BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, December 26, 2011

Cinta dalam Amanah



                Amanah. Tanggungjawab. Kedua-duanya mempunyai erti yang sama. Ada apa dengan amanah?  Setiap manusia ada amanah dalam diri masing-masing. Masihkah kita ingat sifat-sifat wajib bagi seorang rasul? Amanah, Fatonah, Tabligh,Siddiq.

                Ya, amanah salah satu daripadanya. Dan, RasulAllah SAW sendiri digelar sebagai Al-Amin oleh masyarakat Makkah hatta yang membenci baginda sendiri. Di akhir zaman ini, amanah seolah-olah dipandang ringan. Dan yang paling dahsyat lagi, tidak ada langsung walau secebis rasa tanggungjawab dalam diri.

                Yang menyedihkan pula, orang yang bertanggungjawab sering diperkecilkan. Kalau di kawasan utara seperti di Kedah dan Pulau Pinang, golongan yang bertanggungjawab digelar ‘pulun’. Itulah serba-serbi cabaran dalam menunaikan amanah.
“Tak kenal, Maka, Tak cinta”
                Agar rasa tidak terbeban dengan amanah, kita perlu ada rasa cinta dalam amanah. Kalau tidak kenal dengan amanah, maka, tak cintalah, kan? Baiklah, sebelum kita pikul sesebuah amanah, kita harus berfikir panjang sebelum menerimanya. Dan, jikalau kita terpaksa memikulnya, cubalah untuk meredhainya.

                Amanah yang paling penting dalam setiap diri insan, ialah menjadi khalifah di atas muka bumi  dan menunaikan ibadah kepada Dia Yang Maha Esa. Jikalau kedua-dua amanah ini pun kita tidak dapat laksanakan, bagaiman pula tanggangjawan lain? Sudah tentu tidak terlaksana dengan baik, bukan?
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".(2:30)
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.(51:56)
                Memang, amanah sesuatu yang berat. Imam Al-Ghazali juga pernah berkata; “Yang paling berat itu menunaikan amanah.” Tambahnya lagi; “Yang paling ringan itu meninggalkan solat”.

                Dan ingatlah, ketika RasulAllah menjalani peristiwa Isra Wal Mikhraj, dia diperlihatkan azab bagi mereka yang meninggalkan amanah. Mereka terpaksa menanggung beban seberkas kayu yang sangatlah berat di belakang mereka. Kemudian, ditambah lagi beban. Begitulah seterusnya.  Apabila baginda bertanya kepada Jibril, mengapa mereka terpaksa menerima azab seperti itu. Maka, Jibril pun menjawab kerana mereka menerima amanah sedangkan mereka tidak memikulnya kemudian menerima pula amanah yang lain.

                Rasa tanggungjawab sangatlah memberi impak yang banyak. Jika ibu bapa rasa bertanggungjawab, mereka akan teliti dalam mendidik anak-anak. Maka, dengan rasa tanggungjawab dan perhatian yang diberikan, insyaAllah, anak-anak tidak akan terjebak dalam kancah gejala sosial. Jika seorang peguam mempunyai rasa amanah, dia akan membela orang yang tidak bersalah dan menegakkan keadilan. Jika tidak, dia telah membebaskan orang yang benar-benar bersalah dan menindas keadilan. Begitu juga dengan golongan pemerintah yang bertanggungjawab, dia tidak akan menganiaya rakyatnya dengan memakan harta rakyat dan menindas mereka. Malah, dia akan membangunkan rakyatnya dan menjaga kebajikan rakyat. Maka, Negara akan terus makmur dengan keredhaan daripada Ilahi.

                Janganlah amanah diabaikan kerana anasir-anasir lain seperti wang dan ganjaran lain. Dan, yang paling penting, tunaikanlah amanah kerana Allah. InsyaAllah, apabila kita rasa seperti ingin mengabaikannya, kita akan rasa bersalah.

                Mari, tunaikan amanah bersama-sama.  Tunaikanlah dengan rasa cinta terhadapnya kerana hal yang demikian tidak akan membuatkan kita rasa terbeban. InsyaAllah.-Cik Mai

p/s: jom tengok video ni... semoga dapat memberi manfaat kepada kita.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...