BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, August 9, 2015

Cerpen: Lepaskanlah!

Cerpen: Lepaskan
                “Hello, assalamualaikum! Ni puan Zahra, isteri Ayub ke?” aku memulakan salam selepas talian dijawab. Rasa geram masih ada dalam hati ini. Tadi, aku hampir-hampir saja nak buat laporan polis. Entah kenapa fikiranku berubah. Argh!
                “Waalaikumsalam, ye saya… Nak order kuih raya ke?”
                “Tak, saya bukan nak order kuih raya. Saya nak bagitau puan pasal suami puan ni. Puan tau tak suami puan dah tipu mak saya?!”  Nadaku meninggi.
                “Sabar dulu cik… Saya tak faham ni. Apa suami saya dah buat?” suaranya ada sedikit getar.
                “Macam mana saya nak sabar? Suami puan dah tipu duit mak saya sampai sepuluh ribu. Duit ni bukan senang tau mak saya nak dapat. Penat lelah mak saya menabung dari muda sampai ke tua semata-mata nak pergi Mekah. Saya call suami puan berkali-kali dai tak angkat! Nasib baik saya ada kawan yang bagi nombor puan ni. Kalau tak…” aku belum sempat habis membebel lagi dah kedengaran esak tangis si Zahra ini.
                Errm, aku terdiam. Tiba-tiba aku rasa bersalah kerana memarahi orang yang tak bersalah. Sepatutnya aku telefon Zahra untuk cari si Ayub penipu saja.
                “Cik… Saya betul-betul minta maaf. Saya sendiri pun tak sangka suami saya boleh menipu orang lain sampai macam itu sekali. Lagipun dah lama suami saya tak balik rumah. Jadi saya tak tahu apa-apa…” sebak.
                “Macam inilah puan… Kita berjumpa malam ni selepas buka puasa kat Sunway. Sampai sana nanti saya mesej puan. Senang sikit bila kita jumpa depan-depan.” Aku member kata putus.
                Mak pun satu hal. Tak sabar-sabar nak pergi Mekah. Mungkin salah aku juga selalu bertangguh nak carikan pakej Haji untuk dia. Aku tak nak mak pergi haji dengan muasasah. Jadi, alang-alang Ayub dah datang rumah dan promote macam-macam pakej, mak pun percaya bulat-bulat dengan promosi itu. Selepas mak dah bayar sampai sepuluh ribu, senyap saja si Ayub ni. Kemudian barulah mak beritahu aku pasal hal ini. Mula-mulanya aku rasa nak marah Mak! Tapi, bila difikirkan balik… semuanya berpunca daripada aku juga.
------------
                “Tolonglah jangan report polis, cik! Kalau Ayub kena tangkap, macam mana dengan anak-anak kami?” Zahra merayu.
                “Puan patut bersyukur saya tak report polis lagi ni. Sekarang, macam mana?” aku memandang tajam terhadapnya. Aku tak mahu termakan simpati! Sedangkan si Ayub tergamak tipu mak aku, takkan aku nak biarkan saja?
                “Saya akan usahakan untuk ganti balik duit tu…”
                “Puan cakap Ayub dah lama tak balik rumah, kan? Macam mana puan nak minta balik duit tu dari Ayub?”
                “Buat masa ni, saya akan usahakan dulu… Nanti kalau Ayub dah balik saya akan pujuk dia…”
                “Puan, maaflah kalau saya ni macam menyibuk hal rumah tangga puan. Sebenarnya puan tau tak Ayub kerja apa?”
                “Sebenarnya, dia tak ada kerja tetap. Balik rumah pun jarang-jarang. Sebab itu saya cari duit sendiri, berniaga kuih raya macam sekarang ini. Kalau saya tak berniaga, macam mana saya nak sara empat orang anak saya?”
                “Ayub tak bagi nafkah ke?” jahatnya soalan aku. Tapi, lantaklah! Aku nak korek juga perangai Ayub ni!
                “Kalau ada duit, dia bagilah…”
                “Hmm… kenapa puan tak bercerai saja dengan Ayub tu?”
                “Saya kesiankan anak-anak saya,” jawapan yang aku dah agak dah. Jawapan cliché kenapa ibu-ibu seperti Zahra ini enggan bercerai.
                “Sekali lagi, saya minta maaf. Saya simpati dengan nasib puan. Tapi, puan… itu bukan alasan untuk puan seksa diri sendiri dengan lelaki macam Ayub! Dia sendiri jarang balik rumah, dia sendiri abaikan keluarga. Suap pula dengan duit yang entah halal atau tidak. Sekarang ini, dia menyorok dekat mana pon puan tak tau. Puan pula yang kena tanggung semua salah dia. Puan, saya bukan nak menghasut tau. Tapi, ini hakikat yang puan kena sedar. Bercerai atau tidak, anak-anak puan dah pun terabai!”
                “Cik, sudahlah! Duit cik saya boleh ganti, tapi jangan menghina suami saya sampai macam ni sekali!” Zahra meninggikan suara bersama air matanya yang laju mengalir. Lalu, dia meminta diri.
                Ah, kenapa cinta selalu membutakan mata seorang wanita?
-------------- 
                Hari ini, mak dah selamat tiba di Mekah. Zahra dah bayar sepenuhnya duit mak aku yang ditipu oleh suaminya. Katanya, dia dah jual tanah pusaka untuk bayar balik duit mak aku. Entahlah, aku bukan nak berlaku zalim pada Zahra. Tapi, adakah aku zalim??
                Tidak! Ayub yang zalim dalam hal ini! Aku simpati dengan nasib Zahra. Tapi, kalau dia sendiri yang membiarkan dirinya dizalimi, apa aku boleh buat?
                Zahra… Nama aku juga Zahra. Kami berkongsi nama yang sama, tapi, aku harap aku tak buta seperti dia. Kalaulah aku di tempatnya, aku biarkan saja Ayub dipenjarakan. Kalaulah aku di tempatnya, dah lama aku bercerai dengan Ayub. Tuhan, sesungguhnya Engkau tidak mencipatkan cinta untuk membinasakan tapi manusia itu sendiri yang berTuhankan cinta yang menyeksa mereka!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...