
                Nurul mengayuh basikalnya pulang ke rumah saat matahari sudah hampir mengubah arah menandakan tidak lama lagi waktu Asar akan menjelang. Minda dan jiwa terasa lapang sedikit. Mana tidaknya, baru saja habis kertas terakhir SPM sebentar tadi di sekolah. Semakin lama, kayuhannya semakin perlahan. Halaman rumah sudah dimasuki. Dia turun dari basikal lalu menuntun basikal sehingga ke pangkin rumah.
                Dia tersenyum segaris. Pintu dapur terbuka luar. Bau yang enak sekali terhidu. Hatinya sedikit girang. Pasti ibu memasak makanan kegemarannya. Setelah memberi salam, dia masuk ke dalam rumah melalui dapur. Malang sekali, sangkaannya meleset. Bukan makanan kegemarannya. Dia mengagak sudah tentu adik bongsunya sudah balik daripada lawatan sambil belajar hari ini.
                “Ucu balik hari ni ke, ibu?”soal Nurul. Rasa kurang senang disimpan kemas dalam hati.
                “Ha’ah. Pagi tadi dia telefon. Katanya dah nak sampai sekolah. Agak-agaknya lepas Asar nanti dia sampailah,” jelas ibu             
               “Hmm, Angah nak masuk mandi dulu,” kata Nurul. Dalam hati terbit juga cemburu. Aku yang baru habis SPM, Ucu pula yang disambutnya. Alah, aku sedarlah diri bukan duduk asrama pun… macam Kak Long dan Ucu. Ibu tak Tanya pun pasal SPM, boleh jawab ke, senang ke soalan… Ah, biarkan!
--------------------------- 
                Telefon rumah berdering. Nurul yang baru selesai solat Asar tidak sempat menanggalkan telekung. Dia terus mengangkat telefon.
                “Assalamua’laikum! Angah ke… ni, Kak Long!” salam diberi dengan nada yang ceria sekali.
                “Wa’alaikumsalam… oh, Kak Long. Ingatkan siapa tadi, nak cakap dengan ibu, ke? Ibu tak ada, dia keluar sekejap,” balas Nurul. Ada sedikit surut nada Kak Long yang menelefon dari kampus.
                “Oh, begitu. Tak apalah. Nanti Kak Long telefon ibu. Alang-alang Angah yang angkat telefon ni, Kak Long nak kongsi satu berita ni… hehe,” Nurul dapat rasakan kakaknya sedang tersengih.
                “Berita panas ke? Akak jumpa artis kat KL tu?”gurau Nurul.
                “Eh, ke situ pulak. Tak, berita tu tak sepanas berita Kak Long nak beritahu ni!”
                “Habis tu, berita apa pula?” Nurul sedikit terpinga-pinga.
                “Abang Man dah kenalkan Kak Long pada mak ayah dia… jadi, dia-orang nak datang merisik hujung minggu ni!” Bagaikan nak terjatuh ganggang telefon daripada tangannya. Biar benar Kak Long…
                “Erk?”
                “Lah, tak seronok ke dengar berita ni?” Kak Long sedikit hairan.
                “Kak Long… ni bukan berita panas dah, ini berita boleh buat ‘terbako’ ibu dengar nanti…”
                “Kenapa pula? Macam-macamlah Angah ni,”
                “Hmm, Kak Long belajar pun tak habis lagi…”
                “Siapa kata? Kak Long dah nak ambil final exam la…”
                “Tapi lagi dua bulan, kan? Eh, lebih baiklah tumpukan pada final exam nanti,” Perbualan rancak dua beradik itu terganggu sedikit. Ibu sudah pulang ke rumah bersama Ucu. Ucu masuk ke dalam bilik untuk berehat sebentar.
                “Siapa tu, Angah?”soal ibu. Nurul mengalihkan ganggang telefon.
                “Kak Long, ni ibu dah balik… cakaplah dengan ibu,” ganggang dicapai oleh ibu.
                “Apa, nak datang merisik?” suara ibu mula meninggi. Hmm, dah agak dah~
--------------------------------   
                Tak lama saja lagi, Kak Long akan menyempurnakan separuh agamanya. Ibu akur jua dengan pilihan hati Kak Long. Persiapan perkahwinan semuanya sudah sedia perbelanjaannya. Al-maklumlah, bakal abang iparnya anak orang yang agak berada. Memang tiada masalah sangatlah tentang perbelanjaan. Hurmm, sejujurnya, ibu kurang senang anak-anaknya kahwin dengan orang yang agak berada kerana ibu lebih suka kesederhanaan. Mujurlah, keluarga pihak lelaki juga suka bersederhana. Majlis walimatul urus yang dirancang juga tidaklah besar sangat. Sekadar cukup-cukup belanja sesama pihak lelaki dan  perempuan.
                Seketika Nurul teringat pula zaman remaja Kak Longnya. Ibu suka sangat dengan Saufi, anak Ustazah Khadijah yang terkenal dengan budi bahasanya, kepandaiannya, kerajinannya ke surau (sampai mampu beri tazkirah lagi) dan segala bagailah. Kak Long pun tahu, kalau boleh ibu teringin bermenantukan Saufi tu. Tapi, cita-cita tinggal cita-cita sajalah. Siapalah ibu yang hidup biasa-biasa ni dengan keluarga Ustazah Khadijah yang terkenal di kampung itu.
                “Cepat betul Kak Long kau kahwin… hurm, anak-anak ibu pun semuanya dah dewasa,” entah kenapa ayat itu keluar daripada mulut ibu. Dulang hantaran tinggal dua tiga saja lagi untuk dilap.
                “Lah, ibu ni macam berat je nak lepaskan Kak Long… Tak seronok ke anak nak kahwin?” balas Nurul. Beras yang sudah dibilas dimasukkan air sebanyak dua kali ganda isi padu beras. Kemudian, nasi ditanak dalam ‘rice cooker’.
                “Ibu mana yang tak seronok? Tapi ibu mana yang tak berat nak lepaskan anak?”soalan berbalas soalan.
                “Ibu, dulu Kak Long masuk asrama, masuk university… lagi jauh daripada ibu. Ini setakat berkahwin dengan orang daerah sebelah je,”balas Nurul.
                “Betul cakap Angah tu, ibu,” Kak Long muncul dari entah mana.
                “Eh, masa bila Kak Long ada di sini? Hairan betul,” Angah sedikit tersentak.
                “Baru je. Alah, ibu janganlah risau. Nanti, Kak Long baliklah hujung minggu ke, jenguk adik-adik dengan ibu. Tak apa ibu, Angah kan ada lagi. Ucu pun ada. Ibu janganlah sedih-sedih sangat. Tengok, dah tak lawa dah permaisuri hati kita ni,”usik Kak Long. Nurul sekadar tertawa kecil.
                “Hmm, iyalah tu.” Ibu sekadar menggeleng.
‘Ibu sayang kau lebih Kak Long. Macam aku ni apalah sangat.’ Bisik hati kecil Angah.
----------------------------------------------
                Hari yang dinanti tiba juga. Cuaca yang sangat baik, tidak terlalu panas dan tidak menandakan hujan bakal turun. Kepulan awan yang putih mengepal seperti kapas amat menyenangkan hati setiap orang yang menikmati cuaca ini. Bagiku, cuaca seperti ini juga salah satu tanda kebesaranNya. Tapi, manusia kadangkala tidak terfikir pun. Aku dapat melihat Along yang bercampur-baur perasaannya. Dalam kegembiraan, ada debaran yang menanti.
                Wajahnya yang anggun lebih terserlah dengan solekan yang sederhana. Ringkas tetapi menarik.  Ibu juga, mungkin perasaannya sama seperti Along atau mungkin lebih lagi. Tidak sampai setengah jam menunggu ketibaan rombongan pengantin lelaki, mereka sudah sampai di pekarangan rumah.
                Salam diberi bersambut. Tok kadi dan pengantin lelaki sudah bersedia di tempat duduk masing-masing bagi upacara ijab dan Kabul.  Along mulai menundukkan wajahnya. Abang Man menarik nafas sedalam-dalamnya.  Dengan lafaz bismillah, dia menyambut huluran salam tok kadi. Ada sedikit getar di tangannya.
                “Aku terima nikahnya, Siti Fatimah bt Jaafar, dengan mas kahwinnya, RM 80 tunai…” sekali lafaz yang penuh makna.
                “Sah!” saksi pernikahan memberi kesahihan ijab dan Kabul tadi.
                Menitis air mata terharu ibu melihat puteri sulungnya sudah sah sebagai seorang isteri. Kak Long memeluk ibu dengan seerat-eratnya. Ucu sekadar tersenyum segaris.  Mungkin dia agak bosan, dari pagi tadi tak dapat keluar ke mana-mana memandangkan terpaksa membantu ibu dan keluarga dalam majlis hari ini.
                Aku berangan sejenak. Bagaimanalah agaknya apabila tiba giliranku pula? Adakah aku akan kahwin dengan pilihan ibu atau… pilihanku sendiri? Sabar Nurul! Baru saja habis SPM, keputusan pun tak keluar lagi!
                “Nurul! Duduk termenung pula! Tak mau makan ke? Semua orang dah keluar… kau saja yang duduk kat sini…” tegur Nafisa, sepupuku yang paling rapat denganku.
                “Ish, mana ada termenung, suka hati dia je tuduh orang macam tu…” aku menarik muncung sedepa.
                “Alolo, buat merajuk pula cik adik seorang ni…” Nafisa menggosok bahuku, tanda hendak memujuk.
                “Eh, sudahlah… kalau asyik ber’drama di sini, sampai esok kita tak makan. Jom, makan!” aku mengajak Nafisa makan bersama.
                Sememangnya Nafisa rapat denganku. Kadangkala, aku rasa seperti dia lebih rapat berbanding adik-beradikku sendiri. Kalau petang-petang, pasti dia akan datang, beriadah bersamaku. Pada setiap hujung minggu pula, pasti dia akan datang menemani aku dan ibu di rumah.  Usianya hanya setahun saja tua daripadaku. Dia tidak menyambung pelajaran dek kerana keputusan SPM yang kurang baik. Dia sekadar kerja di kilang kerepek ayahnya.
                “Nafisa, macam manalah agaknya bila tiba giliran kita pula untuk…” kata-kataku tergantung.
                “Kahwin?” Nafisa menyambung tanpa dipinta.
                “Kau rasa macam mana?” soalku. Nasi di pinggan baru setengah dimakan. Dia pula sudah habis kerana dia makan lebih sedikit berbanding denganku.
                “Aku tak macam kau-orang adik-beradik, pandai-pandai… ada harapan nak masuk universiti. Kenalan pun ramai. Kalau aku, biarlah ayah aku yang carikan. Aku percaya dengan pilihan ayahku…”jujur Nafisa menjawab.
                “Hmm, sekurang-kurangnya kau ada pendirian tetap. Aku tak tahulah aku macam mana nanti. Ish, kalau fikir sekarang pun buat apa, kan? Aku ni baru saja habis SPM…”
                “Aku rasa tak salah kalau kita fikirkan masa depan, kan? Tapi, bagiku, apa yang mak ayah aku suka, aku akan suka… Kerana aku suka hidup yang berkat,” ujar Nafisa.
                Dalam hatiku, terbit perasaan kagumku terhadapnya. Bukan senang kita nak cari orang macam Nafisa. Walaupun tidak berpendidikan tinggi, tapi dia ada pendirian tinggi dan budi yang luhur.  Semoga hidupnya sentiasa dilimpahi rahmat Ilahi.
                Usai makan, Nafisa meminta diri kerana perlu menghantar adik-adiknya ke kelas Fardhu Ain. Aku pula hendak berehat di dalam bilik sebentar. Penat juga rupanya majlis kenduri kahwin walaupun sederhana. Bagaimanalah agaknya orang yang mengadakan majlis besar-besaran? Pasti  solat juga tak menentu.
------------------------
                Ibu merenungku dengan pandangan yang aku sendiri tak fahami apakah yang cuba disampaikannya. Sudah seminggu Kak Long bernikah. Dan sudah seminggu jugalah dia sudah berpindah mengikut suaminya. Dan yang tinggal di rumah hanyalah aku dan Ucu. Aku meminta izin untuk bekerja di kilang Pak Su bersama Nafisa.
                “Angah, ibu rasa tak payahlah Angah pergi bekerja.” Ucap ibu buat aku terdiam seribu bahasa. Aku dapat mengagak jawapan ibu. Ya, sudah tentu dia tidak izinkan. Aku sedikit hampa tapi, aku sekadar mengalah. Mungkin ibu harapkan aku untuk menjaga rumah ketika dia keluar bekerja.
                “Kalau ibu kata begitu, Angah ikut sajalah…”
                Aku bangun untuk meninggalkan ibu. Belum sempat kakiku melangkah keluar dari dapur, ibu menyuruhku menggerakkan Ucu untuk sarapan pagi. Ya, sarapan pagi pada pukul 11.50 pagi! Memang masih pagi lagi! Bentakku dalam hati.
------------------------------------
                Ibu sekadar menggeleng kepala. Dia tahu bagaimana perangai anak-anaknya, terutamanya Angah. Angah memang tak pernah membantah apatah lagi melawan.  Berlainan dengan Along dan Ucu. Kedua-duanya kuat memberontak.  Tapi, Angah mungkin mengikut perangai arwah ayahnya. Seorang yang penyabar dan menyenangkan. Seorang yang selalu memendamkan perasaannya demi orang lain. 
                Tanpa disedari air mata bertakung di tubir mata yang redup milik ibu. Rindu terhadap suaminya masih terbuku di dalam hati biarpun sudah hampir sepuluh tahun meninggalkan alam fana ini. Memori terindah bersamanya tertayang dalam layar minda.
               Masih teringat lagi bagaimana suaminya mengiqamatkan anak sulung mereka berdua yang kini sudah berumah tangga. Masa pantas berlalu. Dirinya juga sudah dimamah usia. Semakin lama, dia semakin mengalah dengan kerenah anak-anaknya sejak kematian suaminya.  Walaupun, anak sulungnya berkahwin dengan seorang pemuda yang tidak dikenalinya. Dia hanya percaya, bahawa anaknya sudah pilih yang terbaik. Semoga Allah merahmati keluarga anaknya itu.
                “Mak, ooo mak… Ucu dah habis makan ni, Ucu nak keluar dengan kawan, boleh?”ibu tersedar dariapda lamunannya.
                “Keluar ke mana? Asyik-asyik nak keluar…” rungut ibu. Sejak menginjak remaja, Ucu selalu tidak lekat di rumah. Seperti biskut, sekejap ada sekejap tiada.
                “Alaa, bosanlah duduk rumah, ibu. Lagipun, bukan ada komputer nak online,” balas Ucu. Raut wajahnya sedikit berkerut. Tandanya, jikalau tidak ditunaikan permintaannya sebentar lagi, pasti ada sajalah yang akan dilakukannya sebagai tanda protes.
                “Pergilah… tapi ibu tak bagi duit. Duit yang ada cukup nak buat belanja barang dapur saja. Gunalah duit sendiri, ya?” ibu sudah malas hendak bertekak seperti sebelum ini.
                “Hmm, terima kasih ibu,” Ucu membawa topi keledarnya bersama. Dia keluar terus dari dapur. Bunyi motor usang milik arwah ayahnya sudah kedengaran.
-------------------------   
                Masa berlalu tanpa menunggu kita untuk tersedar akan peredarannya.  Keputusan SPM bakal diumumkan esok. Malam yang dingin bersama gerimis hujan yang semakin surut sudah tentu menjanjikan tidur yang nyenyak bagi sesiapapun. Akan tetapi, aku rasa seperti aku sudah abnormal. Malam ini, mataku sedikitpun tidak rasa mengantuk malah nak melelapkan mata pun susah.
                Malam semakin larut. Aku bangun daripada pembaringan di atas katil. Tidak selesa kerana tidak dapat melelapkan mata.  Sejenak fikiran menerawang ke masa yang telah berlalu. Dalam khayalanku terlayar memori dari kecil sehinggalah aku sudah tamat persekolahan sekarang.  Ayah… kalau ayah masih ada…
                Entah kenapa, aku bergerak menuju ke almari kecil di sudut ruang tamu yang menempatkan album-album lama. Aku buka almari tersebut. Album-album lama aku keluarkan satu persatu. Habuk disapu agar menampakkan muka depan Album yang tertera namaku dengan lebih jelas.
                Gambar-gambar dalam album tersebut diamati sedalam-dalamnya. Sesekali aku tersengih seorang diri, comel juga aku semasa kecil dahulu. Tanganku berhenti membelek apabila aku terjumpa gambar arwah ayah dengan kami tiga beradik. Satu-satunya gambar yang aku gemari sebelum kematian ayah.
                Gambar itu aku pernah letak di atas meja belajarku dahulu. Gambar ayah memeluk kami bertiga sambil masing-masing tersengih. Gambar itu aku simpan dalam album kerana aku tak mampu menahan perasaan sewaktu ayah baru  meninggal dunia. Entah kenapa, titis-titis air mata menitik di atas gambar itu.
                Aku mengeluarkan gambar tersebut dan masuk ke dalam bilik kembali. Aku mengeluarkan kertas kajang dari beg sekolahku. Aku tak mampu menahan lagi badai perasaan persis ombak yang menghempas pantai ini. Aku tulis sepucuk surat buat ayah hatta aku tahu aku takkan mampu memberikan surat tersebut kepadanya. Dia bukan pergi merantau jauh ke mana-mana di atas muka bumi ini, tetapi dia sudah terpisah alam denganku.
Salam, ayah yang Angah sayang…
Ayah tahu tak?
Anak-anak ayah semua dah dewasa sekarang…
Seorang dah kahwin…
Yang seorang lagi tengah tunggu keputusan SPM…
Yang seorang lagi dah nak masuk tingkatan lima…


Ayah,
Kalau ayah ada sekarang,
Mesti ayah tengah bagi semangat pada Angah untuk menempuhi hari esok…
Ayah,
Kalau ayah ada sekarang,
Mesti Ucu tak selalu keluar malam-malam, kan?
Mesti ayah marah kan?
Ayah tau tak?
Angah jumpa gambar kita berempat anak-beranak…
Angah teringat lagi, masa tu ayah baru beli kamera,
Ayah bersemangat  sungguh nak tangkap gambar kita ramai-ramai…
Tapi, sebab tak ada sesiapa yang nak tolong tangkap gambar, ibu yang ambil gambar kita berempat…
Ayah peluk kami bertiga erat sangat…
Rupa-rupanya,
Itulah pelukan terakhir sebelum kami semua menginjak dewasa…
Sebelum kami semua akil baligh…
Ayah,
Angah rindu ayah…
Angah rindu pujukan ayah kalau angah kena marah dengan ibu…
Angah rindu pujukan ayah kalau kami adik-beradik berebut mainan…
Yang paling Angah rindu,
Angah rindu kata-kata semangat ayah…
Ayah saja yang faham hati Angah…
Tapi, sekarang ayah dah tak ada…
Angah sunyi, ayah…
Kalau boleh,
Angah nak sangat beritahu ayah semua perasaan angah sekarang ini…
Angah masih terbayang lagi wajah ayah yang redup…
Ayah bisikkan kata-kata nasihat buat Angah.
Ayah kata, jangan sedih dengan ujian Allah, tapi, ingatlah Allah sentiasa sayang kita…Allah takkan tinggalkan kita macam manusia… Sehebat mana pun sayang manusia, dia akan pergi tinggalkan kita.
Itulah pesanan terakhir ayah sebelum ayah kemalangan.
Ayah tau tak?
Angah demam panas semasa ayah koma… Angah terlalu sedih sebab Angah takut kehilangan ayah…
Bila ayah sedar dari koma dulu, Angah seronok sangat!
Tapi, kegembiraan itu hanya sementara…
Ayah pergi buat selama-lamanya…
Ayah, semoga Allah rahmati Ayah di sana…
Kerana ayah sudah mendidik anak-anak ayah sebaik-baiknya…
Dan, sebelum Angah berhenti menulis,
Angah nak ucapkan setinggi-tinggi terima kasih ayah…
Terima kasih atas segala-galanya…
Angah hanya mampu mendoakan ayah dan ibu masuk syurga saja… semoga Allah makbulkan, Amin!
                Sebak di dada sudah tak mampu tertanggung lagi. Aku rebahkan diri di atas katil sambil memeluk gambar kesayanganku itu. Aku tidak sedar bila aku tertidur dalam tangisan pada malam itu.
-------------------------------   
                Detik demi detik sangat mendebarkan.  Entah bila akan berhenti. Seorang demi seorang menerima slip keputusan SPM mereka. Ibu tidak hadir bersama memandangakan Kak Long dan suami akan pulang ke rumah. Sudah tentu ibu hendak meraikan kepulangan mereka yang sudah berbulan-bulan tidak datang menziarahi ibu. Kali terakhir mereka datang pun dua minggu selepas majlis pernikahan mereka. Hanya Nafisa yang menemaninya.

                “Nurul, mesti selepas ini giliran engkau pula…” Nafisa mengagak.
                “Ish, janganlah buat aku lagi cuak ni,” Nurul mengurut dada sedikit.

                Ternyata kata-kata Nafisa tadi ada benarnya. Ish, masin sungguh mulutnya!
               
                “Muslimin dan muslimat, kini, tibalah masanya diumumkan nama pelajar yang mendapat semua A. Dijemput, Saudari Nurul Fardatul Ulfah bt Jaafar!” Nafisa seakan-akan ingin melonjak teruja. Nurul masih lagi tergamam… Tubuhnya dipeluk erat Nafisa.
               Sungguh, dia tak sangka dia merupakan salah seorang yang terpilih untuk mendapat keputusan cemerlang tersebut. Dia naik ke pentas bersama tepukan gemuruh rakan-rakan dan ibu bapa yang turut hadir. Tubuhnya dipeluk erat oleh Ustazah Hafsah, ustazah yang banyak membantunya sepanjang bersekolah di situ.
                “Tahniah, Nurul. Ustazah percaya, semuanya berkat kegigihan kamu, Allah kurniakan anugerah ini… Ingat ya, pesan ustazah, jagalah Allah, insyaAllah, Allah akan menjaga kita,” pesan Ustazah Hafsah. Nurul sangat terharu. Air mata yang bertakung di tubir mata tumpah juga akhirnya.
                Setelah giliran Nurul, rakan-rakan yang turut mendapat semua A dalam SPM juga naik ke pentas bagi menerima slip keputusan mereka. Hari ini dalam sejarah. Hanya tuhan saja yang tahu bagaiman perasaannya ketika ini.

                “Kalau Mak Long ada, mesti dia bangga dengan kau, kan?” Nurul sekadar diam saja apabila Nafisa menuturkan kata-kata itu. Sesungguhnya, memang itulah yang terdetik dalam hatinya.

                Usai Nurul tiba di rumah, dia melihat ibu sedang duduk di atas pangkin. Raut wajah ibu sangat muram. Apa yang terjadi?


                “Assalamualaikum, ibu. Kak Long tak sampai lagi, ke?” soal Nurul sambil duduk bersebelahan dengan ibu.

                “Dah. Tapi dia dah balik tadi,” jawab ibu dengan nada yang sedikit kecewa.
                “Kenapa ibu muram saja ni? Tak seronok ke Kak Long balik?” soal Nurul lagi.
                “Kak Long kamu nak pindah KL. Lagi susahlah dia nak datang ziarah ibu nanti,”luah ibu.
                “Hmm… Angah kan ada?” ibu mengukir senyum segaris.
                “Angah, macam mana keputusan SPM?”soalan yang dinanti-nantikan oleh Nurul.
                “Ibu, ibu bukalah sampul surat ni,” Nurul menghulurkan sampul surat yang berisi slip keputusan SPM.
                “Bismillah… Alhamdulillah, anak ibu dapat semua A!” kemuraman di wajah ibu sudah bertukar menjadi senyum yang lebar. Ibu memeluk tubuh Nurul dengan erat sekali. Dia mencium pipi anaknya itu. Nurul tertegun setagal. Ibunya tidak pernah buat begitu kepadanya sejak dia menginjak dewasa. Selama ini, perhatian ibunya lebih berat kepada adik dan kakaknya. Tetapi, siapa tahu, dalam hati seorang ibu, bukan?

---------------------------------------------    
                Kenduri kesyukuran berjalan lancar. Hampir semua orang kampung hadir bagi meraikan kejayaan Nurul. Wajah ibu tidak lekang dengan senyuman. Siapa yang tidak bangga dengan kejayaan anak sendiri, bukan? Pertama kali dalam hidupnya, Nurul melihat ibunya berseri-seri. Sejak kematian ayah dahulu, ibu jarang tersenyum.
                Ustazah Hafsah turut hadir. Nurul sangat gembira kerana orang yang dihormati dan disayanginya itu sudi hadir ke majlis yang tidak seberapa itu. Ustazah Hafsah merupakan murobbi kumpulan usrahnya di sekolah. Dia jugalah insan yang selalu memberi bimbingan dan semangat untuknya terus menempuh hari-hari bergelar seorang pelajar  sekolah agama.
                “Apa perancangan selepas ini, Nurul?” soal Ustazah Hafsah.
                “Kalau ada rezeki, saya nak sambung belajar di Timur Tengah. Apa pendapat ustazah?” soal Nurul.
                “MasyaAllah, baguslah kalau begitu. Cuma, keadaan dahulu dan sekarang lain. Sekarang ini, Arab sedang bangkit. Kalau dapat ke sana, jaga diri baik-baik, ya?”pesan Ustazah Hafsah.
                “InsyaAllah, ustazah… Ustazah dulu, bagaimana?”
                “Pada mulanya, ibu ustazah tak benarkan ustazah sambung ke luar Negara… bimbang katanya,” ustazah memulakan kisah silamnya sebelum berangkat ke bumi anbiya’.
                “Macam mana ustazah dapat ke sana?” Nurul tertarik untuk mendengar kisah seterusnya.
                “Ustazah pujuklah ibu ustazah bersungguh-sungguh… akhirnya dia mengalah, dia berikan syarat kepada ustazah…” Ustazah Hafsah mula mengukir senyum.
                “Apa syaratnya, ustazah?”
                “Ustazah kena kahwin dahulu kalau hendak ke sana…” jawapan ustazah membuatkan Nurul sedikit ternganga namun cuba dikawalnya sebaik mungkin.
                “Kenapa tak Tanya lagi?” Ustazah Hafsah tersengih.
                “Saya tak tahu nak Tanya apa lagi, ustazah…” jawab Nurul.
                “Hmm, pada mulanya, Ustazah pun ternganga juga semasa ibu ustazah meletakkan syarat itu… Rupa-rupanya, ibu ustazah letakkan syarat itu bersebab… Ustazah sudah dirisik oleh seorang senior ustazah yang belajar di sana. Di sana, ada seorang gadis Arab yang tergila-gilakan dia sehingga dia tidak tahan diganggu oleh gadis tersebut.  Ustazah pun terima kerana kami masing-masing memerlukan,” cerita Ustazah Hafsah.
                “Macam mana ustazah boleh terima? Ustazah kenal ke senior ustazah tu?” soalan yang seringkali ditanya apabila Ustazah Hafsah menceritakan kisahnya.
                “Ustazah kenal semasa bertunang dengannya, seminggu sebelum berkahwin,” jawapan ustazah belum memuaskan hati Nurul.
                “Saya masih lagi tertanya-tanya ni, ustazah… selalunya, orang lain mesti akan berkahwin dengan orang yang dia suka, yang dia cinta… tapi…”
                “Itulah namanya jodoh, Nurul. Tidak semestinya kena bercinta dahulu, baru kahwin. Ada yang bercinta bagai nak rak, tapi, terputus di tengah jalan,” jawab Ustazah Hafsah sambil tersengih lagi.
                “Hmm, betul juga kata ustazah. Rezeki, jodoh, maut semuanya di tangan Allah, kan?”simpul Nurul.
                “Hah, macam itulah anak murid ustazah! Ya paling penting, di masa saja kita berada, jangan sesekali kita lupakan Allah,” Ustazah Hafsah mengusap pipi Nurul. Nurul sekadar mengangguk mendengar pesanan Ustazah Hafsah.
---------------------------  
                Nurul menanti jawapan ibunya. Dalam hati, dia berharap tidak jadi seperti dahulu. Dahulu, dia mendapat tawaran ke Kolej Islam Sultan Alam Shah. Ibu menghalanganya kerana kolej tersebut jauh.  Kalau difikirkan kembali, jawapan ibu sangat tidak releven kerana Kak Long dibenarkan ke Sekolah Tun Fatimah, lebih jauh lagi. Dan, yang paling menyakitkan hatinya, ibu membenarkan Ucu menyambung pelajaran di Sekolah Menangah Sains Johor.  Dan, yang paling penting, kalau ibu izinkan, janganlah di letak syarat suruh berkahwin dulu macam Ustazah Hafsah.
                “Angah…” ibu menarik nafas dalam-dalam. Ada sebak terbuku di dada.
                “Macam mana, ibu bagi tak Angah ke Jordan?” soal Nurul lagi.
                “Tak mungkin ibu melarang cita-cita Angah. Dan tak mungkin ibu melarang cita-cita arwah ayah… Angah, pergilah. Ibu izinkan…” ibu menitiskan air mata yang cuba ditahan.
                “Ibu, kenapa ibu menangis?”
                “Ibu bangga dengan Angah… Ibu selalu berharap ada anak-anak ibu yang mampu menunaikan hasrat arwah ayah… Ibu harapkan Kak Long, dia tak mahu menyambung dalam bidang agama. Ibu nak harapkan Ucu, belum tentu lagi. Angah, di sana nanti, belajar elok-elok ya?” Ibu memeluk Nurul.
                Nurul terkedu. Maha suci Allah yang telah memakbulkan doanya. Dia bersujud syukur, menyatakan kesyukuran tidak terhingga. Akhirnya, ibu mengizinkannya untuk mencapai cita-citanya. Dan, sudah tentu, dia akan memanfaatkan peluang ini dengan sebaik-baiknya.
-------------------------------  

Setahun kemudian….
                Nurul kembali ke tanah air untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini. Teksi yang dinaikinya sudah memasuki halaman rumahnya. Dengan ucapan bismillah, dia turun dari teksi. Rumah yang sangat dirinduinya itu sudah berada di depan mata. Pemandu teksi menurunkan begnya. Dia membayar tambang dengan ucapan terima kasih.
                “Assalamua’laikum, ibu…” Nurul mengetuk pintu rumahnya. Tiada jawapan, barangkali, ibu keluar agaknya.
                Dia menapak pula ke rumah Pak Su. Nafisa sedang menganyam ketupat di ruang tamu. Dia kelihatan sangat tekun sekali. Nurul tersenyum gembira. Nafisa, antara orang yang dirinduinya. Masakan dia tidak rindu pada sepupu yang paling rapat dengannya itu. Orang yang selalu menemani hari-harinya di kampung ini.
                “Assalamua’laikum!” salam diberi.
                “Wa’alaikumsalam… Ya Allah, Nurul… bertuah balim tak beritahu aku. Kalau tidak mesti aku boleh jemput kau di airport!” Nafisa segera meninggalkan ketupat yang dianyam dan segera memeluk erat tubuh Nurul.
                “Ya Allah, aku pergi baru setahun lebih... Peluk macam dah sepuluh tahun tak jumpa!” usik Nurul.
                “Hmm, masuklah dulu, duduk bersembang di luar pula. Kau sudahlah baru sampai… puasa pula,”jemput Nafisa setelah menyedari mereka sekadar berbual di depan pintu rumah.
                “Eh, aku datang sekejap saja. Nak Tanya ni, kau tahu ibu aku pergi mana?”soal Nurul.
                “Ya Allah, lupa nak beritahu, Mak Long pergi hospital dengan mak ayah aku… adik kau masuk wad,”terang Nafisa.
                “Masuk wad? Dia sakit apa?” dahi Nurul berkerut seribu.
                “Masuklah dulu,” ajak Nafisa lagi.
                Nurul melangkah masuk ke dalam rumah Pak Su. Dia mengambil tempat duduk bersebelahan Nafisa.
                “Ceritalah apa yang terjadi,”pinta Nurul.
                “Adik kau kemalangan. Dia merempit dua hari lepas,” Nurul seakan tidak percaya kata-kata Nafisa itu.
                “Nafisa, kau tak memain kan?”
                “Buat apa aku nak memain, Nurul,” muka Nafisa sangat serius.
                “Ya Allah…” keluh Nurul penuh kesal. Bagaimana Ucu boleh terjebak dengan geng rempit pula?
                “Engkau duduk dululah di sini sementara nak tunggu Mak Long balik dari hospital. Boleh teman aku di rumah ini,”pelawa Nafisa.
-------------------------------------------   
                Malam yang hening sekali. Takbir raya sayup-sayup kedengaran. Selalunya, setiap kali malam raya, pasti anak-anak ibu ada bersama menyiapkan persiapan untuk hari raya. Tetapi, malam raya kali ini, hanya Nurul yang ada di sisi.
                “Ibu, Kak Long tak balik raya, ke?” soal Nurul sekadar memecah kesepian dalam rumahnya.
                “Kak Long beraya di rumah mertuanya,” jawab ibu ringkas.
                “Kak Long selalu datang tak, ibu?” soal Nurul lagi.
                “Kali terakhir dia datang, semasa Angah nak ke Jordan dulu… selepas itu, dia tak datang dah. Sibuk agaknya…”jawab ibu lagi. Hambar sekali.
                “Telefon?”soal Nurul lagi.
Ibu sekadar menggelengkan kepala. Dalam hatinya, terbit rasa geram terhadap Kak Longnya yang tidak mengambil berat langsung terhadap ibu. Dahulu, sebelum berkhawin, bukan main lagi berjanji macam-macam dengan ibu!
“Angah… ibu minta maaf, ya…” luah ibu secara tiba-tiba.
“Kenapa pula? Ibu mana ada buat salah dengan Angah pun,” Nurul kehairanan.
“Selama ini, ibu tahu Angah rasa ibu berat sebelah. Tapi, Angah percayalah, dalam hati ibu, Angahlah yang paling ibu sayang. Ibu tak izinkan Angah belajar di sekolah berasrama kerana ibu tak mahu jauh dengan Angah. Angah tak pernah membantah cakap ibu… walaupun ibu tak pernah tunaikan apa-apa permintaan Angah… Semasa Angah di Jordan, setiap hari ibu terkenangkan semua anak-anak ibu. Terutamanya Angah. Hari ini, hanya Angah yang ada di sisi ibu…” saat mendengar luahan hati ibu, Nurul menjadi semakin terharu.
“Ibu… maafkan Angah sebab selalu buruk sangka dengan ibu… maafkan Angah, bu…” Nurul memeluk tubuh ibu yang semakin kurus itu. Kurus dek dimamah usia. Usia yang menjadi saksi seorang ibu yang bersusah-payah membesarkan ketiga-tiga orang anaknya.
“Tak mengapa, Angah. Angah tak pernah buat ibu kecewa… Angah, kalau ayah masih ada, mesti dia akan bangga dengan Angah, kan?” kata-kata ibu membuatkan air mata Nurul semakin laju mengalir.
Pada malam 1 Syawal itu, kedua-dua beranak berendam air mata. Air mata kerinduan yang sudah lama terpendam di lubuk hati masing-masing.
--------------------------   
                Nurul mengenakan baju rayanya yang berwarna biru muda bersama tudung labuhnya yang sepadan. Setelah bersiap-siap untuk ke masjid bagi solat sunat Aidilfitri, dia mengetuk pintu bilik ibunya. Setelah berkali-kali diketuk, hati Nurul berasa tidak sedap.
                “Kenapa ibu tak respons ni?” bisik hati Nurul.
                Dia masuk ke dalam bilik ibu. Dia melihat ibu sedang bersujud. Dia tunggu lagi beberapa minit. Tetapi, ibu masih lagi dalam posisi yang sama. Dia cuba menggerakkan tubuh ibu. Rupa-rupanya, ibu telah mengikut jejak arwah ayah. Dia sudah meninggalkan semua anak-anaknya.
                Tubuh Nurul terasa begitu lemah. Dia tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya tangisan yang mengalir di pipinya. Apakan daya, nadi ibu sudah tidak berdenyut lagi…
                “Ibu…”
                Dan, di saat ibu meninggalkan dunia, hanya dia saja ada di sisi ibu. Selama hayat ibu, memang ibu seperti melebihkan anak-anaknya lain berbandingnya. Tapi, hakikatnya, jauh di sudut hati ibu, ibu melebihkan dirinya.

Ayah, kini ibu pergi mengikuti jejak ayah. Semoga ibu dan ayah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman…
------------------------------  
Imbas Kembali…
                Nurul menangis tersedu-sedan. Ustazah Hafsah mendengar dengan penuh teliti luahan hatinya.
               “Ustazah, kenapa ibu saya buat saya macam ini? Kakak saya boleh pergi sekolah asrama lagi jauh daripada saya. Tapi, ibu saya seolah-olah nak menyekat cita-cita saya… Saya terkilan dengan sikap berat sebelah dia, Ustazah… Selama ini, saya tak pernah minta apa-apa. Kalau saya minta pun, mesti tak dapat. Tapi, kali ni saya Cuma minta nak sambung belajar di KISAS saja, ustazah!”
                “Nurul, ibu kita manusia biasa. Dia tak sempurna. Tapi, percayalah, ibu kamu sayangkan kamu… dalam masa yang sama dia juga sayang adik-beradik kamu yang lain… Mungkin dia ada sebab sendiri. Kita tak tahu, Nurul. Hanya Allah yang tahu. Walaupun kamu kecewa dengan sikap ibu kamu, jangan sesekali memberontak depan dia… tak baik… mengadulah pada Allah, semoga Allah bukakan pintu hati ibu kamu untuk mengizinkan kamu ke sana, ya?” pujuk Ustazah Hafsah.
“Nurul, ingatlah janji Allah, Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa… InsyaAllah, satu hari nanti, Nurul akan tahu juga jawapan kenapa ibu Nurul buat macam itu,” pesan Ustazah Hafsah.

--------------------------  
Rasullullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.[1]
Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya – hadis no: 1899 (Kitab al-Birr wa al-Shalah, Bab berkenaan keutamaan pada keredhaan ibubapa)dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 515.

Monday, April 16, 2012

Berkat: Belajar kerana siapa?


Salam wbt. Bertemu lagi dalam entri istimewa kali ini. Sudah agaka lama rasanya tak update blog. Akhirnya dapat juga kesempatan ni. Alhamdulillah.

Terdetik nak tulis entri ni apabila seorang kawan Cik Mai buat ucapan dalam perhimpunan tentang mengapa dia belajar bersungguh-sungguh. Ucapan itu dalam bahasa jepun. Mungkin, nanti dia akan ke Japanese Speech Contest, kut... entahlah... Malas nak ambil tahu sebab Cik Mai dah drop subjek tu. Sekarang ganti dengan Subjek ICt untuk SPM. Kira 10 subjeklah.

Mungkin, apa yang diucapkannya merupakan salah satu matlamat remaja yang lain. Matlamat dalam belajar.

Q:Kenapa kena belajar rajin-rajin?
A: Sudah tentulah untuk membalas jasa ibu dan ayah yang telah mengorban segala-galanya untuk pendidikan kita. Buat dia orang bangga dengan kita.
Kadangkala, Cik Mai terfikir, takkan sekadar itu saja hasilnya? Pasti ada yang menjawab,
alah, dah berjaya dalam pelajaran, dah tentu dapat kerja yang bagus-bagus... dapat sara mak ayah bila dah kerja nanti...
Ya, orang kata sebab nak balas jasa mak ayah kita...

Hakikatnya, kejayaan kita dalam pelajaran dan kerjaya, bagi Cik Mai, tak lebih sekadar untuk kita sendiri...

Kenapa?

Tidakkah kita lihat, berpaa ramai yang berjaya dalam kehidupan, yang bergaji besar, yang berpelajaran tinggi, ada yang menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua? Bahkan, ada yang mengabaikan terus ibu bapa mereka, kan?

Bagi Cik Mai, walau berjuta duit yang kita dapat kita limpahkan kepada ibu bapa kita, mana mungkin dapat membayar jasa mereka. Begitu juga dengan kejayaan kita, mana mungkin...

Hanya satu saja yang dapat membalas jasa mereka, bahkan mengatasi segala jasa mereka, yaitu, mendoakan mereka ke syurga... ya, syurga itu lebih tinggi nilainya yang tiada bandingannya. Hanya anak yang soleh, yang akan mendoakan ibu bapanya ke syurga kelak...anak yang berjaya dalam kerjaya, dalam kehidupannya di dunia, belum tentu akan mendoakan ibu bapanya sedekian rupa...

Jadi, belajar untuk apa?

Belajar kerana Allah.
Kita beriman kepada Allah...
Kita tunaikan segala amanah kita kerana kita percaya bahawa Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui segala-galanya yang kita lakukan.
Apa amanah kita?
Amanah kita ialah belajar bersungguh-sungguh kerana itulah salah satu jalan meraih redha Allah SWT.

Meraih redha Allah, membuktikan kita cinta akan Allah SWT...

Jadi, mari kita ubah matlamat kita, belajar kerana siapa? Kerana Allah SWT.
InsyaAllah, keberkatan ilmu akan sampai kepada kita. Sekian-Cik Mai.

Friday, April 6, 2012

Kisah Anak Ibu daripada Seorang Cikgu

Salam wbt. Dalam entri ini, Cik Mai ingin berkongsi kisah yang diceritakan oleh cikgu Cik Mai, tentang kisah si anak ibu.

Cerita 1
ini ialah kisah benar. Seorang calon SPM datang terlalu lewat untuk mengambil peperiksaan tersebut. Hanya tinggal lebih kurang 15-10 minit saja lagi masa akan tamat. Tapi, calon ini dapat menjawab dengan lengkap tanpa meninggalkan satu pun soalan ketika pengawas peperiksaan mengutip kertas.

Perkara ini menimbulkan keraguan si pengawas peperiksaan lalu dia bertanya:

"Macam mana awak boleh jawab semua soalan dalam masa yang singkat?"

"Saya pun tak tahu cikgu.... Saya cuma tulis apa yang terlintas dalam kepala saya. Saya tak sedar pula saya siap lebih awal daripada calon yang lain," jawapan si calon menambahkan lagi kebingungan kepada si pengawas peperiksaan.

"Tadi kenapa masuk lewat sangat? Awak buat apa?"

"Pagi tadi mak saya sakit. Jadi, saya hantar dia ke klinik sampai dia dapat ubat. Kemudian, baru saya datang ke sini,"jawab si calon dengan jujur.

Pengawas peperiksaan tersebut tertegun setagal. Tanpa bertanya lagi, dia meninggalkan calon tersebut dan menguruskan kerja-kerjanya yang lain.

Semasa keputusan SPM keluar, calon tersebut mendapat A+ dalam subjek tersebut.

pssttt: Kalau kita berada di tempat calon SPM tu, apa yang kita buat? Adakah kita pergi ambil SPM, atau terus hantar ibu kita ke klinik


Cerita 2


Ini pula kisah senior cikgu Cik Mai. Cikgu kata,
 melahirkan anak memang sakit... tapi melahirkan anak luar nikah, tak sakit langsung! 

Seisi kelas tercengang seketika. Benarkah apa yang cikgu katakan?

Ya, ini kisah benar. Cikgu menyambung lagi, katanya:
"Selepas melahirkan anaknya di dalam tandas, dia terus flush sampai baby tadi lemas. Kemudian, dia boleh pergi ke kuliah dengan menunggang motor. Bayangkanlah... orang yang melahirkan anak sepatutnya dua minggu baru sihat, dia tak macam tu... Kemudian, semasa kuliah, pak cik guard datang dan panggil dia.  Rupa-rupanya, baby tu dia buang dalam tong sampah dan seorang cleaner jumpa..."
Kami yang mendengar kisah benar tu tak tahu nak kata apa-apa. Masing-masing terkedu seketika.Kemudian, kawan Cik Mai tanya kat cikgu, macam mana boleh jadi macam tu?

Cikgu jawab:
"Mungkin dibantu oleh syaitan ke ape, tak tau laa... wallahu'alam... orang lain pun tak perasan dia pregnant sampailah hari yang pak cik guard tahan dia... dia kena gantung kuliah selama dua semester... sekarang tak tau apa jadi kat dia..."
 pstt: mungkin ada hikmahnya orang yang bersalin rasa sakit... mungkin ibu yang melahirkan anak-anak dengan rasa sakit akan lebih menghargai ibu mereka... 


Kedua-dua kisah di atas adalah kisah benar yang diceritakan oleh cikgu Cik Mai... semoga kita semua beroleh iktibar....sekian-Cik Mai

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...