Cerpen: Lepaskan
“Hello,
assalamualaikum! Ni puan Zahra, isteri Ayub ke?” aku memulakan salam selepas
talian dijawab. Rasa geram masih ada dalam hati ini. Tadi, aku hampir-hampir
saja nak buat laporan polis. Entah kenapa fikiranku berubah. Argh!
“Waalaikumsalam,
ye saya… Nak order kuih raya ke?”
“Tak,
saya bukan nak order kuih raya. Saya nak bagitau puan pasal suami puan ni. Puan
tau tak suami puan dah tipu mak saya?!”
Nadaku meninggi.
“Sabar
dulu cik… Saya tak faham ni. Apa suami saya dah buat?” suaranya ada sedikit
getar.
“Macam
mana saya nak sabar? Suami puan dah tipu duit mak saya sampai sepuluh ribu.
Duit ni bukan senang tau mak saya nak dapat. Penat lelah mak saya menabung dari
muda sampai ke tua semata-mata nak pergi Mekah. Saya call suami puan
berkali-kali dai tak angkat! Nasib baik saya ada kawan yang bagi nombor puan
ni. Kalau tak…” aku belum sempat habis membebel lagi dah kedengaran esak tangis
si Zahra ini.
Errm,
aku terdiam. Tiba-tiba aku rasa bersalah kerana memarahi orang yang tak
bersalah. Sepatutnya aku telefon Zahra untuk cari si Ayub penipu saja.
“Cik…
Saya betul-betul minta maaf. Saya sendiri pun tak sangka suami saya boleh
menipu orang lain sampai macam itu sekali. Lagipun dah lama suami saya tak
balik rumah. Jadi saya tak tahu apa-apa…” sebak.
“Macam
inilah puan… Kita berjumpa malam ni selepas buka puasa kat Sunway. Sampai sana
nanti saya mesej puan. Senang sikit bila kita jumpa depan-depan.” Aku member kata
putus.
Mak pun
satu hal. Tak sabar-sabar nak pergi Mekah. Mungkin salah aku juga selalu
bertangguh nak carikan pakej Haji untuk dia. Aku tak nak mak pergi haji dengan
muasasah. Jadi, alang-alang Ayub dah datang rumah dan promote macam-macam pakej,
mak pun percaya bulat-bulat dengan promosi itu. Selepas mak dah bayar sampai
sepuluh ribu, senyap saja si Ayub ni. Kemudian barulah mak beritahu aku pasal
hal ini. Mula-mulanya aku rasa nak marah Mak! Tapi, bila difikirkan balik…
semuanya berpunca daripada aku juga.
------------
“Tolonglah
jangan report polis, cik! Kalau Ayub kena tangkap, macam mana dengan anak-anak
kami?” Zahra merayu.
“Puan
patut bersyukur saya tak report polis lagi ni. Sekarang, macam mana?” aku memandang
tajam terhadapnya. Aku tak mahu termakan simpati! Sedangkan si Ayub tergamak
tipu mak aku, takkan aku nak biarkan saja?
“Saya
akan usahakan untuk ganti balik duit tu…”
“Puan
cakap Ayub dah lama tak balik rumah, kan? Macam mana puan nak minta balik duit
tu dari Ayub?”
“Buat
masa ni, saya akan usahakan dulu… Nanti kalau Ayub dah balik saya akan pujuk
dia…”
“Puan,
maaflah kalau saya ni macam menyibuk hal rumah tangga puan. Sebenarnya puan tau
tak Ayub kerja apa?”
“Sebenarnya,
dia tak ada kerja tetap. Balik rumah pun jarang-jarang. Sebab itu saya cari
duit sendiri, berniaga kuih raya macam sekarang ini. Kalau saya tak berniaga,
macam mana saya nak sara empat orang anak saya?”
“Ayub
tak bagi nafkah ke?” jahatnya soalan aku. Tapi, lantaklah! Aku nak korek juga perangai
Ayub ni!
“Kalau
ada duit, dia bagilah…”
“Hmm…
kenapa puan tak bercerai saja dengan Ayub tu?”
“Saya
kesiankan anak-anak saya,” jawapan yang aku dah agak dah. Jawapan cliché kenapa
ibu-ibu seperti Zahra ini enggan bercerai.
“Sekali
lagi, saya minta maaf. Saya simpati dengan nasib puan. Tapi, puan… itu bukan alasan
untuk puan seksa diri sendiri dengan lelaki macam Ayub! Dia sendiri jarang
balik rumah, dia sendiri abaikan keluarga. Suap pula dengan duit yang entah
halal atau tidak. Sekarang ini, dia menyorok dekat mana pon puan tak tau. Puan
pula yang kena tanggung semua salah dia. Puan, saya bukan nak menghasut tau.
Tapi, ini hakikat yang puan kena sedar. Bercerai atau tidak, anak-anak puan dah
pun terabai!”
“Cik,
sudahlah! Duit cik saya boleh ganti, tapi jangan menghina suami saya sampai
macam ni sekali!” Zahra meninggikan suara bersama air matanya yang laju
mengalir. Lalu, dia meminta diri.
Ah,
kenapa cinta selalu membutakan mata seorang wanita?
--------------
Hari
ini, mak dah selamat tiba di Mekah. Zahra dah bayar sepenuhnya duit mak aku
yang ditipu oleh suaminya. Katanya, dia dah jual tanah pusaka untuk bayar balik
duit mak aku. Entahlah, aku bukan nak berlaku zalim pada Zahra. Tapi, adakah
aku zalim??
Tidak!
Ayub yang zalim dalam hal ini! Aku simpati dengan nasib Zahra. Tapi, kalau dia
sendiri yang membiarkan dirinya dizalimi, apa aku boleh buat?
Zahra…
Nama aku juga Zahra. Kami berkongsi nama yang sama, tapi, aku harap aku tak
buta seperti dia. Kalaulah aku di tempatnya, aku biarkan saja Ayub
dipenjarakan. Kalaulah aku di tempatnya, dah lama aku bercerai dengan Ayub.
Tuhan, sesungguhnya Engkau tidak mencipatkan cinta untuk membinasakan tapi
manusia itu sendiri yang berTuhankan cinta yang menyeksa mereka!
0 comments:
Post a Comment