BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, November 10, 2012

Indahnya Nur Syahadah


                Petir berdentum kuat, mengejutkannya daripada tidur. Sekali lagi, mimpi yang sama bertandang. Dadanya diurut perlahan. Sesekali dia menyapu mukanya. Dia mencapai tuala kecilnya di hujung katil lalu mengelap peluh yang mengalir di dahinya. Jam loceng ditatapnya. Sudah hampir pukul lima pagi.
                Dia turun dari katil. Mimpi yang bertandang tadi sudah malas diendahkannya. Sejak belakangan ini, dia sering bangun awal. Mungkin ada baiknya juga mimpi itu sering hadir, dia dapat bangun awal dan masa dapat dihabiskan untuk berqiamullail. Entah kenapa, setiap kali bangun saja daripada tidur, matanya susah hendak lelap kembali sehinggalah waktu petang. Dia sendiri hairan dengan apa yang terjadi.
                “Sya…” Ain menegur dari belakang. Syahadah sedikit terkejut.
                “Oh, awak. Ingatkan siapalah tadi. Awalnya bangun…” balas Syahadah.
                “Kerja Math-Mod tak siap lagi.” Jawab Ain ringkas.
                Ain meninggalkan Syahadah yang sedang bersiap sedia untuk bersolat tahajud. Dia ingin bersiap untuk ke sekolah dahulu sebelum menghabiskan latihan matematik moden. Selalunya, dialah orang yang paling lambat bangun antara semua ahli dorm itu.
--------------------------------------   
                Seisi kelas bangun sambil memberi salam kepada guru yang baru saja masuk ke dalam kelas. Mereka mengagak guru inilah yang akan menggantikan tempat Cikgu Shamimi yang sedang bercuti kerana masih berada dalam pantang.
                “Baiklah, kelas. Nama cikgu Aisyah Humaira Abdullah. Cikgu akan ganti Cikgu Mimi sepanjang dia cuti bersalin.  Jadi, Cikgu difahamkan kamu semua dah habis bab Coordinate Geometri. Baiklah, cikgu rasa kita sambung terus bab seterusnya… lagipun peperiksaan pertengahan tahun dah dekat ni,” ucap Cikgu Aisyah.
                “Alaa, cikgu tak mahu berkenalan ke dengan kami? Ceritalah sikit tentang cikgu,” Kamil bersuara sambil disokong oleh seisi kelas.
                “Ermm, baiklah. Apa kamu semua nak tahu tentang cikgu?” Cikgu Aisyah sekadar melayan saja kerenah mereka.
                “Cikgu dah kahwin ke belum?” Ahmad tersengih.
                “Haha, kamu semua rasa?” Cikgu Aisyah tertawa sedikit. Jelas terlihat kecomelan cikgu yang bermata sedikit sepet persis seorang cina. Sudahlah wajahnya berkulit cerah seperti korea pun ada…
                “Dah kot?” Ain sekadar meneka.
                “Betullah tu. Cikgu baru saja berkahwin tahun lepas.”
                “Cikgu ni ada darah cina ke?” soal Fifi pula. Dia sangat berkenan dengan orang yang berdarah kacukan.
                Cikgu Aisyah tersenyum segaris. Seketika dia diam sebentar. “Mama cikgu orang cina, papa cikgu pula orang Britain… hmm, untuk pengetahuan semua, cikgu memeluk Islam semasa cikgu berusia 18 tahun… Sekarang, umur cikgu 28 tahun,” Cikgu Aisyah menjawab dengan menambah sedikit fakta tentang dirinya.
                Syahadah mengucapkan hamdalah dalam hatinya. Syukur,  dia berpeluang untuk mengenali seorang lagi saudara seagama. Ingin sekali dia berborak dengan Cikgu Aisyah tentang perjalanannya bertemu hidayah Allah.
                “Ok, Cikgu rasa information tentang cikgu dah cukup kot… Apa kata kita sambung dulu bab 7, boleh tak?” soal Cikgu Aisyah.
                “Boleh…” jawab seisi kelas.
                Melihat wajah Cikgu Aisyah, Syahadah teringat ibunya di kampung. Ibu juga seorang wanita berdarah kacukan cina dan Britain. Entah kenapa dia menjadi lebih bersemangat ketika belajar Matematik tambahan dengan cikgu baru itu. Tanpa sedar, kelas sudah berakhir. Ah, cepat sungguh masa berlalu. 
                “Sya, awak nak ke kantin tak?” soal Ain.
                “Tak apalah, Sya puasa hari ni,” jawab Syahadah.
                “Ain pergi dulu, ye?” Ain meminta diri.
                Syahadah segera mendapatkan Cikgu Aisyah. Dia menawarkan pertolongan untuk membawa barang-barang cikgu walaupun sedikit saja sebenarnya.
                “Terima kasihlah, Sya. Buat susah-susah saja,” kata Cikgu Aisyah.
                “Alah, sikit saja, cikgu. Cikgu nak tau tak? Saya tengok muka cikgu, saya teringat ibu saya…” ujar Syahadah.
                “Oh, ye ke? Ibu awak cina juga ke?” soal Cikgu Aisyah.
                “Yer, sama macam cikgulah, Cina-Britain,” jawab Syahadah.
                Mereka berdua terus berbual sehinggalah tiba di bilik guru. Cikgu Aisyah,  peribadinya, tutur katanya, memang saling tak tumpah seperti ibu. Seketika, rindu pada ibu terubat juga. Syahadah rasa seperti ada sesuatu yang menariknya untuk merapatkan diri dengan cikgu baru itu. Dia bukanlah seorang yang rapat dengan mana-mana guru, tambahan pula, dia sangat segan apabila bertemu dengan guru. Tetapi, Cikgu Aisyah…  entahlah…
----------------------------------   
                Cikgu Aisyah membelek kalendar di meja soleknya. Hatinya sebenarnya berat memikirkan hari-hari yang bakal mendatang. Perkahwinan dengan Umar, bukan sesuatu yang dipintanya. Begitu juga dengan suaminya itu. Dia sudah berjanji akan memfailkan cerai, walaupun dia sebenarnya tidak sanggup kerana ibu mertuanya… seorang wanita yang cukup berjasa padanya. Wanita yang sanggup membimbing dirinya tika dia masih tercari-cari sinar hidayah.
Imbas kembali
                “Saya minta maaf Aisyah… Saya terpaksa terima awak sebagai isteri saya… Saya ingat, kalau kita boleh bercerai malam ini, tapi, perkara itu mustahil… Saya akan terhutang budi seumur hidup saya kalau awak sudi failkan cerai nanti…” kata Umar. Aisyah dapat melihat takungan air mata yang hampir pecah di mata Umar.
                Ya, siapakah yang sanggup berkahwin secara paksa. Aisyah menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia juga begitu, sanggupkah dia menolak lamaran ibu mertuanya ketika dia tidak ada sesiapa lagi di dunia ini?
                “Umar, saya akan menfailkan cerai… kalau itu yang awak mahu. Tetapi, saya harap, tolong beri saya peluang untuk mendalami Islam dahulu. Tolong, beri saya masa untuk itu…” ucap Aisyah walaupun keputusan itu bukanlah keputusan yang bijak buat mereka berdua. Kerana… mereka masih ada masa…
                “Awak serius? Saya janji, saya akan bantu awak untuk mendalami Islam…” ucap Umar.
                Mereka sudah sepakat. Dalam hati Aisyah, dia sayangkan perkahwinan ini. Tetapi, dia percaya, kalau jodoh masih ada… mereka tidak akan berpisah.
---------------------
                “Aisyah…” tegur Umar yang baru saja masuk ke dalam bilik. Lamunan Aisyah terhenti. Dia mengalihkan pandangan pada suaminya itu.
                “Macam mana dengan sekolah baru?” soal Umar.
                “Okay. Pelajarnya semua sporting… baik-baik…” jawab Aisyah hambar.
                “Hmm, bila awak nak failkan cerai?” soalan yang memang sukar diterima oleh sesiapa pun. Tetapi, Aisyah faham akan situasi mereka berdua. Mereka tidak saling mencintai… ah, perasaan memang sesuatu yang sukar dimengertikan.
                “InsyaAllah, minggu depan…” jawab Aisyah.
                “Awak… saya rasa, awak batalkan sajalah…” Aisyah seakan-akan tidak percaya apa yang didengarinya.
                “Tapi… Kenapa?”
                “Aisyah, saya baru sedar… Kadangkala, apa yang Allah aturkan, itulah yang terbaik buat kita. Shiela akan berkahwin hujung tahun ni. Ini kadnya…” Umar menghulurkan kad kahwin yang diterimanya kepada Aisyah. Sebak terbuku di dadanya. Aisyah cuba menenangkannya. Umar sudah jadi seperti anak kecil. Dia menitiskan air mata lalu terduduk.  Aisyah memeluk bahunya.
                “Awak janganlah sedih. Mungkin awak ada peluang yang lebih baik?” ujar Aisyah.
                “Apa maksud awak?” Umar menyoal dalam tangisan.
                “Mungkin Allah hendak bagi peluang untuk awak membimbing saya hingga ke akhir hayat?”
                “Awak pandai pujuk saya… Terima kasih, ya?” Umar menyeka air matanya. Terasa seperti bodoh pula menangis kerana seorang wanita yang bukan miliknya sedangkan dia sudah ada yang punya. Ya, dia sudah dimilki Aisyah, apa lagi yang perlu dikesalkan?
                “Tak, sepatutnya, saya yang berterima kasih pada awak… Awak dah ajar saya mengaji, awak dah ajar saya solat sunat… sebelum ni, saya Cuma tahu baca tafsir, solat 5 waktu dan puasa saja… Dan, awak dah ajar saya memahami awak saat hari pertama kita bernikah…”
                Umar tersenyum. Begitu juga dengan Aisyah. Dalam hatinya, Aisyah bersyukur kerana masih ada peluang untuknya mempertahankan rumah tangganya. Hanya Allah saja yang tahu perasaannya saat ini. Sesungguhnya, Allah Maha Mendengar isi hatinya saat dia kebimbangan. Alhamdulillah.
                “Kalau macam itu, apa kata kita berkenalan dulu, nama saya Umar,” Umar menghulurkan tangannya sebagai gimik permulaan kembali hubungan perkahwinan mereka.
                “Nama saya Aisyah Humaira…” Aisyah menyambut huluran tangan Umar.
                Mereka berdua tertawa kecil. Entah kenapa terasa seperti lucu pula gimik yang direka oleh Umar itu. Biarlah ini menjadi titik permulaan segala-galanya walaupun sudah hampir setahun mereka berkahwin.
----------------------------------  
                Petang itu, Syahadah meluangkan masa bersama Ain di luar surau selepas solat Asar berjemaah. Kuih yang diambil daripada Dewan Makan dijamah bersama-sama.
                “Sya, awak ada keturunan cina ke?” entah kenapa soalan itu terpacul dari mulut Ain.
                “Awak rasa?” Syahadah cuba menguji minda sahabatnya itu.
                “Korea kut..hehe,” teka Ain.
                “Salah~. Awak ni memandai je… haha…”
                “Habis tu?”
                “Ayah kite orang melayu, ibu pula, kacukan cina-Britain,” jawab Syahadah.
                “Untunglah, ada darah kacukan,” ujar Ain.
                “Alah, awak lagi cantik. Hmm, asyik cerita pasal Sya aje… Ain pula macam mana?” soal Syahadah.
                “Tak ada yang istimewa pun.  Biasa-biasa saja. Eh, Cikgu Aisyah tu kan… muka dia ada iras-iras awaklah,”Ain menukar topik perbualan.
                “Yeke? Entahlah… Ain, nama awak ada cerita tak?” soal Syahadah.
                “Haha, soalan apalah yang awak tanya ni. Ada, gabungan nama ayah dan ibu kite. Ayah nama Adam, ibu nama Insyirah. Gabung jadi Ain, hehe,awak pula?”jawab AIn dengan rasa bangga.
                “Ibu Sya dulu bukan Islam. Jadi, selepas dia memeluk Islam, dia berkahwin dengan ayah dan dia letaklah nama Syahadah, sebagai tanda kesyukuran dia dapat lafazkan dua kalimah syahadah…”cerita Syahadah, juga dengan perasaan bangga kerana dikurniakan nama yang indah.
--------------------------- 
                 Mimpi itu datang lagi. Arghh, kenapa mimpi yang sama? Syahadah terbangun lagi. Dia tidak tahu mengapa dan apa kaitannya mimpi itu dengannya. Mimpi seorang perempuan kemalangan jalan raya. Dia tidak tahu siapa perempuan itu. Kali ini, dia dapat rasakan mimpi itu benar. Tapi, bukankah mimpi itu mainan tidur. Dia jadi bingung seketika.
                “Astaghfirullah…” dia menenangkan diri dengan istighfar.
                Saat ini, entah kenapa dia teringat pula pada ibunya. Semoga ibu berada dalam keadaan yang sihat sejahtera. Seperti biasa, rutin hariannya diteruskan. Semoga mimpi yang sering hadir itu tidak ada kena mengena dengan insan yang dikasihinya.
-----------------------------------   
                Hati Syahadah gelisah benar hari ini. Sebelum ini, mimpi yang hadir tidak langsung menganggu fikirannya sepanjang hari. Tetapi, seakan-akan perkara itu akan terjadi. Cikgu Aisyah sedang mengajar tetapi dia sukar untuk focus. Ish, kenapa dengan hati ini?
                Pintu kelas diketuk. PK HEM masuk dan memaklumkan sesuatu kepada Cikgu Aisyah. Wajah Cikgu Aisyah yang bersemangat tadi berubah. Dia mengalihkan padangan pada Syahadah. Syahadah mula rasa sesuatu yang buruk dengan pandangan PK HEM dan Cikgu Aisyah.
                “Sya, awak balik asrama pergi kemaskan barang-barang dulu…” arah PK HEM.
---------------------------------  
                Syahadah duduk menunggu di luar wad dengan penuh debaran. Perkara yang tidak diingini memang benar-benar berlaku. Ibu kemalangan  jalan raya. Keadaannya masih kritikal. Ayah turut di sisinya bersama adik-adik.  Ayah masih mampu bertenang lagi. Dalam keadaan ini, Ayah memilih untuk menyambung bacaan Al-Qurannya. Tetapi, Syahadah, dirinya begitu risau sehingga fikirannya bercelaru. Air mata laju saja mengalir.
                Dari kejauhan, terlihat kelibat Cikgu Aisyah bersama suaminya. Cikgu Aisya segera mendapatkan Syahadah. Abah memberhentikan bacaannya.
                “Assalamua’laikum. Saya Aisyah, cikgu Sya… macam mana dengan ibunya, encik?” Cikgu Aisyah memperkenalkan dirinya. Suaminya bersalam dengan ayah.
                “Tak tahu lagi. Kami sedang menunggu keputusan dari doktor… terima kasih cikgu sudi datang…” ucap ayah.
                Selang beberapa ketika, doktor keluar dari wad. Ayah segera bergerak kea rah doktor. Dalam hatinya tidak putus-putus doa yang dipanjatkan.
                “Encik, buat masa ini, isteri encik belum sedar. Tapi, Alhamdulillah, dia masih stabil,” doktor memberitahu keadaan ibu.
                “Alhamdulillah,” ucap ayah.
                “Tapi, sebelum tu, biarlah encik seorang saja yang masuk kalau nak jenguk pesakit. InsyaAllah, kalau keadaan pesakit lebih baik, pihak kami akan benarkan ahli keluarga yang lain masuk,” pesan doktor.
                “Aisyah, esok kita datang lagi, ya?” kata Umar yang ingin mengajak pulang memandangkan waktu magrib sudah hampir tiba.
                “Baiklah…” Cikgu Aisyah sedikit keberatan hendak meninggalkan wad tersebut kerana dia dapat rasakan seolah-olah keluarga Syahadah mempunyai kaitan dengannya.
                “Sya, cikgu balik dulu, ya? Esok cikgu datang lagi…” Cikgu Aisyah meminta diri. Dia memeluk Syahadah seakan-akan Syahadah itu adiknya sendiri.  Dia menitipkan pesanan agar Syahadah terus berdoa dan bersabar.  Kemudian, apsangan itu meninggalkan kawasan hospital tersebut.
------------------------------   
                “Kenapa awak diam saja dari tadi?” Umar bersuara memecahkan sepi.
                “Tak ada apa-apa… Cuma, saya macam kenal saja keluarga student saya tadi tu,” Aisyah mengeluh kecil.
                “Cakap pasal keluarga… saya teringin nak tahu tentang keluarga awak…” luah Umar.
                “Hmm, macam yang awak tahu, papa saya orang Britain dan mama saya orang cina. Perkahwinan mama dan papa tak kekal. Diaorang bercerai dan sejak itu… mama saya dah putus asa dengan takdir. Sampaikan, dia dah hilang rasa percaya pada tuhan. Sayangnya, mama tak menerima hidayah sehinggalah dia dah meninggal. Saya sebenarnya ada seorang kakak, namanya Jessica,” atas permintaan Umar, Aisyah mengimbas semula kisah silamnya.
Imbas Kembali
                Azmi meletakkan keretanya di luar rumah agam milik keluarga cina itu. Dia memberanikan diri untuk bertemu dengan tuan rumah itu. Setelah dijemput masuk, dia dipersilakan duduk.  Puan Lee memandang tepat ke wajahnya. Dia sudah tahu apa yang bakal diluahkan tetamunya itu.
                “Puan, saya datang ini sebenarnya…” Azmi memulakan bicara tetapi belum sempat dihabiskan ayatnya, Puan Lee sudah menyambung.
                “Nak melamar Jessy?”
                “Ya, itulah sebenarnya tujuan saya…” akui Azmi.
                “Saya akan restui perkahwinan kamu berdua… sekiranya, kamu tinggalkan agama kamu…” kata-kata Puan Lee itu seakan-akan menyentap kasar jantung Azmi.
                “Atau Jessy yang ikut kamu dan hubungan kekeluargaan kami akan terputus…”sambung Puan Lee. Walaupun dia mengucapkan dengan tenang, tetapi  syarat itu membuatkan Azmi tidak betah lagi.
                “Tak mengapalah, puan.  Kalau itulah syaratnya… saya rasa saya memang tiada jodoh dengan anak puan, saya minta diri dahulu…” Azmi nekad. Dia tidak mahu Jessica kehilangan keluarganya. Biarlah dia korbankan cintanya. Cinta boleh datang dan pergi, tapi, keluarga dan agama, itu perkara yang lebih penting.
                “Azmi, tunggu dulu!! Saya dah buat keputusan… Mama, Jessy akan ikut Azmi…” Jessica tiba-tiba muncul  dan menahan Azmi.
                “Kau sudah besar, Jessy. Kalau itu keputusan kau, Mama izinkan kau pergi tapi, cukuplah setakat ini saja hubungan kita semua.Kau boleh keluar dari sini. Jangan sesekali kau datang sini lagi…” itulah kata-kata terakhir Puan Lee sebelum kehilangan anak sulungnya itu.
                Ketika Jessica melangkah keluar, adiknya meluru kepadanya. Tangisan anak kecil itu memang menggugah hatinya. Diusap-usap kepala adiknya. Kemudian, dia mencium ubun-ubun adiknya sebelum dia meninggalkan si kecil itu.
                “Adik, kakak sudah pilih takdir kakak. Suatu hari nanti, pasti tuhan akan mempertemukan kita lagi… percayalah!” dia memeluk adiknya buat kali terakhir.
                “Jessy, sudahlah… dia bukan adik kau lagi… Jangan kau pengaruhi fikirannya tentang tuhan lagi!” Puan Lee menarik tubuh kecil itu daripada pelukan Jessica. Kemudian, pintu rumah agam itu dihempas oleh Puan Lee menandakan tahap kemarahannya sudah meningkat.
                Sejak hari itu, Jessica tidak pernah berjumpa dengan keluarganya lagi. Mamanya, dahulu seorang penganut kristian. Setelah papa meninggalkan mama, mama hilang arah. Dia tidak percayakan tuhan lagi. Dan dia sangat berang sekiranya anak-anaknya bertanya tentang tuhan. Jessica reda dengan takdir yang dipilihnya itu. Dia memilih takdir ini bukan semata-mata kerana cinta, tetapi, kerana indahnya hidup bertuhan yang dirinduinya.
-------------------------------   
                “Hmm, kiranya, awak tak jumpa lagi la kakak awak?” soal Umar inginkan kepastian.
                “A’ah. Saya masih ingat lagi pesanan akak, ‘Suatu hari nanti, pasti tuhan akan mempertemukan kita lagi… percayalah!’. Disebabkan pesanan kakak itulah, saya cuba mencari tuhan… Alhamdulillah, saya dah jumpa dengan kebenaran hidup bertuhan tapi, saya masih belum jumpa kakak saya,” Umar dapat memahami kesedihan yang tersimpan di lubuk hati isterinya itu.
                “Tak apalah, sekurang-kurangnya, awak dah jumpa umi, dah jumpa saya…” Umar cuba mengurangkan kesedihan isterinya itu.
                “Alhamdulillah, saya masih lagi ada umi dan awak,” ucap Aisyah.
------------------------------
                Umar tertarik untuk mengenali isterinya dengan lebih mendalam lagi. Pada mulanya, dia  hendak mengajak Aisyah keluar makan tetapi Aisya sudah memasak untuk makan malam. Jadi, dia sekadar membantu sajalah di dapur apa-apa yang boleh dibantu.
                “Aisyah… macam mana awak belajar masak semua masakan melayu?” soal Umar ketika menumis bawang dalam kuali.
                “Bukan semua Aisyah reti masak. Aisyah Cuma reti masak masakan kegemaran awak jer. Itupun, belajar dengan umi dulu.” Jawab Aisyah jujur.
                “Tak rindu ke masakan cina dulu?”
                “Yang halal je Aisyah rindu…” Aisyah tersengih.
                “Amboi, jawapan high class betul. Betullah orang kata, kalau dah cinta, kita akan lupa apa yang tak ada kena mengena dengan apa yang kita cinta. Aisyah cintakan agama kita, sampai lupa dah masakan yang tak halal, kan?… ermm, macam mana Aisyah masuk Islam?” soal Umar lagi.
                “Macam Aisyah cakap dalam kereta tadi, kata-kata kakak yang bagi semangat pada Aisyah. Semasa di sekolah menengah, saya selalu la curi-curi buku pasal Islam di perpustakaan... jahat tak?” Aisyah ketawa kecil.
                “Jahat untuk kebaikan, apa salahnya? Tapi, kenapa tak pinjam saja?”
                “Yelah, pengawas perpustakaan tu asyik tengok pelik je… Aisyah malulah!”
                “Tak pernah kantoi?” sambil berbual, Umar menuangkan bahan-bahan yang sudah dikisar halu ke dalam kuali bersama daging ayam.
                “Pernah. Dengan ustazah. Tapi, nasib baiklah dia faham, lepas tu, Aisyah rapat sangat dengan ustazah. Dia selalu bagi pinjam buku-buku dia.  Nak tahu tak siapa ustazah tu?” Aisyah cuba berteka-teki.
                “Siapa?”
                “Umi,” jawab Aisyah bersemangat.
                “Ooo, begitu rupanya. Tak sangka pula, dah lama awak kenal umi. Selain umi, ada tak orang lain yang membimbing awak sebelum masuk Islam?”
                “Ada. Tapi dia dah meninggal. Namanya Sufyan…” nada suara Aisyah sedikit kendur. Aisyah mengambil alih tempat Umar untuk memasak lauk di dalam kuali.
                “Bertuahnya dia… dapat membimbing awak,” luah Umar, seperti sedikit cemburu.
                “Tapi, awak lagi bertuah… Awak dapat membimbing saya sampai ke akhir hayat saya, insyaAllah. Hmm, lauk pun dah nak siap dah ni,” ujar Aisyah sambil mengalihkan posisi daging ayam di dalam kuali.
                Malam itu, sesi perkenalan Umar dengan Aisyah telah menerbitkan perasaan sayang yang mula mengmbang dalam diri Umar. Kini, dia sedar, jodoh tidak semestinya berdasarkan orang yang kita cinta, kerana cinta boleh berubah… jodoh itu, rahsia Allah…
-------------------------  
                Ibu Syahadah masih koma. Syahadah setia di sisi ibunya. Sesekali, tubuh ibunya dilap dengan tuala lembab. Ada kalanya, dia bercerita saja apa yang ingin diceritakan pada ibunya yang masih belum sedar itu. Dia yakin, ibu mendengar kata-katanya.
                “Ibu, di sekolah Sya, ada seorang cikgu baru. Mukanya macam ibu! Sebab dialah, tiba-tiba Sya rasa semangat nak belajar Add-Math. Tengok mukanya saja, Sya teringat pesan ibu supaya mencari ilmu. Ibu pesan lagi, Nabi melarang kita jangan benci ilmu. Semua pesan-pesan ibu terngiang-ngiang balik semasa belajar. Kalaulah ibu boleh tengok wajah dia…”
                “Assalamua’laikum…” Cikgu Aisyah memberi salam sebelum memasuki wad tersebut. Dia membawa bersama buah-buahan sebagai buah tangan.  Syahadah bangun lalu menyalami tangan gurunya itu. Suami cikgu turut hadir.
                “Terima kasih, cikgu sudi datang lagi… Silakan duduk,” Syahadah menjemput pasangan itu duduk di kerusi bersebelahan katil ibunya.
                Saat mata Cikgu Aisyah melihat wajah ibu Syahadah, dia seakan-akan tidak percaya. Dia mengalih kea rah Syahadah.
                “Sya, apa nama ibu awak?” soal Cikgu Aisyah.
                “Nama ibu, Fatimah.” Jawab Syahadah ringkas.
                “Nama sebelum Islam?” soal Cikgu Aisyah lagi.
                “Saya tak tahu nama ibu sebelum ini…”
                “Namanya Jessica Lee,cikgu,” jawab ayah yang datang dari entah mana.
                “Abang Azmi?”
                “Cikgu kenal saya?” soal ayah lagi. Ayah cuba mengingati di mana dia pernah berjumpa dengan Cikgu Aisyah sebelum ini.
                “Abang Azmi, ni Cat… Catherine adik Jessica,” akui Cikgu Aisyah.
                “Alhamdulillah… akhirnya Allah pertemukan kita semula. Syukur, ya Allah!” ucap ayah penuh syahdu. Saat itu juga, Cikgu Aisyah memeluk tubuh ibu yang masih tidak sedar lagi. Diusap-usapnya wajah kakak yang sudah bertahun-tahun terpisah.
                “Umar, ini kakak saya,” Cikgu Aisyah memberitahu suaminya. Umar turut terharu dengan pertemuan itu. Sesungguhnya, Allah adalah sebaik-baik perancang. Dialah yang Menemukan dan Dialah yang Memisahkan sesiapa saja.
                “Patutlah muka ibu dengan cikgu seiras… serius, saya memang tak sangka…”
                “Akak, adik datang ni… bangunlah…” Cikgu Aisyah menggenggam tangan kakaknya lalu diciumnya penuh kasih sayang. Bayangkanlah, betapa rindunya pada satu-satunya keluarga yang masih ada.
                Entah mengapa, air mata ibu mengalir. Mungkinkah dia mendengar dan dapat merasai keadaan ini? Seketika kemudian, jarinya bergerak sedikit. Sedikit demi sedikit dan akhirnya, matanya terbuka sedikit.
                “Nurse, isteri saya dah sedar!!” ayah memanggil nurse.
                Dan mulai saat itu, sebuah keluarga yang telah terpisah akhirnya bertemu kembali. Dan, ingatlah janji Allah bahawa Dia tidak akan mensia-siakan hamba-hambaNya yang taat padaNya.

Cinta yang sejati hanya cintakan Ilahi
Cinta ayah bonda tulus suci selamanya
Cintakan saudara masa berada hanya sementara
Cinta sesama insan suburkan dengan ketakwaan

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...