BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, December 11, 2011

Segalanya Di TanganNya


                Putaran hidup ini adalah rahsia Dia. Hidup, mati, jodoh, rezeki, masa depan, kejayaan, kegagalan, takdir, semuanya adalah rahsia. Semuanya terkadung dalam Qada’ dan Qadar sejak azali. Kita, mempunyai pilihan dalam kehidupan ini.
                Beriman kepada Qada’ dan Qadar, bukan bererti menyerahkan segalanya dengan nasib takdir sahaja. Bukan bererti menyalahkan takdir. Itulah antara yang salah faham konsep beriman kepada qada’ dan qadar yang telah dipelajari dalam subejk Pendidikan Islam.
                Walaubagaimanapun, sejauh manakah ilmu yang diperoleh itu memandu arah perjalanan hidup kita? Adakah sekadar untuk menjawab soalan Akidah PMR saja? Sesungguhnya, ilmu ini lebih daripada itu!
                Seperti yang dinyatakan tadi, kita mempunyai pilihan dalam kehidupan ini. Mungkin, dialog seperti ini sudah biasa meniti di bibir masyarakat:
“Alah, dah dia tu keturunan pandai, mana tidaknya lulus cemerlang…”
“Memanglah dia kaya, dah dia kerja apa… kita ni kerja macam ni je…”
                Setiap perkara dalam hidup ini ada pilihan. Sentiasa ada dua jalan. Cuma, hanya kita perlu memilih jalan yang mana kita hendak lalui. Sebagai contoh, jika kita hendak Berjaya, kita perlu memilih jalan Berjaya dengan usaha dan sebagainya. Memang, tidak dinafikan, ada punca-punca yang menyokong seseorang dalam kejayaan dan perjalanan hidupnya, tapi, bukan seratus peratus.
                Kadangkala, kita tidak perasan dengan dua jalan yang terbentang dalam kehidupan ini, bukan? Oleh sebab itulah, kita berdoa supaya ditunjukkan jalan yang lurus setiap rakaat dalam solat. “Tunjukkanlah kami jalan yang lurus;(1:6)”.
                Sesungguhnya, Allah SWT Maha Adil. Dan bukti keadilanNya, Dia membentangkan dua jalan kepada kita. Dan dalam kekuasaan di tanganNya, Dia mentakdirkan kita dengan jalan yang kita pilih.
                Pernahkah anda mengetahui kisah Saidina Umar Al-Khattab R.A. yang enggan masuk ke dalam sebuah kampung di Syam? Beliau enggan ke sana kerana ada wabak penyakit berjangkit yang melanda kampung tersebut. Lalu, Sahabat Abu Ubaidah ibn Jarrah ra bertanya kepada  Umar Al-Khattab R.A: "Mengapa kamu lari dari takdir Tuhan?' Beliau menjawab: "Aku lari  dari takdir Allah kepada takdir yang lain."(Tarikh At-Tabari)
                Jadi, marilah sama-sama kita tadah tangan dan berdoa, “Ya Allah, Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.” Semoga perjalanan hidup kita sentiasa dalam panduanNya kerana hakikatnya, Kita merancang, Allah SWT menentukan. Selamat Memilih Jalan Kehidupan!
Allah mengilhamkan,
Sukma kefasiqan dan ketakwaan,
Beruntung bagi yang mensucikannya,
Merugi bagi yang mengotorinya…-Nasyid: Demi Matahari (Snada) 

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...