BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, December 12, 2011

Teduhan Hati

 
  Aku merenung ke luar jendela. Di luar sana, manusia sedang sibuk dengan hal masing-masing. Seakan belum ketemu kesudahannya.  Tetapi aku, di sini, sedang menanti sama ada akan berakhir atau bersambung kisah hidupku ini.
                “Assalamua’laikum,Nurul, sebentar lagi, pembedahan akan bermula…” beritahu Kak Nisah, jururawat yang bertugas.
                “Wa’alaikusalam…”aku sekadar menjawab salamnya.  Walaupun hidup seperti sediakala itu adalah harapan setiap insan yang menanggung derita sepertiku, tetapi, aku hanya berharap agar harapanku, sejak dahulu lagi, akan termakbul… selebihnya, aku serahkan kepadaNya.
                “Kak Nisah…” tiba-tiba aku rasa ingin menegurnya.
                “Ya?”
                “Papa tak datang lagi ke?” soalku. Kak Nisah menggeleng.
                Aku masih berharap, agar, Papa masih ingat, aku ialah anaknya. Aku juga keluarganya. Aku tidak minta seperti apa adik-adik dan ibu tiriku minta. Cuma satu, aku harap aku tak dipinggirkan sehingga sebegini rupa. Aku harap dan terus mengharap, aku dapat bertemu abang kandungku… juga arwah mama… walau mustahil!
-------------------
                Ubat bius disuntik ke dalam badanku. Dunia seakan kelam… gelap sekali. Mataku terpejam rapat. Tiada apa-apa di sekeliling. Gelap…
                Seketika kemudian…aku dapat rasa, cahaya semakin lama semakin mendekatiku. Perlahan-lahan kelopak mataku dibuka. Aku lihat sekeliling. Ini ruang lobi hospital. Aku jadi bingung. Kenapa aku berada di sini?
                Aku duduk di atas bangku. Aku lihat ada sepasang suami isteri bergegas masuk ke dalam hospital. Isterinya sangat sarat ketika itu. Seakan-akan sudah tiba saat kelahiran.  Si suami pula mendukung anak sulungnya.
                Aku tertarik untuk mengekori mereka. Entah kenapa, kehadiranku seakan tidak disedari sesiapa.  Ku amati wajah si suami. Aku seperti sangat kenal wajahnya. Siapakah dia?
                Si isteri dimasukkan ke dalam wad. Si suami setia menunggu bersama anak lelaki mereka. Aku hampiri mereka. Ingin sekali aku mengetahui apa yang terjadi selepas ini. Apakah kaitannya mereka sekeluarga ini denganku? Kenapa aku tertarik dengan mereka?
                Setelah beberapa lama… doktor keluar dengan senyuman manis. Ada riak keletihan sedikit di raut wajahnya.
                “Tahniah, encik. Anak perempuan… isteri encik stabil… Cuma, dia  perlukan masa untuk berehat…”
                “Alhamdulillah!”ucap si suami.
                “Papa, Akim dah dapat adik ke?” soal si anak kecil.
                “Ya… nanti kita tengok adik, k?”si suami mendukung anaknya dengan erat sekali. Ubun-ubun si anak digosok-gosok. Terpancar kegembiraan dari wajahnya.
                Aku dapat menangkap panggilan kepada si anak. Akim… adakah ini, keluargaku? Ya Allah… benarkah ini masa lampauku? Aku seakan ingin memeluk saja si anak kecil yang juga abang kandungku…Tapi, aku sedar, aku hanya dapat melihat saja…
                Air mataku menitis satu persatu. Melihat kebahagiaan saat itu. Andai dapat kumerasa saat ini… Tangisanku semakin lebat. Aku jadi sebak.  Tanpa sedar, dunia semakin kelam di sekelilingku. Aku membuka kembali mataku. Kulihat, papa sedang meng’iqamat’kan di telinga kiriku. Syahdu sekali suaranya. Mama… perempuan yang kulihat sarat tadi sekadar memerhati. Hatinya penuh rasa syukur juga bangga dengan zuriat mereka berdua.
                Ingin sekali aku mendakap mama saat ini. Mama, terima kasih kerana melahirkanku… Aku sudah mengerti kini, aku diperlihatkan masa laluku. Aku sedang berada dalam dunia lain. Ya… mungkin kuasa Allah yang ditunjukkan  kepadaku.
------------------
                Badanku seakan melayang ke sebuah tempat. Aku ‘terbang’ keluar dari hospital tadi. Destinasiku tidak pasti. Aku sekadar terbang sehinggalah sampai di suatu tempat…Tanah perkuburan. Aku kenal kawasan ini.
                Aku lihat imam membaca talkin. Hatiku sekali lagi dihimpit sayu. Aku seakan kenal wajah seorang budak perempuan yang sedang didakap oleh abangnya… itulah aku. Dan, papaku turut berada di situ. Juga ibu tiriku yang sedang mengandung.
                Perit rasanya saat ini. Jantungku bagai disentap hebat. Mengapa saat mama dalam penderitaan, tegar sekali papa menduakan kesetiaan mama? Sehingga kini, aku tidak dapat lupakan peristiwa ini. Saat ini, papa dan ibu tiriku baru diakad nikahkan sehari sebelumnya. Papa… sampai hati kau melakukan dosa demi kehendak dirimu saat isterimu tak mampu memberikannya?
                Aku terbang ke sebuah tempat lagi. Di sana, di rumah lamaku, mama sedang terlantar. Pipinya basah dengan air mata. Aku dapat mendengar kata-katanya.
                “Abang, sudah terbukti abang yang bersalah. Abang, hanya satu pintaku, walau abang sudah mengkhianatiku tapi, tolonglah bertanggungjawab terhadapnya… sebelum mata ini tertutup buat selamanya…”
                Jelas terpancar rasa kesal di wajah papa. Tetapi, bagiku, andai papa sudah terlanjur, sudah tentunya dia perlu bertanggungjawab!
                Aku tinggalkan tempat-tempat ini. Aku terus terbang ke sana sini mencari arah tuju yang lebih bermakna. Di sebuah taman, aku berhenti seketika waktu. Seorang wanita menghampiriku. Wajahnya berpurdah. Dari matanya, terpancar keikhlasan hatinya. Entah kenapa aku dapat merasakannya.
                “Assalamua’laikum… boleh umi duduk di sini,”ucapnya sambil membahasakan dirinya sebagai umi.
                “Wa’alaikumsalam… silakan, apa salahnya…”ujarku.
                “Apa yang sedang anak khuatirkan? Tampak bimbang saja…”
                “Entahlah… ermm…”aku tersentak seketika.
                “Macam mana umi boleh lihat saya?”soalku penuh rasa terkejut.
                “Kun Faya Kun… Umi tahu kamu bukan manusia di alam ini… kerana umi juga begitu…”jawabnya tenang.
                “Siapa umi…?”aku bertambah bingung.
                “Bukankah Umi sudah cakap tadi? Hmm, apa-apa pun, memandangkan kita serupa, apa kata anak ikut umi?”pelawanya.
                “Ke mana?”soalku lagi. Persoalan tadi dibiarkan tenggelam begitu saja.
                “Ikut saja…”
----------------------------
                Aku dan Umi berada di bawah pokok berhadapan sebuah rumah. Aku tahu rumah tersebut. Itulah rumah Pak Su dan Mak Su. Aku lihat papa bersalaman dengan Pak Su. Kepala abang diusap-usap, dicium ubun-ubunnya.
                Ketika itu, abang seakan menahan tangis. Namun, aku sangat yakin ketika inilah, papa menyerahkan abang kepada Pak Su dan Mak Su yang tidak mampu memperoleh zuriat.  Sejak itulah, aku dan abang terpisah.
                Papa menghidupkan keretanya. Dia berlalu meninggalkan ketiga-tiga orang itu. Abang seakan mampu menerima hakikat. Aku sangat yakin, abang selamat dengan Pak Su dan Mak Su. Tiadalah lagi penganiayaan kepada abang… oleh ibu tiriku.
                “Anak kenal mereka?”soal umi.
                “Ya… kenal… Pak Su, Mak Su, Abang…”jawabku.
                “Sekarang mereka di mana?”soal umi.
                “Setahu saya, sejak beberapa tahun yang lalu, setelah penyerahan abang kepada keluarga Pak Su… Pak Su sekeluarga telah berpindah keluar Negara… sehingga kini, tiada khabar berita tentang mereka…”jawabku.
                “Anak… anak teringin tak nak tahu keadaan sekarang? Di sekolah... ??”soal umi.
                “Mestilah!”aku menjawab dengan beriya-iya.
                “Mari…”
----------------------
                Di kelasku. Guru kelasku memaklumkan keadaanku. Saat ini, peperiksaan percubaan SPM sudah tamat. Hatiku jadi sebak. Aku tidak dapat mengambil peperiksaan tersebut. Cita-cita tinggi ingin mencapai kejayaan kelak… namun, dalam mendaki puncak, belum pasti kan sampainya aku.
                “Humairah sedang menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan di otaknya. Mari kita doakan keselamatannya…”ucap guru kelas, Puan Suraya.
                Seisi dewan menadah tangan mendoakanku. Aku dapat melihat, Aisyah, sahabat karibku berdoa dengan penuh kesungguhan.  Aku terharu melihatnya. Selama ini, kusangkakan, aku dan dia sudah tidak lagi bersahabat baik… rupa-rupanya, jauh di sudut hatinya, dia amat merinduiku… Perselisihan faham lalu membuatkanku menyesal kini. Entah kenapa, saat ini aku seperti ingin mendakapnya, memohon maaf atas keegoanku!
                “Anak, apakah yang terjadi sebenarnya?”soal Umi.
                “Sebenarnya, di antara saya dengan Aisyah, kami saling bersaing. Aisyah cemburu dengan saya kerana, setiap apa yang diingininya, akan saya miliki, bukan dia… Dia belajar bersungguh-sungguh, tetapi saya tidak… malangnya, keputusan peperiksaan saya lebih baik berbandingnya. Saya sedar akan hal tersebut. Saya sentiasa berdoa semoga dia akan jauh lebih baik berbanding saya… namun, doa saya tidak makbul. Saya sering dengar keluhannya, dan saya setia mendengar dan memahaminya… Satu hal yang meracuni persahabatan kami ialah hadirnya seorang lelaki bernama Azli. Saya sedar Aisyah menyimpan perasaan terhadap Azli, tetapi Azli pula menaruh hati terhadap saya… Saya tidak melayannya… tetapi, fitnah yang tersebar mengenai saya telah merenggangkan persahabatan kami… sehingga kini…”jelasku panjang lebar.
                “Anak, cemburu tanda sayang… Mana mungkin seorang sahabat akan tidak tergugat jika dia ingin setanding dengan sahabatnya… Dia ingin setanding dengamu kerana dia sayangkanmu… Cemburu bukan Hasad Dengki, sayangku…”nasihat Umi.
----------------------------
                “Anak, ada satu saja lagi tempat terakhir yang ingin umi bawa sebelum kita berpisah…”
                “Di mana, umi?”
                “Di situ, sayangku… di surau sekolah kamu… Mari… Mereka baru saja selesai menunaikan solat Zohor,” Umi memimpin tanganku. Kami sama-sama masuk ke dalam surau.
                “Lihat, Humairah… adik-adik kamu merinduimu. Adik- adik seperjuanganmu, mereka sama-sama menadah tangan dengan penuh kesungguhan mendoakanmu, Humarah… Lihat pula, adik-adik yang sering menentang nasihatmu, mereka lebih menyayangimu…”ujar Umi.
                “Umi… saya tak sangka… Ya Allah… Ampunkan dosaku… Ya Rabb,” hatiku merintih.
                “Humairah, perjuanganmu menegakkan syariat di sekolah ini tidak sia-sia… Bukan sekadar kasih Allah didamba, tetapi, kasih manusia mengelilingi dirimu... Humairah, andai diberi peluang kedua untuk hidup, jangan sia-siakan perjuangan kamu sebagai seorang serikandi…”pesan Umi.
                “Umi… terima kasih…”ucapku penuh hiba.
                “Sayangku, bersyukurlah kepada Allah yang telah memakbulkan harapanmu…”
                “Umi, sebelum kita berpisah… izinkan saya mengetahui siapa sebenarnya Umi?”pintaku buat kali terakhir.
                “Umi… ialah mama kamu…”Umi membuka purdahnya. Wajahnya berseri-seri. Dapat kulihat nur di wajahnya.
                Aku ingin mendakapnya namun, dia ghaib begitu saja. Aku hampa… Berlinangan air mata rinduku. Ya Rabb… aku merasa pedih di mataku. Kemudian, dunia sudah gelap gelita, tiada apa yang ku sedar selepas itu.
-------------------------
                Kubuka mataku perlahan-lahan. Kulihat sekeliling. Aku sudah kembali ke dunia asalku. Kulihat papa di sisiku sedang lena menanti kesedaranku. Ya Allah, selama ini kufikir papa sudah menyisihkan aku daripada hidupnya.
                “Alhamdulillah, adik sudah sedar…”ujar seorang doktor yang baru saja masuk.  Di kotnya tertera nama Hakim.
                “Doktor… bagaimana dengan keadaan saya, sekarang?” soalku.
                “Alhamdulillah… ketumbuhan di otak sudah Berjaya dibuang… mujurlah masih belum terlambat…”ujar Dr.Hakim.
                Papa tersedar dari lenanya. Dia seakan tidak percaya. Dia mencium dahiku. Air matanya menitis di dahiku. Aku kaku tidak percaya dengan apa yang papa lakukan ini.
                “Adik, syukur Alhamdulillah, adik dah sedar… Adik… ini abang yang adik tunggu sejak sekian lama… Dr. Hakim… abang kandung adik!” ucap papa. Dr. Hakim menghampiriku dan mengusap air mata papa yang menitis tadi.
                “Ya… Abang dah balik, adik…”dia menatap wajahku.
                Serta-merta aku mengucap tahmid dan tasbih.  Ya Allah, setinggi-tinggi syukur ke hadratMu! Kau telah menyatukan aku dengan keluargaku. Aku seakan dilahirkan semula ke dunia ini, dengan kebahagiaan yang kulihat sewaktu kelahiranku dahulu.

                Walau aku hanya dapat bersama Mama buat seketika, itu sudah cukup memadai bagiku.  Semoga peluang kedua ini tidak akan aku sia-siakan. InsyaAllah!

Di sebalik keterikan bahang dalam hati,
Sebatang pohon menjanjikan teduhan hati,
Iaitu pohon harapan kepada Ilahi...

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...