BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, November 30, 2011

Perasaan Itu


Perasaan
Apakah nilainya sesuatu perasaan? Hakikatnya, manusia difitrahkan dengan pelbagai perasaan. Sedih, Gembira, Marah dan sebagainya. Perasaan, perkara abstrak yang sangat besar impaknya. Perasaan, tak mampu dilihat dengan mata kasar, hanya tindakan melalui perasaan itu yang mampu kita lihat, bukan?
                Kadangkala, perasaan itu tersembunyi daripada tindakan. Sebagai contoh, jika seseorang sedang marah, dia tidak menunjukkan perasaan marah melalui tindakan. Dia hanya simpan. Dan, kita, yang melihatnya tidak terfikir pun dia sedang marah.
                Perasaan itu ghaib bukan? Perasaan, sesuatu yang perlu diambil berat dan dijaga sebaik mungkin. Dalam berbagai-bagai jenis perasaan, ada satu perasaan yang sangat indah. Cinta. Dalam pelbagai perasaan, hanya ada satu yang sangat buruk. Benci. Dalam kebanyakan perasaan, hanya satu yang sukar dimiliki. Tenang. Dalam semua perasaan, hanya ada satu yang sangat penting. Syukur. Dalam dunia ini, betapa susahnya memiliki rasa bahagia. Kerana bahagia itu hanya dimiliki apabila syukur membuahkan redha. Redha dengan qada’ dan qadar Allah SWT.
                Orang yang memiliki semua perkara yang diidam-idamkan, belum tentu tenang. Kekayaan, kecantikan rupa paras, kepandaian, dan darjat kadangkala nilainya kosong bagi mereka yang tidak merasai ketenangan.
                Hanya jiwa yang dilimpahi nur Ilahi akan sentiasa merasai ketenangan. Siapakah yang memilikinya? Kalau bukan mereka yang bersyukur. Bersyukur dengan meredhai kehidupannya. Bersyukur dengan memelihara hubungan dengan Allah dan yang memelihara hubungan dengan manusia. Berbahagialah sesiapa yang sentiasa bersyukur.
Kerana bersyukur, dia bersabar dengan ujian yang menimpa.Kerana dia tahu walau dia sudah hilang segalanya, dia masih ada iman. Dia masih ada Allah di hatinya.
Kerana bersyukur, dia bertanggungjawab, memelihara amanah walau seberat mana pun yang dipikul.
Kerana bersyukur, dia memiliki ketenangan jiwa yang tinggi nilainya.
Kerana bersyukur, dia menjadi orang yang bahagia di dunia dan di akhirat.
                Semoga kita memperoleh perasaan syukur seperti yang demikian. Berusahalah memilikinya. Kerana, syukur amatlah payah untuk dicapai. Sudah dicapai, perlu dipelihara. Kerana syukur, akan susut juga jika kita tidak mempertahankannya. Ayuh, mari kita jadi orang yang bersyukur!
Dan nikmat tuhanmu yang manakah mahu kamu dustakan?-Surah Ar-Rahman

Tuesday, November 29, 2011

Dia Rabiatul


Salam ‘alaikum warahmatullah. Allahumma solli ‘ala saidina muhammad wa ‘ala ali wasohbihi wasallam, walhamdulillahi rabbal ‘alamin.
Ni, ada kesah nak dikongsi bersama. Korang luangkanlah masa lepak kat blogku yang tak baper nak femes nih…huhu…kalo sudilah…xsudi xper…err, citer ni sile bace dlm loghat perak yer..
Satu malam, yang tak baper nak cerah, bak kata omputih, blackoutlah katakan…yelah, time zaman dahulu kala mana ada elektrik x? apetah lagi lampu toslight, pendaflour ngan ntah pe nama lagi tuh..
adelah sowang mamat nih, dok ‘menghidupkan malam’….tapi sebenarnya merosakkan malam jer…
dia pecah masuk rumah sowang perempuan berusia nih….nak mencuri la katakan…
“salam ‘alaikum, dik…hoho…buat ape nih…meh ler minum teh ngan akak nih…seronok benor akak, adelah orang nak melawat akak tengah2 malam  bute nih…”slumber je tuan rumah itu menyapa mamat tuh…
“erk…wslm…hehe, xpe ar kak, saya datang ni pon ader hal ckit…hehe…”sengihnya cam kerang busuk.
“akak tahuler kamoo nak cilok umah akak…ye pon, minum ler dulu…penat akak jerang air ni dik oi…”memang giler ar tuan umah ni…siap jemput minum lagi
“er…xper ni kak? kan saya datang umah akak ni pon ‘x diundang’…”
“xpe…haish, org dah penat bebenornyer menjamu kamoo nih, kamoo xmo pulak dah yer…akak tahu ler korghe(kerja) kamoo tu mencilok umah org, sbb tu akak x kesah…aish…xmo minum pon, amik ler ape2 kat umah akak nih…”
‘mmg giler ar akak ni pelawa cilok barang2 dia…’ fikir mamat tuh
“eh, xpe kot…mcm xder bende jer leh wat pajak gadai, kak…babai…”dia nak seram sejuk dah
“eh, nanti dulu…xkan penat2 masuk umah akak, xder benda nk amik kot? amik lerr cebok kat perigi tuh…wat amik wudhu’, hidupkan malam…pegi pajak gadai dose kamoo dengn Allah tuh….kan Allah tu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang? wallahu ghafur rurahim…”
Ketaq lutut sudah mamat tuh…terus dia balik bertaubat lepas pecah umah akak tuh…berhikmah betol akak tuh….
Setiap org bleh berubah…cuma ikut cara jer…berdakwah pon ada cara, kita x bleh nk guna cara yg sama tuk setiap org,hakikatnya, kita berdakwah [pon kekadang org akan tengok peribadi kita, baru org terima, mcm akak tuh…
ambikler sedikit sebanyak pengajaran dalam citer ni yer….sebenarnya kisah ni diadaptasi daripada kisah Rabiah El-Adawea atau Rabia’tul Adawiyah….
wallahu’alam….
sekian, wasalam.
-CikMai

Aku Juga Wanita

Aku Juga Wanita
Oleh Maisarah Mohamed Pauzi
Abah meredakan keresahannya sementara menunggu ibu di dalam wad yang sedang bertarung nyawa. Al-Quran poketnya dibelek sehingga ke muka surat yang ingin disambung bacaannya. Surah Ar-Rahman. Astaghfirullah… baru dia tersedar sudah lama dia menghentikan bacaannya sejak dia bekerja di luar daerah bulan lepas. Mujurlah dia pulang awal, sempat menjaga ibu sebelum selamat melahirkan anak.
                Abah membaca dengan suara yang perlahan. Along dan Angah sudah lama terlena di sebelah abah. Dalam kerisauan, tahap kesedarannya semakin tenggelam kala malam sudah larut. Tanpa sedar, abah terlena dalam keadaan mendakap Al-Quran.
-----------
                “Abah!! Along lapar ni… bangunlah!”Along merengek.  Wad yang lengang itu hanya diisi dengan rengekan Along.
                “Hmm… jap… jap… abah pergi toilet dulu…” Abah merengangkan badannya. Jam tangan dikerling sekilas… ‘baru pukul 5 pagi… haih… awal pulak Si Along ni bangun… Eh, sekejap! Bukan sekarang ni aku kat hospital ke? Astaghfirullah…’ bisik hati abah.
                “Abah…”Angah pula terbangun. Matanya berkaca… Along dan Abah hairan…
                “Kenapa dengan anak abah ni?”soal Abah.
                “Bah… kenapa ibu pergi?”
                “Eh, mana ada… mimpi je tu…”Abah sabar melayan kerenah Angah pula.
                Dalam Abah asyik melayan kedua-dua anaknya, Doktor Fikri keluar dari wad. Abah tersentak. Dia bertambah gelabah.
                “Tahniah, bayi perempuan…”
                “Alhamdulillah!!!” lantas Abah bersujud sepenuh hatinya yang dilimpahi rasa syukur.
                “Macam mana dengan isteri saya doktor?”soal Abah lagi.
                “Encik dah boleh melawat dia sekarang… dia masih lagi dalam keadaan lemah…”
---------------
                Abah mengucup bayi perempuannya penuh kasih. Ibu yang masih dalam keadaan lemah sekadar memerhati dengan mata yang agak kuyu.
                “Alhamdulillah, akhirnya kita dikurniakan seorang puteri…”
                “Abang…
                “Bu…”abah mengucup dahi ibu penuh kasih. Rasa bangga terbit dalam jiwanya sebagai suami yang bahagia dengan kehadiran permata dalam keluarga mereka.
                “Abang jagalah anak-anak kita baik-baik ya… ibu dah tak larat dah… ibu penat…”luah ibu dalam nafas yang sedikit tersekat-sekat. Tubuh badannya semakin dingin suhunya. Mukanya pucat. Abah perasan akan perubahan keadaan ibu. Abah berdebar-debar. Mungkinkah ini saatnya?
                “Ibu, kita jaga sama-sama…”kata Abah seakan mengerti keperitan ibu sekarang ini.
                “Maafkan ibu, ampunkan dosa ibu, halalkan makan dan minum ibu… Along, Angah… ibu sayang sangat-sangat dengan anak-anak ibu… nanti, doakan ibu yer…” Along dan Angah sama-sama mendakap ibu kesayangan mereka. Air mata abah tumpah saat itu juga walau cuba ditahan sekian lama.
                “Bu… mengucap bu… Laa ilaa ha illa Allah…” Abah mengajar ibu bersyahadah. Along dan Angah yang memerhati peristiwa itu masih belum mengerti apa-apa.
                Dan, saat kelahiran seorang puteri itu, perginya seorang ibu. Dan puteri itu ialah Aku… Layyinul Harir bt Hafiz Azman.
-------------------
7 tahun kemudian
                Pokok rambutan yang lebat berbuah menarik perhatian kami bertiga. Along dah meliur. Angah tersengih. Aku memerhati penuh lagak. Lagaknya seperti semua tidak sabar menikmati buah rambutan yang masak ranum itu.
                “Along… sedap giler!!!”Angah sudah menampar belakang Along.
                “Merah menyala tuu…”sahutku.
                “Syuhh!! Senyap sikit… kang atuk Nampak buat naya jer!”bisik Along.
                “Apa lagi… jom-jom!”Angah sudah semangat.
                Kami bertiga melakukan ‘projek’ tersebut bersama-sama. Memandangkan aku yang paling kecil, maka akulah yang terpaksa menggunting dahan-dahan di atas pokok. Along yang memang pemalas sekadar menyambut dahan-dahan yang aku lemparkan ke bawah. Angah pula turut serta bersamaku memanjat pokok lalu memetik buah rambutan. Angah terlebih rajin pula. Satu persatu dipetiknya.
                “Angah… menyorok! Atuk dah sampai…” arahku. Aku dan Angah memanjat lebih tinggi supaya atuk tidak perasan. Kasihan Along yang sedang leka mengutip buah rambutan.
                “Along!!! Di sini kau rupanya!!! Aku suruh kau pergi sekolah pondok kau masuk hutan pula ya?!!” muka bengis Atuk menggerunkan Along. Along hampir-hampir terkencing dalam seluar. Perutnya dipulas lalu atuk menyuruh dia pulang dengan basikal.
                Muka Along merah pedam. Dari jauh dia sekadar menjeling kami berdua di atas pokok. Angah menjelir lidah. Along mengisyaratkan penumbuk kepada Angah.
                “Apa kau tunggu lagi Along? Balikkk!!”suara Atuk menyentak perasaan Along.
                ‘Asyik-asyik aku je yang terpaksa berkorban…’ bisik hati Along.
                Aku memerhatikan Along meninggalkan kawasan hutan bersama Atuk. Hmm, kasihan la pula. Memang Alonglah banyak berkorban. Bagi aku, walaupun kawan-kawan Along mengatakan dia seorang yang lembik, namun, sebaliknya bagi aku.  Dialah orang paling sabar, kuat menahan segala hukuman, sanggup membela adik-adiknya.
                “Aku macam rasa bersalah pula ajak Along sekali join kita…”kata Angah.
                “Semua dah jadi…” slumber saja aku menjawab.
                Sejak Abah pergi menyambung pelajarannya ke luar Negara, kami bertiga tinggal sementara dengan Atuk dan Opah. Nak kata sementara tu tak sangatlah… empat tahun lebih kut…
-------------------
                Angah menaiki basikal bersamaku. Angin petang berhembus sepoi-sepoi bahasa. Di kiri dan kanan, semuanya kebun buah-buahan. Jarak ke rumah Atuk tidaklah jauh sangat, lebih kurang lima minit sampailah. Muka Angah serius. Angah kalau bab-bab berbasikal ni memang hati-hati sangat. Nak tahu kenapa? Hehe… sebab dia pernah terjatuh dalam longkang. Kasihan dia, bukan setakat jatuh longkang, siap kena ejek dengan kawan-kawan lagi. Mujurlah ada seorang kakak yang sebaya dengan Angah baik hati tolong Angah.
                Aku tidak berani nak tegur apa-apa buat masa sekarang. Mahu kena marah nanti kacau Angah berbasikal. Pekarangan rumah Atuk berada di depan mata. Angah memberhentikan basikalnya.Diperhatikan kereta yang diletakkan di dalam garaj.
                “Angah… sapa yang datang?” soalku.
                “Entahlah… macam kenal…”jawab Angah acuh tak acuh.
                “Masuk dululah… kita masuk ikut pintu belakang…”kataku.
                Kami meletak basikal di dalam garaj lalu masuk ke dalam rumah melalui pintu belakang. Kelihatan Opah sibuk memasak.
                “Opah!!!” kami berdua menegur dari belakang.
                “Ya Allah! Bertuah punya budak masuk tak bagi salam!! Eee, macam nak ketuk je dengan senduk ni… mana kamu berdua pergi nih? Dari petang sampai nak dekat maghrib Opah cari tak jumpa-jumpa…Geram betul aku dengan kamu berdua ni… risau Opah tau?!” Opah membebel seperti biasa.
                “Lek la, Opah!”kata Angah. Aku sekadar tersenyum.
                “Pandailah kamu nak rilek-rilek… kamu berdua rugi tau… Along balik awal tadi sempat jumpa…”belum habis Opah bercakap.
                “Assalamua’laikum!”suara seorang lelaki yang amat kami rindui menyapa dari pintu dapur.
                “Abah!!!”
                Atuk dan Along pula menyusul Abah.  Atuk tersenyum. Kepala Along diusap-usapnya. Kami berdua mendakap abah penuh erat. Abah dah semakin kurus sekarang ini. Almaklumlah, hidup di perantauan!
                “Tengok adik-adik kau tu…”kata Atuk sambil menggeleng.
                “Terima kasih Atuk…” Along tersengih.
                “Atuk garang ada makna tau… dapatlah kau jemput Abah kat  depan rumah. Bukan macam adik-adik kau tu… orang dah balik lama dah baru nak jumpa…” sindir Atuk.
                “Hmm, apa-apa ajelah, Ayah… yang penting Man dapat juga jumpa anak-anak ni…”kata Abah.
------------------
                Aku duduk termenung di pangkin rumah Atuk. Perbualan abah dengan Atuk dan Opah benar-benar menyentap perasaanku. Aku rasa berat hendak melepaskan kampung ini. Along dan Angah lain pula. Mereka sudah sekian lama merindui rumah lama. Tapi, bagiku, kampung inilah tempatku.
                “Ayah, Man ingat nak bawa budak-budak ni balik rumah kami…”
                “Ayah tak kisah…”kata Atuk.
                “Tapi, mahu ke Adik ke sana? Dia dah duduk sini sejak umur tiga tahun lagi…”kata Opah seakan membantah.
                “Mak tak usah risau, pandai-pandailah Man bagi dia sesuaikan diri nanti. Lagipun, duduk di kampung ni, dia asyik ikut abang-abang dia merayau je…”ujar Abah.
                “Hmmm…”Opah terdiam. Kami bertiga yang asyik mengintai di dalam bilik menghentikan intaian. Along dan Angah sudah melonjak girang. Hanya aku yang diam membatu.
                “Adiiikkk!!!”panggil Abah. Aku tersentak. Lamunanku hilang begitu saja. Ish, kacauline betullah Abah aku ni…
                “Ya ,Abah!!”sahutku.
                “Pergi mandi lekas. Lepas ni kita dah nak balik rumah,”arah Abah.
                Tanpa sedar, sebak hadir dalam diriku. Aku terpaksa akur akan arahan Abah. Along dan Angah sudah lama bersiap. Bersemangat betul dia-orang ni. Opah sedar akan perubahan air mukaku. Dia menghampiriku.
                “Adik, pergilah mandi… Tak usah sedih lagi, nanti hujung minggu boleh balik kampung,kan?”pujuk Opah.
                “Yelah, Opah…”suaraku kendur.
-------------
                Melalui hari yang baru memang menjanggalkanku. Tiada lagi suara kokokan ayam melainkan bunyi jam digital. Tiada lagi air kolah yang sejuk singgah di badan melainkan air shower yang agak suam. Bukan merayau keliling kampung lagi melainkan main di taman permainan yang serba bosan!
                “Adik, apasal kau tetiba jadi baik semacam ni… termenung sakan…” tegur Along menghentikan lamunanku.
                “Boringlah…” rungutku.
                “Ala… PS kan ada… main jelah…”sampuk Angah.
                “Hmm, dah la… Along nak join Angah main PS…”Along beredar meninggalkanku menuju ke tempat Angah bermain Playstation.
                Tinggallah aku keseorangan. Entah kenapa… seolah-olah hidupku di sini bagai tiada makna. Ayah tiada di rumah, pergi bekerja. Kami tiga beradik saja di rumah memandangkan hari ini cuti am.
                Aku melangkah ke dapur. Kulihat banyak bahan mentah dalam peti ais. Namun, yang ada di atas meja sekadar pinggan kosong!
                “Along!!! Laparrr!”jeritku dari dapur.
                “Bisinglah! Tengah hari nanti abah balik la… sabar jelah! Kalau lapar sangat masaklah makanan sendiri!”Along memarahiku kerana mengganggunya  bermain.
                Aku mencebik. Oh, kau ingat aku tak reti buat kerja sendiri, ke? Aku mencapai telur di dalam peti ais. Kuali, pinggan mangkuk, gelas dan cawan di dalam singki aku basuh sebersih mungkin. Kemudian, aku hidupkan api di dapur. Aku masukkan minyak seperti mana aku melihat cara Opah buat dahulu.
                “Long… Biar betul dia nak memasak ni?” bisik Angah yang kerisauan.
                “Biar je kat dia… Budak degil!”gumam Along.
                Akhir sekali, aku ambil secawan beras dan aku bilas sehingga bersih. Aku isi air ke dalam bekas nasi tersebut. Dan, setelah telur siap digoreng, aku sekadar menunggu nasi masak. Beberapa ketika kemudian, siaplah semuanya. Aku ambil kicap dan tuangkan ke atas nasi dan telur.
                “Adik! Kau biar betul?!” Along ternganga melihat aku sedang makan dengan lahap sekali.
                “Adik…” Angah kelu.
                “Along yang kata kalau lapar sangat masak sendiri!” kataku.
                Pinn!!Pinn!! Bunyi Motor abah di luar. Ini bermakna abah sudah balik. Along dan Angah tak senang duduk. Aku segera menghabiskan makananku. Kemudian kami semua membasuh bersama-sama pinggan mangkuk.
                “Assalamua’laikum! Along… bukak pintu ni, Abah dah balik!”Abah mengetuk pintu.
                “Wa’alikumsalam… kejap Abah…” Along membuka pintu.
                “Kenapa lambat buka pintu?” soal abah kehairanan.
                “Ni abah ada beli nasi ayam…” Abah meletakkan topi keledarnya di atas meja makan. Mata abah meliar ke sekeliling dapur.
                “Sejak bila kamu adik beradik ni rajin pulak basuh pinggan? Eh… kenapa bau gas ni?”soal Abah. Abah kea rah dapur masak. Ya Allah, api dapur gas tak padam!
                “Along, Angah, adik!!! Siapa punya kerja niii???!!” Abah berang.
------------------
                Akibat perbuatanku tempoh hari, Abah menghantar aku kembali ke kampung. Along dan Angah pula akan dihantar ke Taska berdekatan.
                “Itulah, mak dah cakap… biar Adik tinggal dekat sini saja… kamu tak nak dengar…”
                “Man tau Man yang salah… sepatutnya Man tak boleh biar diaorang duduk kat rumah macam tu je… hmm, sekarang ni, Man hantar Adik balik sini tapi, mak tengok-tengoklah dia, jangan bagi merayau macam budak lelaki… kalau boleh, mak ajarlah dia hal-hal rumah ni… masak ke, kemas rumah ke, menjahit ke… lagipun, Adik ni senang belajar, sekali tengok dia dah boleh buat dah…”
                “Mak tahulah macam mana nak ajar dia semua benda tu…”
                Dan, mulai hari ini, aku diasuh supaya menjadi seorang budak perempuan yang tidak ganas macam dulu. Dalam hatiku, terdetik juga keinginan melihat orang lain mandi sungai, panjat pokok… Seorang budak perempuan harus mengemas rumah, memasak, menjahit dan segala bagai. Tapi, ilmu agama tak ketinggalan juga. Aku dihantar ke sekolah pondok. Hmm, balik kampong pun dah tak macam dulu lagi…
-------------------
                Aku pulang dari sekolah dengan basikal yang pernah Along guna dahulu. Memori bersama Along dan Angah di kampung bermain-main di minda ini. Aku hanya ada mereka… Aku sudah tak punya seorang ibu… Aku duduk di pangkin sebentar sebelum naik ke rumah Atuk.
                “Adik… bila balik? Kenapa tak masuk rumah lagi?”tegur Opah dari belakang.
                “Saja…”
                “Kenapa termenung ni? Selalu cucu opah tak macam ni…”Opah perasan riak mukaku lain benar hari ini.
                “Opah… kenapa adik tak merasa macam orang lain? Kenapa adik tak ada ibu?”entah mengapa soalan itu timbul. Mataku seakan sudah berkolam.  Opah terdiam seketika.
                “Adik percaya tak pada takdir?”soal Opah.
                “Takdir itu apa, Opah?”soalku, bingung.
                “Takdir itu, apa yang telah ditetapkan kepada kita… Allah dah tetapkan kepada adik begitu, adik kena terima… Setiap takdir pasti ada hikmah…”kata Opah.
                “Hikmah?”soalku, masih kabur. Opah mengelap air mata yang hamper jatuh di kelopak mataku.
                “Hikmah itu sebab… Cuba adik fikir balik… Kenapa adik tak ada ibu? Kenapa adik seorang saja perempuan dalam keluarga adik? Sebab… Adik akan menggantikan tempat ibu adik nanti… Sebab itu sekarang, adik tak boleh main-main macam budak lelaki… Adik kena belajar untuk jaga keluarga adik… Opah faham, adik rindu panjat pokok, adik rindu merayau-rayau… Bukan adik tak boleh buat langsung benda-benda tu, tapi , adik buat semua tu mesti kena ada sebab… tak boleh suka-suka panjat pokok kecuali kalau Opah suruh petik buah ke… tak boleh suka-suka keluar rumah kecuali kalau Opah suruh pergi sekolah ke, pergi kedai ke, pergi mengaji ke…”
                “Jadi… adik bertuah ke, Opah?”soalku, seakan-akan ada sinar baru yang muncul.
                “Ya, adik bertuah kerana adik juga perempuan. Tetapi, adik bukan perempuan biasa… Adik perempuan yang akan menjaga keluarga dan diri adik tanpa mengharapkan seorang ibu…”pesan Opah.
                “Ya, adik juga perempuan. Adik bangga adik jadi perempuan!” kataku penuh semangat.

                “Macam tu la cucu Opah… dah, jom masuk!”ajak Opah.
 MORAL: Kita wanita, Kita Bertuah, Kerana Kita hadir melengkapkan fitrah manusia. Jangan bersedih kerana dirimu dianggap lemah, padahal hatimu lebih teguh berdiri gagah~Cik Mai

Sebuah Warisan

Warisan

Perhatian! Artikel ni cumalah pendapat Cik Mai. Dan, Cik mai tak ada niat pun nak sentuh sensitivity mana-mana pihak, bangsa dan agama, ya?

 
Warisan? Aii, apa yang Cik Mai nak bagitau ni?? Ha, sebenarnya, nak ulas sedikit fasal tanah warisan. Pernah dengar tak satu ayat dalam drama Suraya(Samarinda TV3):
“Kalau kita jual tanah, samalah seperti kita jual Negara kita”
Rasanya, realitinya ada saja kebenarannya. Tadi, semasa singgah sebentar di masjid dalam Pekan Pulau Pangkor. Ada seorang tua ni, umur dia dah 91 tahun tapi masih kuat dan rajin ke masjid. Dia sapa ayah lalu bermulalah perbualan pasal sejarah Pulau Pangkor ini.
“Di Pulau Pangkor ni memang ramai ya, orang cina… sana sini keliling orang cina saja,”ujar ayah.
“Eh, kalau nak tau dulu sikit pun tak ada cina. Satu pulau ni semua melayu. Tapi, makin lama makin ramai yang jual tanah… sebab tu lah sekarang ni orang melayu makin sikit di sini,”terang si tua. Cik Mai yang dengar pun sedikit terlopong.
Adakah kata-kata dalam drama itu satu kebenaran? Cik Mai rasa logik juga.
Pernah juga bersembang dengan adik dorm sebelah. Dia orang India. Keluarganya berkasta tinggi. Nenek saudaranya ada yang tinggal di Calcutta, India. Apa yang menariknya tentang Calcutta?
Ha… nilah yang Cik Mai nak habaq ni. Pemilik tanah di sana tidak boleh jual tanah. Kalau jual jugak akan dikenakan saman atau tindakan undang-undang. Sekiranya terdesak sangat, macam nak jual tanah sebab kena bayar kos rawatan atau pembedahan ke, nak sambung belajar ke, baru boleh jual. Itupun, keluasan tanah yang dibenarkan sangatlah terhad.
Sesekali, terfikir juga. Tindakan undang-undang di tanah India itu sangat logik dan sangat memelihara kedaulatan tanah dan negara tersebut. Tapi, bagaiman pula keadaan di Malaysia? Yang Cik Mai tahu, seperti yang Cikgu Azlina (Cikgu Geografi masa form 2 & form 3) pernah bagitau, tanah di negeri Kelantan hanya dibenarkan dijual kepada orang Melayu berketurunan Kelantan saja.
Sejarah juga membuktikan tanah dan Negara tergadai dengan wang. Sebagaimana Pulau Pinang diserahkan kepada Francis Light dan negeri-negeri lain. Walaupun, hakikatnya untuk menjaga kedaulatan negeri masing-masing. Adakah sejarah akan berulang tetapi dalam bentuk lain pula?
Hmm, Cik Mai ni bukanlah tahu sangat pasal hal-hal hartanah ni, tapi, pada pendapat Cik Mai:
  1. Kita tidak sepatutnya menggadai tanah warisan melainkan bersebab yang kukuh seperti di Calcutta, India.
  2. Kalau kita nak jual pun, jual kepada orang yang seagama atau sebangsa dengan kita.
  3. Lebih elok kita wakafkan saja tanah untuk bina masjid, rumah anak yatim ke… kalau kita rasa kita tak mampu nak jaga tanah atau memang kita tak mahukan tanah tu lagi. Sekurang-kurangnya, dapat juga pahala berbanding gadaikan masa depan tanah tersebut, kan?
Hmm, rasanya setakat itu saja kot nak berkongsi.
Semoga bermanfaat- Cik Mai

Ilmu oh Ilmu

Salam wbt, 
alhamdulillah, semasa dalam bermusafir ketika ini, datang pula ilham hendak menulis. Ambillah apa yang baik dan tinggalkan apa yang bkurang atau buruk.


Kepentingan Ilmu: Akibat tidak tahu mengabaikan yang tahu
Kadangkala, kita mengetahui sesuatu perkara, malangnya, kita juga mengabaikannya? Bagaimana hal ini boleh berlaku? Adakah kerana sesuatu yang kita tidak tahu?
Sebagai contoh, ketika kita sedang dalam perjalanan atau bermusafir. Kita tahu, meninggalkan solat satu dosa yang berat. Malangnya,sepanjang perjalanan itu, kita tidak dapat berhenti untuk solat sehingga tamat waktu solat tersebut. Dalam masa yang sama, kita tidak tahu untuk menjamakkan solat lantas kita mengambil jalan mudah untuk meninggalkannya. Inilah situasi apabila kita kurang ilmu dalam beribadat. Oleh itu, pelajarilah ilmu feqah agar kita dapat menyempurnakan ibadat kita.

Ilmu tanpa amal mengakibatkan pengabaian tanggungjawab
Dari sudut lain pula, kita tahu najis akan menghalang kita dalam menunaikan solat. Bagi kaum lelaki, mungkin ada yang kencing berdiri. Kemudian, apabila berada dalam kapal terbang, ketika hendak menunaikan solat, baru teringat keadaan diri yang tidak bersih. Lalu, semudah itu saja meninggalkan solat. Inilah akibatnya apabila ilmu yang diketahui tidak diamalkan. Sepatutnya, apabila sudah mengetahui hal tersebut akan menghalang untuk bersolat, hindarilah dari awal. Atau, sediakan kain atau seluar yang ebrsih agar memudahkan untuk menunaikan solat. Bukankah mudah mengamalkan ilmu?

Kesimpulan
Dalam setiap perkara, terutamanya yang melibatkan fardhu ain perlu dititikberatkan. Ilmu tidak patut dipandang mudah kerana akibatnya sangat parah kepada kita.Tidak hairanlah jika kita dituntut supaya menuntut ilmu dan mengamalkannya. Renungilah kalimah ini:
 Ilmu tanpa amal: gila.
 Amal tanpa ilmu: sia-sia
 (Imam Al-Ghazali)
Semoga bermanfaat. Segala kekurangan adalah daripada saya sendiri. Dan ilham kebaikan hanya daripada Dia. 

Memahami kerana menyayangi

a
Orang yang sayang kita ialah orang yang faham kita.


Kadangkala, kita rasa sayang itu apabila orang itu bagi macam-macam hadiah kepada kita, kan? Tak pun, orang tu selalu gembirakan kita… ataupun orang tu selalu cakap dia sayang kat kita…
Tapi, kita selalu tak perasan orang yang faham kita, yang sanggup dengar keluh kesah kita, yang selalu kita cari untuk meluahkan perasaan, pendengar yang setia itu ialah orang yang sayang kita. Dia orang ni boleh diibaratkan sebagai sayang dalam diam. Malah, tanpa kita perasan pun, dia orang banyak berkorban untuk kita…
Kadangkala, orang yang mengaku sayang tu tak faham pun perasaan kita. Dia orang lebih mementingkan perasaan dia orang tanpa memahami keadaan dan perasaan kita, kan? Sampailah satu saat, kita rasa rimas dengan dia… Kita rasa macam seolah-olah kita dipaksa untuk membalas perasaan dia orang, kan? Sampailah kita rasa macam geram, lalu terbitlah benci…
Antara dua situasi tersebut, pernah tak kita alaminya? Pernah tak kita perasan akan kehadiran orang memahami kita?
Antara dua insan tadi, rasa-rasanya kita orang yang mana? Mungkin, selama ini, kita salah tanggapan bahawa jika kita sayang seseorang tu, kita mesti selalu bagi hadiah, cakap sayang, selalu telefon , kita tak akan senang duduk dalam sehari kalau tak teringatkan dia… kita risau sangat pada dia sampai kita marahkan dia. Kita mungkin rasa marah kita ini tanda sayang, tapi, dia orang? ya, memang tak salah untuk buat macam tu… tapi, ingatlah bahawa kita tak boleh melampaui batas. Pernah tak dengar satu hadith nabi SAW ni?
Sabda Nabi SAW,
Cintailah apa yang kamu cintai sekadarnya saja, boleh jadi apa yang kamu cintai itu menjadi sesuatu yang paling kamu benci pada suatu hari nanti. Bencilah Sesuatu yang yang kamu benci sekadarnya saja, boleh jadi ia akan menjadi sesuatu yang paling kamu sukai pada suatu hari nanti.”  

(HR. Tirmidzi)
Kita sebagai seorang sahabat, seorang kakak, seorang abang, seorang ayah atau seorang ibu, seharusnya sedar bahawa menyayangi tidak semestinya menzahirkan rasa sayang kita dengan cara seolah-olah mendesak orang yang disayangi untuk turut sama merasai perasaan yang sama. Memang ya, kita perlu mengambil berat, menggembirakan hati mereka, tetapi, ada kalanya, kita perlu menzahirkan rasa sayang kita dengan memahami keadaan dan perasaan mereka. Dengan cara ini, insyaAllah, kita dapat mengelakkan perkara yang dinyatakan seperti dalam hadith di atas. InsyaAllah, persahabatan dapat dipelihara, hubungan adik-beradik semakin erat dan anak-anak tidak akan menjadi anak-anak yang derhaka.
Jadi, marilah kita sama-sama menjadi orang yang memahami jika kita orang yang menyayangi.  Tetapi, dalam kita berkasih sayang, jangan lupa kepada Dia yang mengurniakan rasa sayang itu, kerana perasaan itu datang daripadaNya, kerana segala-galanya adalah milikNya, kita hanya meminjam sahaja.

Cinta yang sejati hanya cintakan Ilahi
Cinta ayah bonda tulus suci selamanya

Cintakan saudara masa berada hanya sementara
Cinta sesama insan suburkan dengan ketakwaan 
-Nasyid: Kerana Cinta

Sahabat & Kawan

Kawan itu buih,
Sahabat itu tapak kaki?
Lawakkan dengar ayat ni?
Korang tahu maksudnya?

Kawan itu umpama buih, kerna ia datang di hadapan kita, namun, dia, sekadar kawan... hanya terlintas di hati kita... tapi tidak meninggalkan jejak pun...

Sahabat itu tapak hati( bukan kaki sebenarnya )...
ia bukan sekadar singgah, tapi ia datang, bersama kita, dan saatnya telah pergi pun, di hati kita terukir jejak 'tapak hati' seorang sahabat....

Mungkin falsafahku ini pelik, tapi, itulah hakikatnya...

Seorang sahabat itu bukanlah dari kalangan keluarga kita sendiri, tetapi, kita yang menjadikannya keluarga kita, kerana dia sebahagian daripada hidup kita...

Sebaik-baik sahabat ialah sahabat yang mendoakan kita tanpa pengetahuan kita...
Sebaik-baik sahabat ialah sahabat yang bersama kita tika susahnya kita... kadangkala, saat kita bahagia... dia tiada bersama... kemungkinan itu benar bukan?

Kata orang, petiklah bunga yang cantik di hadapan mata kita dan jangan mengharap bunga yang lebih cantik jauh di depan sana, dan jangan toleh bunga di belakang...(maaf, korang faham ke ayat ni? kalau tak faham buat-buat fahamlah ek?)  

Maksudnya, mungkin bunga yang di belakang lebih cantik... tapi, bunga tersebut sudah hadir tapi kita tidak menghargainya...mengenangkannya hanya membuatkan kita kesal dan kecewa... itu kerugian kita kerana tidak menghargainya....

Bunga di hadapan mata kita, itulah insan yang bersama kita sat ini, justeru sayangilah dia dan hargailah...kerna mungkin ia akan layu sebentar lagi!

Mengharap bunga yang jauh di depan sana yang mungkin lebih baik ialah sikap tidak bersyukur kita dengan kehadiran setiap insan di hadapan mata kita... awas, jangan ulangi kekesalan kita pada bunga di belakang...

Begitulah sahabat...
dahulu mungkin kita tak perasan akan sahabat yang pernah hadir dalam hidup kita...kita kadangkala tak hairan pun...tapi, pabila dia sudah pergi, dia tinggalkan jejaknya di hati kita...

Begitulah sahabat,
harus dihargai di hadapan mata kita...
sementara dia masih ada bersama...

Jadilah sahabat yang baik...hargainya dan sayangilah dia seperti mana dia menyayangimu...
Sekian saja falsafahku yang agak merapu ini....-Cik Mai-

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...