BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, December 25, 2011

Kata-kata satu doa



                Orang zaman dulu suka luahkan rasa geram pada anak-anak dengan ayat sebegini: “Bertuah punya budak!”

                Mungkin, mereka tidak mahu anak-anak mereka mendapat hidup yang malang hasil daripada kata-kata yang menjadi doa buat anak-anak mereka.

Seperti pepatah yang berbunyi begini:
“Kata-kata itu boleh jadi doa”
                Pada perspektif dari kaca mataku, ada kalanya, benar juga pepatah tersebut. Imam Al-Ghazali pernah berkata, “yang paling tajam itu ialah lidah manusia”. Ya, lisan dapat menaikkan semangat dalam kehidupan seseorang. Lisan juga dapat merendahkan peribadi seseorang. Lisan yang baik, pujian dan nasihat. Lisan yang buruk, kutukan dan fitnah. Impak lisan sangatlah besar walaupun kelihatan remeh. Sehingga orang yang memfitnah jauh lebih dasyat daripada orang yang membunuh.
“Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”
                Lisan boleh membawa padah sehingga boleh membuahkan dendam dalam hati sesorang. Lisan juga boleh membawa manfaat dan rezeki sehingga orang berasa sangat senang dengan kita kerana lisan kita.  Setiap perkara ada pro dan kontra. Setiap perkara ada positif dan negatifnya. Setiap perkara ada kebaikan dan keburukannya. Itulah hukum lumrah alam. Tetapi, kebaikan dan keburukannya bergantung kepada tindakan dan pelaksanaan sesuatu perkara, terutamanya yang berkaitan dengan lisan.

                Cuba kita bayangkan, seorang budak lelaki sangat gemar berkawan dengan budak perempuan. Dia sangat lemah dan sering dibuli oleh budak-budak lelaki. Dia digelar lembik. Apakan daya, dia tak mampu untuk melawan ejekan rakan-rakan yang membulinya. Dia pun meletakkan dalam dirinya bahawa dia hanya boleh berkawan dengan budak perempuan dan  main serta bergaya seperti perempuan. Balik rumah, dia dipukul dan dimaki oleh ayah dan ibunya. “Anak tak guna. Buat malu aku saja, sudahlah lembik,  ada hati nak jadi perempuan pula! Kau nak sangat, kan? Hah, jadilah perempuan!”
                Apabila menginjak remaja, dia mula bergaul dengan orang-orang yang digelar ‘sotong’, ‘maknyah’, ‘pondan’ dan sebagainya. Orang sekeliling pun asyik mengata dan mengutuk dirinya tanpa ada rasa tanggungjawab untuk membawa dia ke jalan yang benar. Yang ada hanyalah, kejian, kutukan dan cacian. Dan, akhirnya, dia termasuk dalam kancah kegelapan sehingga sanggup menukar jantina melalui pembedahan.

                Salah siapakah? Doa siapakah yang menyebabkan dia menjadi begitu? Ya, inilah yang dikatakan “kata-kata itu boleh jadi doa”. Memang, secara umumnya, dialah yang bersalah kerana tidak mempertimbangkan akibat dan kesan daripada perbuatannya. Tapi, cuba kita fikirkan, siapakah yang menyebabkan dia tertekan? Jawapannya, Lisan! Ya, lisan rakan-rakan, lisan ibu bapanya, lisan orang sekelilingnya.
        
                Walaupun kutukan itu boleh mendatangkan manfaat sebagai contoh, agar si pelaku sedar kesalahannya dan berubah. Tapi, sejauh manakah matlamat itu berkesan. Kadangkala, matlamat tidak menghalalkan cara!

                Janganlah hendaknya kita menghukum dengan lisan. Sebaliknya, pulihkan dan pimpin anak-anak dengan lisan yang mendidik. RasulAllah SAW sendiri, sangat menjaga lisan. Kenapa bukan kita? Ya, kita memang bukanlah baik mana, tapi, sekurang-kurangnya, kita berusaha untuk menjadi baik. Semoga dengan kebaikan kita akan tumbuhlah manfaat dan kebaikan lain.

                Pernahkah anda membaca novel atau menonton filem ‘Dalam Mihrab Cinta’? Kalau yang pernah, kisah ini adalah salah satu contoh kesan lisan. 



Semoga kita dapat sama-sama menjaga lisan kerana kadangkala, kata-kata boleh jadi satu doa. -Cik Mai

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...