(Gambar hiasan saja)
Janji Ar-Rahman
Nurul
mengayuh basikalnya pulang ke rumah saat matahari sudah hampir mengubah arah
menandakan tidak lama lagi waktu Asar akan menjelang. Minda dan jiwa terasa lapang
sedikit. Mana tidaknya, baru saja habis kertas terakhir SPM sebentar tadi di
sekolah. Semakin lama, kayuhannya semakin perlahan. Halaman rumah sudah
dimasuki. Dia turun dari basikal lalu menuntun basikal sehingga ke pangkin
rumah.
Dia
tersenyum segaris. Pintu dapur terbuka luar. Bau yang enak sekali terhidu.
Hatinya sedikit girang. Pasti ibu memasak makanan kegemarannya. Setelah memberi
salam, dia masuk ke dalam rumah melalui dapur. Malang sekali, sangkaannya
meleset. Bukan makanan kegemarannya. Dia mengagak sudah tentu adik bongsunya
sudah balik daripada lawatan sambil belajar hari ini.
“Ucu
balik hari ni ke, ibu?”soal Nurul. Rasa kurang senang disimpan kemas dalam
hati.
“Ha’ah.
Pagi tadi dia telefon. Katanya dah nak sampai sekolah. Agak-agaknya lepas Asar
nanti dia sampailah,” jelas ibu
“Hmm, Angah nak masuk mandi dulu,” kata Nurul. Dalam hati terbit juga cemburu. Aku
yang baru habis SPM, Ucu pula yang disambutnya. Alah, aku sedarlah diri bukan
duduk asrama pun… macam Kak Long dan Ucu. Ibu tak Tanya pun pasal SPM, boleh
jawab ke, senang ke soalan… Ah, biarkan!
---------------------------
Telefon
rumah berdering. Nurul yang baru selesai solat Asar tidak sempat menanggalkan
telekung. Dia terus mengangkat telefon.
“Assalamua’laikum!
Angah ke… ni, Kak Long!” salam diberi dengan nada yang ceria sekali.
“Wa’alaikumsalam…
oh, Kak Long. Ingatkan siapa tadi, nak cakap dengan ibu, ke? Ibu tak ada, dia
keluar sekejap,” balas Nurul. Ada sedikit surut nada Kak Long yang menelefon
dari kampus.
“Oh,
begitu. Tak apalah. Nanti Kak Long telefon ibu. Alang-alang Angah yang angkat
telefon ni, Kak Long nak kongsi satu berita ni… hehe,” Nurul dapat rasakan
kakaknya sedang tersengih.
“Berita
panas ke? Akak jumpa artis kat KL tu?”gurau Nurul.
“Eh, ke
situ pulak. Tak, berita tu tak sepanas berita Kak Long nak beritahu ni!”
“Habis
tu, berita apa pula?” Nurul sedikit terpinga-pinga.
“Abang
Man dah kenalkan Kak Long pada mak ayah dia… jadi, dia-orang nak datang merisik
hujung minggu ni!” Bagaikan nak terjatuh ganggang telefon daripada tangannya.
Biar benar Kak Long…
“Erk?”
“Lah, tak
seronok ke dengar berita ni?” Kak Long sedikit hairan.
“Kak
Long… ni bukan berita panas dah, ini berita boleh buat ‘terbako’ ibu dengar
nanti…”
“Kenapa
pula? Macam-macamlah Angah ni,”
“Hmm, Kak
Long belajar pun tak habis lagi…”
“Siapa
kata? Kak Long dah nak ambil final exam la…”
“Tapi
lagi dua bulan, kan? Eh, lebih baiklah tumpukan pada final exam nanti,”
Perbualan rancak dua beradik itu terganggu sedikit. Ibu sudah pulang ke rumah
bersama Ucu. Ucu masuk ke dalam bilik untuk berehat sebentar.
“Siapa
tu, Angah?”soal ibu. Nurul mengalihkan ganggang telefon.
“Kak
Long, ni ibu dah balik… cakaplah dengan ibu,” ganggang dicapai oleh ibu.
“Apa, nak
datang merisik?” suara ibu mula meninggi. Hmm, dah agak dah~
--------------------------------
Tak lama
saja lagi, Kak Long akan menyempurnakan separuh agamanya. Ibu akur jua dengan
pilihan hati Kak Long. Persiapan perkahwinan semuanya sudah sedia
perbelanjaannya. Al-maklumlah, bakal abang iparnya anak orang yang agak berada.
Memang tiada masalah sangatlah tentang perbelanjaan. Hurmm, sejujurnya, ibu
kurang senang anak-anaknya kahwin dengan orang yang agak berada kerana ibu
lebih suka kesederhanaan. Mujurlah, keluarga pihak lelaki juga suka
bersederhana. Majlis walimatul urus yang dirancang juga tidaklah besar sangat.
Sekadar cukup-cukup belanja sesama pihak lelaki dan perempuan.
Seketika
Nurul teringat pula zaman remaja Kak Longnya. Ibu suka sangat dengan Saufi,
anak Ustazah Khadijah yang terkenal dengan budi bahasanya, kepandaiannya,
kerajinannya ke surau (sampai mampu beri tazkirah lagi) dan segala bagailah.
Kak Long pun tahu, kalau boleh ibu teringin bermenantukan Saufi tu. Tapi,
cita-cita tinggal cita-cita sajalah. Siapalah ibu yang hidup biasa-biasa ni
dengan keluarga Ustazah Khadijah yang terkenal di kampung itu.
“Cepat
betul Kak Long kau kahwin… hurm, anak-anak ibu pun semuanya dah dewasa,” entah
kenapa ayat itu keluar daripada mulut ibu. Dulang hantaran tinggal dua tiga
saja lagi untuk dilap.
“Lah, ibu
ni macam berat je nak lepaskan Kak Long… Tak seronok ke anak nak kahwin?” balas
Nurul. Beras yang sudah dibilas dimasukkan air sebanyak dua kali ganda isi padu
beras. Kemudian, nasi ditanak dalam ‘rice cooker’.
“Ibu mana
yang tak seronok? Tapi ibu mana yang tak berat nak lepaskan anak?”soalan
berbalas soalan.
“Ibu,
dulu Kak Long masuk asrama, masuk university… lagi jauh daripada ibu. Ini
setakat berkahwin dengan orang daerah sebelah je,”balas Nurul.
“Betul
cakap Angah tu, ibu,” Kak Long muncul dari entah mana.
“Eh, masa
bila Kak Long ada di sini? Hairan betul,” Angah sedikit tersentak.
“Baru je.
Alah, ibu janganlah risau. Nanti, Kak Long baliklah hujung minggu ke, jenguk
adik-adik dengan ibu. Tak apa ibu, Angah kan ada lagi. Ucu pun ada. Ibu
janganlah sedih-sedih sangat. Tengok, dah tak lawa dah permaisuri hati kita
ni,”usik Kak Long. Nurul sekadar tertawa kecil.
“Hmm,
iyalah tu.” Ibu sekadar menggeleng.
‘Ibu sayang kau lebih Kak Long. Macam aku ni
apalah sangat.’ Bisik hati kecil Angah.
----------------------------------------------
Hari yang
dinanti tiba juga. Cuaca yang sangat baik, tidak terlalu panas dan tidak
menandakan hujan bakal turun. Kepulan awan yang putih mengepal seperti kapas
amat menyenangkan hati setiap orang yang menikmati cuaca ini. Bagiku, cuaca
seperti ini juga salah satu tanda kebesaranNya. Tapi, manusia kadangkala tidak
terfikir pun. Aku dapat melihat Along yang bercampur-baur perasaannya. Dalam
kegembiraan, ada debaran yang menanti.
Wajahnya yang
anggun lebih terserlah dengan solekan yang sederhana. Ringkas tetapi menarik. Ibu juga, mungkin perasaannya sama seperti
Along atau mungkin lebih lagi. Tidak sampai setengah jam menunggu ketibaan
rombongan pengantin lelaki, mereka sudah sampai di pekarangan rumah.
Salam
diberi bersambut. Tok kadi dan pengantin lelaki sudah bersedia di tempat duduk
masing-masing bagi upacara ijab dan Kabul.
Along mulai menundukkan wajahnya. Abang Man menarik nafas
sedalam-dalamnya. Dengan lafaz
bismillah, dia menyambut huluran salam tok kadi. Ada sedikit getar di
tangannya.
“Aku
terima nikahnya, Siti Fatimah bt Jaafar, dengan mas kahwinnya, RM 80 tunai…”
sekali lafaz yang penuh makna.
“Sah!”
saksi pernikahan memberi kesahihan ijab dan Kabul tadi.
Menitis
air mata terharu ibu melihat puteri sulungnya sudah sah sebagai seorang isteri.
Kak Long memeluk ibu dengan seerat-eratnya. Ucu sekadar tersenyum segaris. Mungkin dia agak bosan, dari pagi tadi tak
dapat keluar ke mana-mana memandangkan terpaksa membantu ibu dan keluarga dalam
majlis hari ini.
Aku
berangan sejenak. Bagaimanalah agaknya apabila tiba giliranku pula? Adakah aku
akan kahwin dengan pilihan ibu atau… pilihanku sendiri? Sabar Nurul! Baru saja
habis SPM, keputusan pun tak keluar lagi!
“Nurul!
Duduk termenung pula! Tak mau makan ke? Semua orang dah keluar… kau saja yang
duduk kat sini…” tegur Nafisa, sepupuku yang paling rapat denganku.
“Ish,
mana ada termenung, suka hati dia je tuduh orang macam tu…” aku menarik muncung
sedepa.
“Alolo,
buat merajuk pula cik adik seorang ni…” Nafisa menggosok bahuku, tanda hendak
memujuk.
“Eh,
sudahlah… kalau asyik ber’drama di sini, sampai esok kita tak makan. Jom,
makan!” aku mengajak Nafisa makan bersama.
Sememangnya
Nafisa rapat denganku. Kadangkala, aku rasa seperti dia lebih rapat berbanding
adik-beradikku sendiri. Kalau petang-petang, pasti dia akan datang, beriadah
bersamaku. Pada setiap hujung minggu pula, pasti dia akan datang menemani aku
dan ibu di rumah. Usianya hanya setahun
saja tua daripadaku. Dia tidak menyambung pelajaran dek kerana keputusan SPM yang
kurang baik. Dia sekadar kerja di kilang kerepek ayahnya.
“Nafisa,
macam manalah agaknya bila tiba giliran kita pula untuk…” kata-kataku
tergantung.
“Kahwin?”
Nafisa menyambung tanpa dipinta.
“Kau rasa
macam mana?” soalku. Nasi di pinggan baru setengah dimakan. Dia pula sudah
habis kerana dia makan lebih sedikit berbanding denganku.
“Aku tak
macam kau-orang adik-beradik, pandai-pandai… ada harapan nak masuk universiti. Kenalan
pun ramai. Kalau aku, biarlah ayah aku yang carikan. Aku percaya dengan pilihan
ayahku…”jujur Nafisa menjawab.
“Hmm,
sekurang-kurangnya kau ada pendirian tetap. Aku tak tahulah aku macam mana
nanti. Ish, kalau fikir sekarang pun buat apa, kan? Aku ni baru saja habis
SPM…”
“Aku rasa
tak salah kalau kita fikirkan masa depan, kan? Tapi, bagiku, apa yang mak ayah
aku suka, aku akan suka… Kerana aku suka hidup yang berkat,” ujar Nafisa.
Dalam
hatiku, terbit perasaan kagumku terhadapnya. Bukan senang kita nak cari orang
macam Nafisa. Walaupun tidak berpendidikan tinggi, tapi dia ada pendirian
tinggi dan budi yang luhur. Semoga
hidupnya sentiasa dilimpahi rahmat Ilahi.
Usai
makan, Nafisa meminta diri kerana perlu menghantar adik-adiknya ke kelas Fardhu
Ain. Aku pula hendak berehat di dalam bilik sebentar. Penat juga rupanya majlis
kenduri kahwin walaupun sederhana. Bagaimanalah agaknya orang yang mengadakan
majlis besar-besaran? Pasti solat juga
tak menentu.
------------------------
Ibu
merenungku dengan pandangan yang aku sendiri tak fahami apakah yang cuba
disampaikannya. Sudah seminggu Kak Long bernikah. Dan sudah seminggu jugalah
dia sudah berpindah mengikut suaminya. Dan yang tinggal di rumah hanyalah aku
dan Ucu. Aku meminta izin untuk bekerja di kilang Pak Su bersama Nafisa.
“Angah,
ibu rasa tak payahlah Angah pergi bekerja.” Ucap ibu buat aku terdiam seribu
bahasa. Aku dapat mengagak jawapan ibu. Ya, sudah tentu dia tidak izinkan. Aku
sedikit hampa tapi, aku sekadar mengalah. Mungkin ibu harapkan aku untuk
menjaga rumah ketika dia keluar bekerja.
“Kalau
ibu kata begitu, Angah ikut sajalah…”
Aku
bangun untuk meninggalkan ibu. Belum sempat kakiku melangkah keluar dari dapur,
ibu menyuruhku menggerakkan Ucu untuk sarapan pagi. Ya, sarapan pagi pada pukul
11.50 pagi! Memang masih pagi lagi! Bentakku dalam hati.
------------------------------------
Ibu
sekadar menggeleng kepala. Dia tahu bagaimana perangai anak-anaknya,
terutamanya Angah. Angah memang tak pernah membantah apatah lagi melawan. Berlainan dengan Along dan Ucu. Kedua-duanya
kuat memberontak. Tapi, Angah mungkin
mengikut perangai arwah ayahnya. Seorang yang penyabar dan menyenangkan.
Seorang yang selalu memendamkan perasaannya demi orang lain.
Tanpa
disedari air mata bertakung di tubir mata yang redup milik ibu. Rindu terhadap
suaminya masih terbuku di dalam hati biarpun sudah hampir sepuluh tahun
meninggalkan alam fana ini. Memori terindah bersamanya tertayang dalam layar
minda.
Masih
teringat lagi bagaimana suaminya mengiqamatkan anak sulung mereka berdua yang
kini sudah berumah tangga. Masa pantas berlalu. Dirinya juga sudah dimamah
usia. Semakin lama, dia semakin mengalah dengan kerenah anak-anaknya sejak
kematian suaminya. Walaupun, anak
sulungnya berkahwin dengan seorang pemuda yang tidak dikenalinya. Dia hanya
percaya, bahawa anaknya sudah pilih yang terbaik. Semoga Allah merahmati
keluarga anaknya itu.
“Mak, ooo
mak… Ucu dah habis makan ni, Ucu nak keluar dengan kawan, boleh?”ibu tersedar
dariapda lamunannya.
“Keluar
ke mana? Asyik-asyik nak keluar…” rungut ibu. Sejak menginjak remaja, Ucu
selalu tidak lekat di rumah. Seperti biskut, sekejap ada sekejap tiada.
“Alaa,
bosanlah duduk rumah, ibu. Lagipun, bukan ada komputer nak online,” balas Ucu.
Raut wajahnya sedikit berkerut. Tandanya, jikalau tidak ditunaikan
permintaannya sebentar lagi, pasti ada sajalah yang akan dilakukannya sebagai
tanda protes.
“Pergilah…
tapi ibu tak bagi duit. Duit yang ada cukup nak buat belanja barang dapur saja.
Gunalah duit sendiri, ya?” ibu sudah malas hendak bertekak seperti sebelum ini.
“Hmm,
terima kasih ibu,” Ucu membawa topi keledarnya bersama. Dia keluar terus dari
dapur. Bunyi motor usang milik arwah ayahnya sudah kedengaran.
-------------------------
Masa
berlalu tanpa menunggu kita untuk tersedar akan peredarannya. Keputusan SPM bakal diumumkan esok. Malam
yang dingin bersama gerimis hujan yang semakin surut sudah tentu menjanjikan
tidur yang nyenyak bagi sesiapapun. Akan tetapi, aku rasa seperti aku sudah
abnormal. Malam ini, mataku sedikitpun tidak rasa mengantuk malah nak
melelapkan mata pun susah.
Malam
semakin larut. Aku bangun daripada pembaringan di atas katil. Tidak selesa
kerana tidak dapat melelapkan mata.
Sejenak fikiran menerawang ke masa yang telah berlalu. Dalam khayalanku
terlayar memori dari kecil sehinggalah aku sudah tamat persekolahan
sekarang. Ayah… kalau ayah masih ada…
Entah
kenapa, aku bergerak menuju ke almari kecil di sudut ruang tamu yang
menempatkan album-album lama. Aku buka almari tersebut. Album-album lama aku
keluarkan satu persatu. Habuk disapu agar menampakkan muka depan Album yang tertera
namaku dengan lebih jelas.
Gambar-gambar
dalam album tersebut diamati sedalam-dalamnya. Sesekali aku tersengih seorang
diri, comel juga aku semasa kecil dahulu. Tanganku berhenti membelek apabila aku
terjumpa gambar arwah ayah dengan kami tiga beradik. Satu-satunya gambar yang
aku gemari sebelum kematian ayah.
Gambar
itu aku pernah letak di atas meja belajarku dahulu. Gambar ayah memeluk kami
bertiga sambil masing-masing tersengih. Gambar itu aku simpan dalam album
kerana aku tak mampu menahan perasaan sewaktu ayah baru meninggal dunia. Entah kenapa, titis-titis
air mata menitik di atas gambar itu.
Aku
mengeluarkan gambar tersebut dan masuk ke dalam bilik kembali. Aku mengeluarkan
kertas kajang dari beg sekolahku. Aku tak mampu menahan lagi badai perasaan
persis ombak yang menghempas pantai ini. Aku tulis sepucuk surat buat ayah
hatta aku tahu aku takkan mampu memberikan surat tersebut kepadanya. Dia bukan
pergi merantau jauh ke mana-mana di atas muka bumi ini, tetapi dia sudah
terpisah alam denganku.
Salam, ayah yang Angah
sayang…
Ayah tahu tak?
Anak-anak ayah semua dah
dewasa sekarang…
Seorang dah kahwin…
Yang seorang lagi tengah
tunggu keputusan SPM…
Yang seorang lagi dah
nak masuk tingkatan lima…
Ayah,
Kalau ayah ada sekarang,
Mesti ayah tengah bagi
semangat pada Angah untuk menempuhi hari esok…
Ayah,
Kalau ayah ada sekarang,
Mesti Ucu tak selalu
keluar malam-malam, kan?
Mesti ayah marah kan?
Ayah tau tak?
Angah jumpa gambar kita
berempat anak-beranak…
Angah teringat lagi,
masa tu ayah baru beli kamera,
Ayah bersemangat sungguh nak tangkap gambar kita ramai-ramai…
Tapi, sebab tak ada
sesiapa yang nak tolong tangkap gambar, ibu yang ambil gambar kita berempat…
Ayah peluk kami bertiga
erat sangat…
Rupa-rupanya,
Itulah pelukan terakhir
sebelum kami semua menginjak dewasa…
Sebelum kami semua akil
baligh…
Ayah,
Angah rindu ayah…
Angah rindu pujukan ayah
kalau angah kena marah dengan ibu…
Angah rindu pujukan ayah
kalau kami adik-beradik berebut mainan…
Yang paling Angah rindu,
Angah rindu kata-kata
semangat ayah…
Ayah saja yang faham
hati Angah…
Tapi, sekarang ayah dah
tak ada…
Angah sunyi, ayah…
Kalau boleh,
Angah nak sangat
beritahu ayah semua perasaan angah sekarang ini…
Angah masih terbayang
lagi wajah ayah yang redup…
Ayah bisikkan kata-kata
nasihat buat Angah.
Ayah kata, jangan sedih
dengan ujian Allah, tapi, ingatlah Allah sentiasa sayang kita…Allah takkan
tinggalkan kita macam manusia… Sehebat mana pun sayang manusia, dia akan pergi
tinggalkan kita.
Itulah pesanan terakhir
ayah sebelum ayah kemalangan.
Ayah tau tak?
Angah demam panas semasa
ayah koma… Angah terlalu sedih sebab Angah takut kehilangan ayah…
Bila ayah sedar dari
koma dulu, Angah seronok sangat!
Tapi, kegembiraan itu
hanya sementara…
Ayah pergi buat
selama-lamanya…
Ayah, semoga Allah
rahmati Ayah di sana…
Kerana ayah sudah
mendidik anak-anak ayah sebaik-baiknya…
Dan, sebelum Angah
berhenti menulis,
Angah nak ucapkan
setinggi-tinggi terima kasih ayah…
Terima kasih atas
segala-galanya…
Angah hanya mampu
mendoakan ayah dan ibu masuk syurga saja… semoga Allah makbulkan, Amin!
Sebak di dada sudah tak mampu tertanggung lagi.
Aku rebahkan diri di atas katil sambil memeluk gambar kesayanganku itu. Aku
tidak sedar bila aku tertidur dalam tangisan pada malam itu.
-------------------------------
Detik
demi detik sangat mendebarkan. Entah
bila akan berhenti. Seorang demi seorang menerima slip keputusan SPM mereka.
Ibu tidak hadir bersama memandangakan Kak Long dan suami akan pulang ke rumah.
Sudah tentu ibu hendak meraikan kepulangan mereka yang sudah berbulan-bulan
tidak datang menziarahi ibu. Kali terakhir mereka datang pun dua minggu selepas
majlis pernikahan mereka. Hanya Nafisa yang menemaninya.
“Nurul,
mesti selepas ini giliran engkau pula…” Nafisa mengagak.
“Ish,
janganlah buat aku lagi cuak ni,” Nurul mengurut dada sedikit.
Ternyata
kata-kata Nafisa tadi ada benarnya. Ish, masin sungguh mulutnya!
“Muslimin
dan muslimat, kini, tibalah masanya diumumkan nama pelajar yang mendapat semua
A. Dijemput, Saudari Nurul Fardatul Ulfah bt Jaafar!” Nafisa seakan-akan ingin
melonjak teruja. Nurul masih lagi tergamam… Tubuhnya dipeluk erat Nafisa.
Sungguh,
dia tak sangka dia merupakan salah seorang yang terpilih untuk mendapat
keputusan cemerlang tersebut. Dia naik ke pentas bersama tepukan gemuruh
rakan-rakan dan ibu bapa yang turut hadir. Tubuhnya dipeluk erat oleh Ustazah
Hafsah, ustazah yang banyak membantunya sepanjang bersekolah di situ.
“Tahniah,
Nurul. Ustazah percaya, semuanya berkat kegigihan kamu, Allah kurniakan
anugerah ini… Ingat ya, pesan ustazah, jagalah Allah, insyaAllah, Allah akan
menjaga kita,” pesan Ustazah Hafsah. Nurul sangat terharu. Air mata yang
bertakung di tubir mata tumpah juga akhirnya.
Setelah
giliran Nurul, rakan-rakan yang turut mendapat semua A dalam SPM juga naik ke
pentas bagi menerima slip keputusan mereka. Hari ini dalam sejarah. Hanya tuhan
saja yang tahu bagaiman perasaannya ketika ini.
“Kalau
Mak Long ada, mesti dia bangga dengan kau, kan?” Nurul sekadar diam saja
apabila Nafisa menuturkan kata-kata itu. Sesungguhnya, memang itulah yang
terdetik dalam hatinya.
Usai
Nurul tiba di rumah, dia melihat ibu sedang duduk di atas pangkin. Raut wajah
ibu sangat muram. Apa yang terjadi?
“Assalamualaikum,
ibu. Kak Long tak sampai lagi, ke?” soal Nurul sambil duduk bersebelahan dengan
ibu.
“Dah.
Tapi dia dah balik tadi,” jawab ibu dengan nada yang sedikit kecewa.
“Kenapa
ibu muram saja ni? Tak seronok ke Kak Long balik?” soal Nurul lagi.
“Kak Long
kamu nak pindah KL. Lagi susahlah dia nak datang ziarah ibu nanti,”luah ibu.
“Hmm…
Angah kan ada?” ibu mengukir senyum segaris.
“Angah,
macam mana keputusan SPM?”soalan yang dinanti-nantikan oleh Nurul.
“Ibu, ibu
bukalah sampul surat ni,” Nurul menghulurkan sampul surat yang berisi slip
keputusan SPM.
“Bismillah…
Alhamdulillah, anak ibu dapat semua A!” kemuraman di wajah ibu sudah bertukar
menjadi senyum yang lebar. Ibu memeluk tubuh Nurul dengan erat sekali. Dia
mencium pipi anaknya itu. Nurul tertegun setagal. Ibunya tidak pernah buat
begitu kepadanya sejak dia menginjak dewasa. Selama ini, perhatian ibunya lebih
berat kepada adik dan kakaknya. Tetapi, siapa tahu, dalam hati seorang ibu,
bukan?
---------------------------------------------
Kenduri
kesyukuran berjalan lancar. Hampir semua orang kampung hadir bagi meraikan
kejayaan Nurul. Wajah ibu tidak lekang dengan senyuman. Siapa yang tidak bangga
dengan kejayaan anak sendiri, bukan? Pertama kali dalam hidupnya, Nurul melihat
ibunya berseri-seri. Sejak kematian ayah dahulu, ibu jarang tersenyum.
Ustazah
Hafsah turut hadir. Nurul sangat gembira kerana orang yang dihormati dan
disayanginya itu sudi hadir ke majlis yang tidak seberapa itu. Ustazah Hafsah
merupakan murobbi kumpulan usrahnya di sekolah. Dia jugalah insan yang selalu
memberi bimbingan dan semangat untuknya terus menempuh hari-hari bergelar
seorang pelajar sekolah agama.
“Apa
perancangan selepas ini, Nurul?” soal Ustazah Hafsah.
“Kalau
ada rezeki, saya nak sambung belajar di Timur Tengah. Apa pendapat ustazah?”
soal Nurul.
“MasyaAllah,
baguslah kalau begitu. Cuma, keadaan dahulu dan sekarang lain. Sekarang ini,
Arab sedang bangkit. Kalau dapat ke sana, jaga diri baik-baik, ya?”pesan
Ustazah Hafsah.
“InsyaAllah,
ustazah… Ustazah dulu, bagaimana?”
“Pada
mulanya, ibu ustazah tak benarkan ustazah sambung ke luar Negara… bimbang
katanya,” ustazah memulakan kisah silamnya sebelum berangkat ke bumi anbiya’.
“Macam
mana ustazah dapat ke sana?” Nurul tertarik untuk mendengar kisah seterusnya.
“Ustazah
pujuklah ibu ustazah bersungguh-sungguh… akhirnya dia mengalah, dia berikan
syarat kepada ustazah…” Ustazah Hafsah mula mengukir senyum.
“Apa
syaratnya, ustazah?”
“Ustazah
kena kahwin dahulu kalau hendak ke sana…” jawapan ustazah membuatkan Nurul
sedikit ternganga namun cuba dikawalnya sebaik mungkin.
“Kenapa
tak Tanya lagi?” Ustazah Hafsah tersengih.
“Saya tak
tahu nak Tanya apa lagi, ustazah…” jawab Nurul.
“Hmm,
pada mulanya, Ustazah pun ternganga juga semasa ibu ustazah meletakkan syarat
itu… Rupa-rupanya, ibu ustazah letakkan syarat itu bersebab… Ustazah sudah
dirisik oleh seorang senior ustazah yang belajar di sana. Di sana, ada seorang
gadis Arab yang tergila-gilakan dia sehingga dia tidak tahan diganggu oleh
gadis tersebut. Ustazah pun terima
kerana kami masing-masing memerlukan,” cerita Ustazah Hafsah.
“Macam
mana ustazah boleh terima? Ustazah kenal ke senior ustazah tu?” soalan yang
seringkali ditanya apabila Ustazah Hafsah menceritakan kisahnya.
“Ustazah
kenal semasa bertunang dengannya, seminggu sebelum berkahwin,” jawapan ustazah
belum memuaskan hati Nurul.
“Saya
masih lagi tertanya-tanya ni, ustazah… selalunya, orang lain mesti akan
berkahwin dengan orang yang dia suka, yang dia cinta… tapi…”
“Itulah
namanya jodoh, Nurul. Tidak semestinya kena bercinta dahulu, baru kahwin. Ada
yang bercinta bagai nak rak, tapi, terputus di tengah jalan,” jawab Ustazah
Hafsah sambil tersengih lagi.
“Hmm,
betul juga kata ustazah. Rezeki, jodoh, maut semuanya di tangan Allah,
kan?”simpul Nurul.
“Hah,
macam itulah anak murid ustazah! Ya paling penting, di masa saja kita berada,
jangan sesekali kita lupakan Allah,” Ustazah Hafsah mengusap pipi Nurul. Nurul
sekadar mengangguk mendengar pesanan Ustazah Hafsah.
---------------------------
Nurul
menanti jawapan ibunya. Dalam hati, dia berharap tidak jadi seperti dahulu.
Dahulu, dia mendapat tawaran ke Kolej Islam Sultan Alam Shah. Ibu
menghalanganya kerana kolej tersebut jauh. Kalau difikirkan kembali, jawapan ibu sangat
tidak releven kerana Kak Long dibenarkan ke Sekolah Tun Fatimah, lebih jauh
lagi. Dan, yang paling menyakitkan hatinya, ibu membenarkan Ucu menyambung
pelajaran di Sekolah Menangah Sains Johor. Dan, yang paling penting, kalau ibu izinkan,
janganlah di letak syarat suruh berkahwin dulu macam Ustazah Hafsah.
“Angah…”
ibu menarik nafas dalam-dalam. Ada sebak terbuku di dada.
“Macam
mana, ibu bagi tak Angah ke Jordan?” soal Nurul lagi.
“Tak
mungkin ibu melarang cita-cita Angah. Dan tak mungkin ibu melarang cita-cita
arwah ayah… Angah, pergilah. Ibu izinkan…” ibu menitiskan air mata yang cuba
ditahan.
“Ibu,
kenapa ibu menangis?”
“Ibu
bangga dengan Angah… Ibu selalu berharap ada anak-anak ibu yang mampu
menunaikan hasrat arwah ayah… Ibu harapkan Kak Long, dia tak mahu menyambung
dalam bidang agama. Ibu nak harapkan Ucu, belum tentu lagi. Angah, di sana
nanti, belajar elok-elok ya?” Ibu memeluk Nurul.
Nurul
terkedu. Maha suci Allah yang telah memakbulkan doanya. Dia bersujud syukur,
menyatakan kesyukuran tidak terhingga. Akhirnya, ibu mengizinkannya untuk
mencapai cita-citanya. Dan, sudah tentu, dia akan memanfaatkan peluang ini
dengan sebaik-baiknya.
-------------------------------
Setahun kemudian….
Nurul
kembali ke tanah air untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini. Teksi
yang dinaikinya sudah memasuki halaman rumahnya. Dengan ucapan bismillah, dia
turun dari teksi. Rumah yang sangat dirinduinya itu sudah berada di depan mata.
Pemandu teksi menurunkan begnya. Dia membayar tambang dengan ucapan terima
kasih.
“Assalamua’laikum,
ibu…” Nurul mengetuk pintu rumahnya. Tiada jawapan, barangkali, ibu keluar
agaknya.
Dia
menapak pula ke rumah Pak Su. Nafisa sedang menganyam ketupat di ruang tamu.
Dia kelihatan sangat tekun sekali. Nurul tersenyum gembira. Nafisa, antara
orang yang dirinduinya. Masakan dia tidak rindu pada sepupu yang paling rapat
dengannya itu. Orang yang selalu menemani hari-harinya di kampung ini.
“Assalamua’laikum!”
salam diberi.
“Wa’alaikumsalam…
Ya Allah, Nurul… bertuah balim tak beritahu aku. Kalau tidak mesti aku boleh
jemput kau di airport!” Nafisa segera
meninggalkan ketupat yang dianyam dan segera memeluk erat tubuh Nurul.
“Ya
Allah, aku pergi baru setahun lebih... Peluk macam dah sepuluh tahun tak jumpa!”
usik Nurul.
“Hmm,
masuklah dulu, duduk bersembang di luar pula. Kau sudahlah baru sampai… puasa
pula,”jemput Nafisa setelah menyedari mereka sekadar berbual di depan pintu
rumah.
“Eh, aku
datang sekejap saja. Nak Tanya ni, kau tahu ibu aku pergi mana?”soal Nurul.
“Ya
Allah, lupa nak beritahu, Mak Long pergi hospital dengan mak ayah aku… adik kau
masuk wad,”terang Nafisa.
“Masuk
wad? Dia sakit apa?” dahi Nurul berkerut seribu.
“Masuklah
dulu,” ajak Nafisa lagi.
Nurul
melangkah masuk ke dalam rumah Pak Su. Dia mengambil tempat duduk bersebelahan
Nafisa.
“Ceritalah
apa yang terjadi,”pinta Nurul.
“Adik kau
kemalangan. Dia merempit dua hari lepas,” Nurul seakan tidak percaya kata-kata
Nafisa itu.
“Nafisa,
kau tak memain kan?”
“Buat apa
aku nak memain, Nurul,” muka Nafisa sangat serius.
“Ya Allah…”
keluh Nurul penuh kesal. Bagaimana Ucu boleh terjebak dengan geng rempit pula?
“Engkau
duduk dululah di sini sementara nak tunggu Mak Long balik dari hospital. Boleh teman
aku di rumah ini,”pelawa Nafisa.
-------------------------------------------
Malam
yang hening sekali. Takbir raya sayup-sayup kedengaran. Selalunya, setiap kali
malam raya, pasti anak-anak ibu ada bersama menyiapkan persiapan untuk hari
raya. Tetapi, malam raya kali ini, hanya Nurul yang ada di sisi.
“Ibu, Kak
Long tak balik raya, ke?” soal Nurul sekadar memecah kesepian dalam rumahnya.
“Kak Long
beraya di rumah mertuanya,” jawab ibu ringkas.
“Kak Long
selalu datang tak, ibu?” soal Nurul lagi.
“Kali
terakhir dia datang, semasa Angah nak ke Jordan dulu… selepas itu, dia tak
datang dah. Sibuk agaknya…”jawab ibu lagi. Hambar sekali.
“Telefon?”soal
Nurul lagi.
Ibu sekadar menggelengkan kepala. Dalam
hatinya, terbit rasa geram terhadap Kak Longnya yang tidak mengambil berat
langsung terhadap ibu. Dahulu, sebelum berkhawin, bukan main lagi berjanji
macam-macam dengan ibu!
“Angah… ibu minta maaf, ya…” luah ibu secara
tiba-tiba.
“Kenapa pula? Ibu mana ada buat salah dengan
Angah pun,” Nurul kehairanan.
“Selama ini, ibu tahu Angah rasa ibu berat
sebelah. Tapi, Angah percayalah, dalam hati ibu, Angahlah yang paling ibu
sayang. Ibu tak izinkan Angah belajar di sekolah berasrama kerana ibu tak mahu
jauh dengan Angah. Angah tak pernah membantah cakap ibu… walaupun ibu tak
pernah tunaikan apa-apa permintaan Angah… Semasa Angah di Jordan, setiap hari
ibu terkenangkan semua anak-anak ibu. Terutamanya Angah. Hari ini, hanya Angah
yang ada di sisi ibu…” saat mendengar luahan hati ibu, Nurul menjadi semakin
terharu.
“Ibu… maafkan Angah sebab selalu buruk sangka
dengan ibu… maafkan Angah, bu…” Nurul memeluk tubuh ibu yang semakin kurus itu.
Kurus dek dimamah usia. Usia yang menjadi saksi seorang ibu yang bersusah-payah
membesarkan ketiga-tiga orang anaknya.
“Tak mengapa, Angah. Angah tak pernah buat
ibu kecewa… Angah, kalau ayah masih ada, mesti dia akan bangga dengan Angah,
kan?” kata-kata ibu membuatkan air mata Nurul semakin laju mengalir.
Pada malam 1 Syawal itu, kedua-dua beranak
berendam air mata. Air mata kerinduan yang sudah lama terpendam di lubuk hati
masing-masing.
--------------------------
Nurul
mengenakan baju rayanya yang berwarna biru muda bersama tudung labuhnya yang
sepadan. Setelah bersiap-siap untuk ke masjid bagi solat sunat Aidilfitri, dia
mengetuk pintu bilik ibunya. Setelah berkali-kali diketuk, hati Nurul berasa
tidak sedap.
“Kenapa
ibu tak respons ni?” bisik hati Nurul.
Dia masuk
ke dalam bilik ibu. Dia melihat ibu sedang bersujud. Dia tunggu lagi beberapa
minit. Tetapi, ibu masih lagi dalam posisi yang sama. Dia cuba menggerakkan
tubuh ibu. Rupa-rupanya, ibu telah mengikut jejak arwah ayah. Dia sudah
meninggalkan semua anak-anaknya.
Tubuh
Nurul terasa begitu lemah. Dia tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya tangisan yang
mengalir di pipinya. Apakan daya, nadi ibu sudah tidak berdenyut lagi…
“Ibu…”
Dan, di
saat ibu meninggalkan dunia, hanya dia saja ada di sisi ibu. Selama hayat ibu,
memang ibu seperti melebihkan anak-anaknya lain berbandingnya. Tapi, hakikatnya,
jauh di sudut hati ibu, ibu melebihkan dirinya.
Ayah, kini ibu pergi
mengikuti jejak ayah. Semoga ibu dan ayah ditempatkan dalam kalangan
orang-orang yang beriman…
------------------------------
Imbas Kembali…
Nurul
menangis tersedu-sedan. Ustazah Hafsah mendengar dengan penuh teliti luahan
hatinya.
“Ustazah,
kenapa ibu saya buat saya macam ini? Kakak saya boleh pergi sekolah asrama lagi
jauh daripada saya. Tapi, ibu saya seolah-olah nak menyekat cita-cita saya…
Saya terkilan dengan sikap berat sebelah dia, Ustazah… Selama ini, saya tak
pernah minta apa-apa. Kalau saya minta pun, mesti tak dapat. Tapi, kali ni saya
Cuma
minta nak sambung belajar di KISAS saja, ustazah!”
“Nurul, ibu
kita manusia biasa. Dia tak sempurna. Tapi, percayalah, ibu kamu sayangkan kamu…
dalam masa yang sama dia juga sayang adik-beradik kamu yang lain… Mungkin dia
ada sebab sendiri. Kita tak tahu, Nurul. Hanya Allah yang tahu. Walaupun kamu
kecewa dengan sikap ibu kamu, jangan sesekali memberontak depan dia… tak baik…
mengadulah pada Allah, semoga Allah bukakan pintu hati ibu kamu untuk
mengizinkan kamu ke sana, ya?” pujuk Ustazah Hafsah.
“Nurul,
ingatlah janji Allah, Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala
kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa… InsyaAllah, satu hari nanti,
Nurul akan tahu juga jawapan kenapa ibu Nurul buat macam itu,” pesan Ustazah
Hafsah.
--------------------------
Rasullullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan
Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.
Sahih: Dikeluarkan oleh
al-Tirmizi dalam Sunannya – hadis no:
1899 (Kitab al-Birr wa al-Shalah, Bab berkenaan keutamaan pada
keredhaan ibubapa)dan ia dinilai
sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah –
hadis no: 515.