BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, November 29, 2011

Aku Juga Wanita

Aku Juga Wanita
Oleh Maisarah Mohamed Pauzi
Abah meredakan keresahannya sementara menunggu ibu di dalam wad yang sedang bertarung nyawa. Al-Quran poketnya dibelek sehingga ke muka surat yang ingin disambung bacaannya. Surah Ar-Rahman. Astaghfirullah… baru dia tersedar sudah lama dia menghentikan bacaannya sejak dia bekerja di luar daerah bulan lepas. Mujurlah dia pulang awal, sempat menjaga ibu sebelum selamat melahirkan anak.
                Abah membaca dengan suara yang perlahan. Along dan Angah sudah lama terlena di sebelah abah. Dalam kerisauan, tahap kesedarannya semakin tenggelam kala malam sudah larut. Tanpa sedar, abah terlena dalam keadaan mendakap Al-Quran.
-----------
                “Abah!! Along lapar ni… bangunlah!”Along merengek.  Wad yang lengang itu hanya diisi dengan rengekan Along.
                “Hmm… jap… jap… abah pergi toilet dulu…” Abah merengangkan badannya. Jam tangan dikerling sekilas… ‘baru pukul 5 pagi… haih… awal pulak Si Along ni bangun… Eh, sekejap! Bukan sekarang ni aku kat hospital ke? Astaghfirullah…’ bisik hati abah.
                “Abah…”Angah pula terbangun. Matanya berkaca… Along dan Abah hairan…
                “Kenapa dengan anak abah ni?”soal Abah.
                “Bah… kenapa ibu pergi?”
                “Eh, mana ada… mimpi je tu…”Abah sabar melayan kerenah Angah pula.
                Dalam Abah asyik melayan kedua-dua anaknya, Doktor Fikri keluar dari wad. Abah tersentak. Dia bertambah gelabah.
                “Tahniah, bayi perempuan…”
                “Alhamdulillah!!!” lantas Abah bersujud sepenuh hatinya yang dilimpahi rasa syukur.
                “Macam mana dengan isteri saya doktor?”soal Abah lagi.
                “Encik dah boleh melawat dia sekarang… dia masih lagi dalam keadaan lemah…”
---------------
                Abah mengucup bayi perempuannya penuh kasih. Ibu yang masih dalam keadaan lemah sekadar memerhati dengan mata yang agak kuyu.
                “Alhamdulillah, akhirnya kita dikurniakan seorang puteri…”
                “Abang…
                “Bu…”abah mengucup dahi ibu penuh kasih. Rasa bangga terbit dalam jiwanya sebagai suami yang bahagia dengan kehadiran permata dalam keluarga mereka.
                “Abang jagalah anak-anak kita baik-baik ya… ibu dah tak larat dah… ibu penat…”luah ibu dalam nafas yang sedikit tersekat-sekat. Tubuh badannya semakin dingin suhunya. Mukanya pucat. Abah perasan akan perubahan keadaan ibu. Abah berdebar-debar. Mungkinkah ini saatnya?
                “Ibu, kita jaga sama-sama…”kata Abah seakan mengerti keperitan ibu sekarang ini.
                “Maafkan ibu, ampunkan dosa ibu, halalkan makan dan minum ibu… Along, Angah… ibu sayang sangat-sangat dengan anak-anak ibu… nanti, doakan ibu yer…” Along dan Angah sama-sama mendakap ibu kesayangan mereka. Air mata abah tumpah saat itu juga walau cuba ditahan sekian lama.
                “Bu… mengucap bu… Laa ilaa ha illa Allah…” Abah mengajar ibu bersyahadah. Along dan Angah yang memerhati peristiwa itu masih belum mengerti apa-apa.
                Dan, saat kelahiran seorang puteri itu, perginya seorang ibu. Dan puteri itu ialah Aku… Layyinul Harir bt Hafiz Azman.
-------------------
7 tahun kemudian
                Pokok rambutan yang lebat berbuah menarik perhatian kami bertiga. Along dah meliur. Angah tersengih. Aku memerhati penuh lagak. Lagaknya seperti semua tidak sabar menikmati buah rambutan yang masak ranum itu.
                “Along… sedap giler!!!”Angah sudah menampar belakang Along.
                “Merah menyala tuu…”sahutku.
                “Syuhh!! Senyap sikit… kang atuk Nampak buat naya jer!”bisik Along.
                “Apa lagi… jom-jom!”Angah sudah semangat.
                Kami bertiga melakukan ‘projek’ tersebut bersama-sama. Memandangkan aku yang paling kecil, maka akulah yang terpaksa menggunting dahan-dahan di atas pokok. Along yang memang pemalas sekadar menyambut dahan-dahan yang aku lemparkan ke bawah. Angah pula turut serta bersamaku memanjat pokok lalu memetik buah rambutan. Angah terlebih rajin pula. Satu persatu dipetiknya.
                “Angah… menyorok! Atuk dah sampai…” arahku. Aku dan Angah memanjat lebih tinggi supaya atuk tidak perasan. Kasihan Along yang sedang leka mengutip buah rambutan.
                “Along!!! Di sini kau rupanya!!! Aku suruh kau pergi sekolah pondok kau masuk hutan pula ya?!!” muka bengis Atuk menggerunkan Along. Along hampir-hampir terkencing dalam seluar. Perutnya dipulas lalu atuk menyuruh dia pulang dengan basikal.
                Muka Along merah pedam. Dari jauh dia sekadar menjeling kami berdua di atas pokok. Angah menjelir lidah. Along mengisyaratkan penumbuk kepada Angah.
                “Apa kau tunggu lagi Along? Balikkk!!”suara Atuk menyentak perasaan Along.
                ‘Asyik-asyik aku je yang terpaksa berkorban…’ bisik hati Along.
                Aku memerhatikan Along meninggalkan kawasan hutan bersama Atuk. Hmm, kasihan la pula. Memang Alonglah banyak berkorban. Bagi aku, walaupun kawan-kawan Along mengatakan dia seorang yang lembik, namun, sebaliknya bagi aku.  Dialah orang paling sabar, kuat menahan segala hukuman, sanggup membela adik-adiknya.
                “Aku macam rasa bersalah pula ajak Along sekali join kita…”kata Angah.
                “Semua dah jadi…” slumber saja aku menjawab.
                Sejak Abah pergi menyambung pelajarannya ke luar Negara, kami bertiga tinggal sementara dengan Atuk dan Opah. Nak kata sementara tu tak sangatlah… empat tahun lebih kut…
-------------------
                Angah menaiki basikal bersamaku. Angin petang berhembus sepoi-sepoi bahasa. Di kiri dan kanan, semuanya kebun buah-buahan. Jarak ke rumah Atuk tidaklah jauh sangat, lebih kurang lima minit sampailah. Muka Angah serius. Angah kalau bab-bab berbasikal ni memang hati-hati sangat. Nak tahu kenapa? Hehe… sebab dia pernah terjatuh dalam longkang. Kasihan dia, bukan setakat jatuh longkang, siap kena ejek dengan kawan-kawan lagi. Mujurlah ada seorang kakak yang sebaya dengan Angah baik hati tolong Angah.
                Aku tidak berani nak tegur apa-apa buat masa sekarang. Mahu kena marah nanti kacau Angah berbasikal. Pekarangan rumah Atuk berada di depan mata. Angah memberhentikan basikalnya.Diperhatikan kereta yang diletakkan di dalam garaj.
                “Angah… sapa yang datang?” soalku.
                “Entahlah… macam kenal…”jawab Angah acuh tak acuh.
                “Masuk dululah… kita masuk ikut pintu belakang…”kataku.
                Kami meletak basikal di dalam garaj lalu masuk ke dalam rumah melalui pintu belakang. Kelihatan Opah sibuk memasak.
                “Opah!!!” kami berdua menegur dari belakang.
                “Ya Allah! Bertuah punya budak masuk tak bagi salam!! Eee, macam nak ketuk je dengan senduk ni… mana kamu berdua pergi nih? Dari petang sampai nak dekat maghrib Opah cari tak jumpa-jumpa…Geram betul aku dengan kamu berdua ni… risau Opah tau?!” Opah membebel seperti biasa.
                “Lek la, Opah!”kata Angah. Aku sekadar tersenyum.
                “Pandailah kamu nak rilek-rilek… kamu berdua rugi tau… Along balik awal tadi sempat jumpa…”belum habis Opah bercakap.
                “Assalamua’laikum!”suara seorang lelaki yang amat kami rindui menyapa dari pintu dapur.
                “Abah!!!”
                Atuk dan Along pula menyusul Abah.  Atuk tersenyum. Kepala Along diusap-usapnya. Kami berdua mendakap abah penuh erat. Abah dah semakin kurus sekarang ini. Almaklumlah, hidup di perantauan!
                “Tengok adik-adik kau tu…”kata Atuk sambil menggeleng.
                “Terima kasih Atuk…” Along tersengih.
                “Atuk garang ada makna tau… dapatlah kau jemput Abah kat  depan rumah. Bukan macam adik-adik kau tu… orang dah balik lama dah baru nak jumpa…” sindir Atuk.
                “Hmm, apa-apa ajelah, Ayah… yang penting Man dapat juga jumpa anak-anak ni…”kata Abah.
------------------
                Aku duduk termenung di pangkin rumah Atuk. Perbualan abah dengan Atuk dan Opah benar-benar menyentap perasaanku. Aku rasa berat hendak melepaskan kampung ini. Along dan Angah lain pula. Mereka sudah sekian lama merindui rumah lama. Tapi, bagiku, kampung inilah tempatku.
                “Ayah, Man ingat nak bawa budak-budak ni balik rumah kami…”
                “Ayah tak kisah…”kata Atuk.
                “Tapi, mahu ke Adik ke sana? Dia dah duduk sini sejak umur tiga tahun lagi…”kata Opah seakan membantah.
                “Mak tak usah risau, pandai-pandailah Man bagi dia sesuaikan diri nanti. Lagipun, duduk di kampung ni, dia asyik ikut abang-abang dia merayau je…”ujar Abah.
                “Hmmm…”Opah terdiam. Kami bertiga yang asyik mengintai di dalam bilik menghentikan intaian. Along dan Angah sudah melonjak girang. Hanya aku yang diam membatu.
                “Adiiikkk!!!”panggil Abah. Aku tersentak. Lamunanku hilang begitu saja. Ish, kacauline betullah Abah aku ni…
                “Ya ,Abah!!”sahutku.
                “Pergi mandi lekas. Lepas ni kita dah nak balik rumah,”arah Abah.
                Tanpa sedar, sebak hadir dalam diriku. Aku terpaksa akur akan arahan Abah. Along dan Angah sudah lama bersiap. Bersemangat betul dia-orang ni. Opah sedar akan perubahan air mukaku. Dia menghampiriku.
                “Adik, pergilah mandi… Tak usah sedih lagi, nanti hujung minggu boleh balik kampung,kan?”pujuk Opah.
                “Yelah, Opah…”suaraku kendur.
-------------
                Melalui hari yang baru memang menjanggalkanku. Tiada lagi suara kokokan ayam melainkan bunyi jam digital. Tiada lagi air kolah yang sejuk singgah di badan melainkan air shower yang agak suam. Bukan merayau keliling kampung lagi melainkan main di taman permainan yang serba bosan!
                “Adik, apasal kau tetiba jadi baik semacam ni… termenung sakan…” tegur Along menghentikan lamunanku.
                “Boringlah…” rungutku.
                “Ala… PS kan ada… main jelah…”sampuk Angah.
                “Hmm, dah la… Along nak join Angah main PS…”Along beredar meninggalkanku menuju ke tempat Angah bermain Playstation.
                Tinggallah aku keseorangan. Entah kenapa… seolah-olah hidupku di sini bagai tiada makna. Ayah tiada di rumah, pergi bekerja. Kami tiga beradik saja di rumah memandangkan hari ini cuti am.
                Aku melangkah ke dapur. Kulihat banyak bahan mentah dalam peti ais. Namun, yang ada di atas meja sekadar pinggan kosong!
                “Along!!! Laparrr!”jeritku dari dapur.
                “Bisinglah! Tengah hari nanti abah balik la… sabar jelah! Kalau lapar sangat masaklah makanan sendiri!”Along memarahiku kerana mengganggunya  bermain.
                Aku mencebik. Oh, kau ingat aku tak reti buat kerja sendiri, ke? Aku mencapai telur di dalam peti ais. Kuali, pinggan mangkuk, gelas dan cawan di dalam singki aku basuh sebersih mungkin. Kemudian, aku hidupkan api di dapur. Aku masukkan minyak seperti mana aku melihat cara Opah buat dahulu.
                “Long… Biar betul dia nak memasak ni?” bisik Angah yang kerisauan.
                “Biar je kat dia… Budak degil!”gumam Along.
                Akhir sekali, aku ambil secawan beras dan aku bilas sehingga bersih. Aku isi air ke dalam bekas nasi tersebut. Dan, setelah telur siap digoreng, aku sekadar menunggu nasi masak. Beberapa ketika kemudian, siaplah semuanya. Aku ambil kicap dan tuangkan ke atas nasi dan telur.
                “Adik! Kau biar betul?!” Along ternganga melihat aku sedang makan dengan lahap sekali.
                “Adik…” Angah kelu.
                “Along yang kata kalau lapar sangat masak sendiri!” kataku.
                Pinn!!Pinn!! Bunyi Motor abah di luar. Ini bermakna abah sudah balik. Along dan Angah tak senang duduk. Aku segera menghabiskan makananku. Kemudian kami semua membasuh bersama-sama pinggan mangkuk.
                “Assalamua’laikum! Along… bukak pintu ni, Abah dah balik!”Abah mengetuk pintu.
                “Wa’alikumsalam… kejap Abah…” Along membuka pintu.
                “Kenapa lambat buka pintu?” soal abah kehairanan.
                “Ni abah ada beli nasi ayam…” Abah meletakkan topi keledarnya di atas meja makan. Mata abah meliar ke sekeliling dapur.
                “Sejak bila kamu adik beradik ni rajin pulak basuh pinggan? Eh… kenapa bau gas ni?”soal Abah. Abah kea rah dapur masak. Ya Allah, api dapur gas tak padam!
                “Along, Angah, adik!!! Siapa punya kerja niii???!!” Abah berang.
------------------
                Akibat perbuatanku tempoh hari, Abah menghantar aku kembali ke kampung. Along dan Angah pula akan dihantar ke Taska berdekatan.
                “Itulah, mak dah cakap… biar Adik tinggal dekat sini saja… kamu tak nak dengar…”
                “Man tau Man yang salah… sepatutnya Man tak boleh biar diaorang duduk kat rumah macam tu je… hmm, sekarang ni, Man hantar Adik balik sini tapi, mak tengok-tengoklah dia, jangan bagi merayau macam budak lelaki… kalau boleh, mak ajarlah dia hal-hal rumah ni… masak ke, kemas rumah ke, menjahit ke… lagipun, Adik ni senang belajar, sekali tengok dia dah boleh buat dah…”
                “Mak tahulah macam mana nak ajar dia semua benda tu…”
                Dan, mulai hari ini, aku diasuh supaya menjadi seorang budak perempuan yang tidak ganas macam dulu. Dalam hatiku, terdetik juga keinginan melihat orang lain mandi sungai, panjat pokok… Seorang budak perempuan harus mengemas rumah, memasak, menjahit dan segala bagai. Tapi, ilmu agama tak ketinggalan juga. Aku dihantar ke sekolah pondok. Hmm, balik kampong pun dah tak macam dulu lagi…
-------------------
                Aku pulang dari sekolah dengan basikal yang pernah Along guna dahulu. Memori bersama Along dan Angah di kampung bermain-main di minda ini. Aku hanya ada mereka… Aku sudah tak punya seorang ibu… Aku duduk di pangkin sebentar sebelum naik ke rumah Atuk.
                “Adik… bila balik? Kenapa tak masuk rumah lagi?”tegur Opah dari belakang.
                “Saja…”
                “Kenapa termenung ni? Selalu cucu opah tak macam ni…”Opah perasan riak mukaku lain benar hari ini.
                “Opah… kenapa adik tak merasa macam orang lain? Kenapa adik tak ada ibu?”entah mengapa soalan itu timbul. Mataku seakan sudah berkolam.  Opah terdiam seketika.
                “Adik percaya tak pada takdir?”soal Opah.
                “Takdir itu apa, Opah?”soalku, bingung.
                “Takdir itu, apa yang telah ditetapkan kepada kita… Allah dah tetapkan kepada adik begitu, adik kena terima… Setiap takdir pasti ada hikmah…”kata Opah.
                “Hikmah?”soalku, masih kabur. Opah mengelap air mata yang hamper jatuh di kelopak mataku.
                “Hikmah itu sebab… Cuba adik fikir balik… Kenapa adik tak ada ibu? Kenapa adik seorang saja perempuan dalam keluarga adik? Sebab… Adik akan menggantikan tempat ibu adik nanti… Sebab itu sekarang, adik tak boleh main-main macam budak lelaki… Adik kena belajar untuk jaga keluarga adik… Opah faham, adik rindu panjat pokok, adik rindu merayau-rayau… Bukan adik tak boleh buat langsung benda-benda tu, tapi , adik buat semua tu mesti kena ada sebab… tak boleh suka-suka panjat pokok kecuali kalau Opah suruh petik buah ke… tak boleh suka-suka keluar rumah kecuali kalau Opah suruh pergi sekolah ke, pergi kedai ke, pergi mengaji ke…”
                “Jadi… adik bertuah ke, Opah?”soalku, seakan-akan ada sinar baru yang muncul.
                “Ya, adik bertuah kerana adik juga perempuan. Tetapi, adik bukan perempuan biasa… Adik perempuan yang akan menjaga keluarga dan diri adik tanpa mengharapkan seorang ibu…”pesan Opah.
                “Ya, adik juga perempuan. Adik bangga adik jadi perempuan!” kataku penuh semangat.

                “Macam tu la cucu Opah… dah, jom masuk!”ajak Opah.
 MORAL: Kita wanita, Kita Bertuah, Kerana Kita hadir melengkapkan fitrah manusia. Jangan bersedih kerana dirimu dianggap lemah, padahal hatimu lebih teguh berdiri gagah~Cik Mai

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...