BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, October 11, 2014

Tangisan Sebuah Cinta 2

Imbas kembali.

Usai usrah berakhir, umi mendapatkan diriku. Dia mengajak aku ke cafe berdekatan kolej kediaman. Aku akur lantaran masa yang kumiliki tika itu sangat senggang. Tidak kusangka pada hari itu, umi membawa berita tergempar buatku.

"Umi, saya bukan sempurna. Saya ada masa silam. Saya pernah lalui zaman jahiliyyah," jujur kuakui. Saat itu, umi yang datang kepadaku membawa hasrat daripada anak terunanya. Ingin melamarku.

"Ira, yang penting bukan masa lalu, tapi sekarang. Umi dah kenal Ira lama dah. Sejak pertama kali Ira jejakkan kaki di universiti ini." Umi tersenyum.

Umi, insan yang kutemui saat aku ingin mencari cinta Ilahi. Pertemuan tidak sengaja ketika aku hampir dilanggar kereta dalam kawasan kampus. Matahari yang menyegat teriknya seakan satu panahan di kepalaku. Keluar saja dari perpustakaan yang sejuk berhawa dingin, teriknya matahari menyapa diriku. Ya Allah, migraine menyerang lagi! Tanpa kusedar, aku melintas ke tengah jalan dalam keadaan sakit kepala yang menggila. Nasib baik seseorang lekas menarik aku ke seberang.

"Ya Allah, kamu ok ke ni? Kalau sakit, jangan jalan seorang diri!" wanita berusia dalam lingkungan 50-an itu bersuara.

"Maafkan saya, puan! Saya tak sedar..." kesakitan yang menggila itu buat aku rasa nak ketuk kepala di dinding.

"Kamu ada kelas tak lepas ni?" soalnya lagi.

"Tak ada. Cuma saya nak balik ke kolej," ujarku.

"Kita ke Unit Kesihatan, ya?" aku akur dengan pelawaannya. Saat ini, dengan tak ada ubat, tak ada pilihan lain melainkan ke situ.

Itulah pertemuan pertama dengan Umi. Pada mulanya, aku agak segan bila tahu yang menolongku tempoh hari ialah pensyarah di kampus ini. Professor pula tu! Malunya aku sebab panggil dia dengan gelaran 'puan'. Tapi dia tak kisah. Tambahan pula, dia suruh panggil 'umi' saja. Dia merupakan salah seorang pensyarah yang mengendalikan usrah. Dia mengajak diriku ini yang serba kekurangan. Alhamdulillah, Allah mengabulkan doaku untuk mencari kumpulan usrah yang bertauliah. Bukanlah aku merendahkan kumpulan-kumpulan usrah yang lain, tapi, hatiku lebih tenang sekiranya yang mengendalikan usrah itu, golongan yang bertauliah. Bukan apa, akhir zaman ini macam-macam fitnah boleh datang kepada kita.

 Masih segar di ingatanku betapa segannya diriku nak ikuti usrah, yang semua ahlinya bertudung labuh, sedangkan aku dengan shawl yang sekadar menutupi dada. Tak setanding mereka. Namun, umi tetap meraikan diriku.

"Kita sama di sisi Allah, sayangku," itulah ungkapan Umi yang menguatkan semangatku untuk terus istiqamah mengamalkan sunnah baginda ini, Usrah.

"Ira..." Teguran umi mematikan imbauan masa lalu.

"Umi, Ira rasa..."aku keliru. Aku serba salah untuk memberi kata putus.

"Ira, jangan risau. Umi tak mendesak. Ira fikirkan dulu, ya?" Umi memotong kata-kataku. Dia seakan faham keadaanku saat itu.
_----------

Umi, mana mungkin aku akan menghampakanmu. Tidak mungkin aku tergamak melupakan jasamu membimbing diriku ini. Dulu, selepas sesi usrah yang pertama kalinya, aku ada berbual dengan umi. Masih segar di layar minda ini.

"Keluarga saya biasa-biasa saja. Saya mula pakai tudung pun semasa tinggal di asrama..." Aku memulakan cerita.

"Alhamdulillah, Ira. Baguslah kalau macam itu Tuhan takdirkan hidup Ira,"balas umi.

"Maksud umi?"

"Cuba teka bila umi mula bertudung?" Soalan berbalas soalan.

"Mestilah dari kecil kan?"aku cuma menyangka.

"Tak... Umi mula bertudung semasa mula belajar di kolej dulu. Lebih lambat berbanding Ira," dia tersengih.

"Biar benar..."aku seakan tak percaya. Berkelip-kelip mataku. Susah nak hadam kenyataan umi itu.

"Zaman dulu tak sama dengan sekarang, sayang. Ira bertuah tau, muda-muda dah diberi kekuatan untuk mendekatkan diri kepada Allah," ujar umi.

"Tapi saya orang biasa je, umi. Ini pun, saya bertekad sebab satu peristiwa yang sangat menyentuh sanubari saya, umi," kataku. Kemudian aku ceritakan tentang insan bernama Yayah.

"Subhanallah. Hebatnya kawan Ira tu." Puji umi.

"Sebab tu lah, umi... Ira sangat harapkan bimbingan umi." Aku meluahkan rasa yang terbuku di hati. Air mata ini tak mampu ditahan lagi.

"InsyaAllah, umi hanya menjadi asbab. Allah Taala jugalah yang memberi segalanya. Ira, selangkah kita dekat padaNya, seribu langkah Dia dekat pada kita," umi menyeka air mataku. Lalu tangannya menggenggam erat tanganku, bersama sebuah harapan, mengejar redho Ilahi.
---------------------
Dan selama empat tahun di alam universiti ini, umilah tempat aku mengadu, tempat meminta pandangan, seolah-olah menggantikan tempat ibu nun jauh di utara tanah air sana. Umi, pensyarah matematik yang berjiwa daie. Semoga Allah memberkahi hidupnya.

Setelah puas bermusyawarah bersama keluarga dan istikharah, ternyata, hati ini tenteram memilih jalan ini. Nikah khitbah. Mengenali umi, cukup untukku yakin bagaimana anak teruna didikannya. InsyaAllah, moga Allah panjangkan jodoh ini sehingga ke syurga. Ameen.

Cuti semester akhir tahun ketiga, aku sah diijabkabulkan. Biarpun kekok, aku cuba untuk menyesuaikan diri. Kami terpisah selama setahun lebih kerana pengajianku dan kerjayanya.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...