BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, October 27, 2014

Apa Yang Kita Perjuangkan Sebenarnya?

As salam wbt,
Hari ini Cik Mai nak kupaskan sedikit tentang isu malam tadi. Apa lagi kalau bukan isu tentang politik.

Bagi Cik Mai, suka Cik Mai nak ambil pandangan Dr Maszlee Malik tentang isu ini.


Walaubagaimanapun, ada sedikit pandangan Cik Mai yang mungkin berbeza daripada orang lain.

Cik Mai sebagai rakyat biasa, baru bergelar seorang mahasiswa melihat isu ini dengan satu persoalan "Sampai bila kita hendak berjuang atas nama seorang tokoh? Kita perjuangkan hak dan nasib kita atau hak dan nasib tokoh?"

Bagi Cik Mai, semua tokoh ada sumbangannya. Dato Seri Anwar Ibrahim ada sumbangannya. Tuan Guru Nik Aziz ada sumbangnya. Tun Dr Mahathir ada sumbangannya. Mereka sudah pun berkhidmat untuk kita dengan cemerlangnya. Zaman mereka sudah berlalu.

Berkaitan isu keadilan, Cik Mai sendiri sokong keadilan patut ditegakkan, tidak kira untuk sesiapa pun, sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang. 

Tapi soalnya sekarang, bagaimana anak muda sekarang? Kalau seorang 'Anwar Ibrahim' hilang, sepatutnya kita melahirkan lebih ramai 'Anwar Ibrahim'. Kalau seorang 'Nik Aziz' bersara sepatutnya lebih ramai 'Nik Aziz' yang lahir menggantikannya. Kalau seorang 'Tun M' meninggalkan kerusi Perdana Menteri, sepatutnya lebih ramai 'Tun M' yang lahir menggantikannya.

Tapi lihatlah pemimpin mahasiswa sendiri pada hari ini. Lihatlah mahasiswa hari ini. Manifesto apakah yang dijanjikan oleh para calon? Atas dasar apakah mereka mengundi calon-calon pada pilihan raya kampus?

Cik Mai percaya mereka mengundi atas dasar rupa dan gaya, bukan atas karisma calon pemimpin mahasiswa. Mungkin tidak semua tetapi kebanyakannya.

Banyak isu yang boleh diselesaikan di tangan pemimpin mahasiswa. Tapi, di mana kepemimpinan mereka menguruskan isu-isu ini? Sebagai contohnya, isu sticker parking yang sangat terhad dan saman-menyaman yang bermaharajalela di dalam kawasan kampus. Kenapa pemimpin mahasiswa tidak cuba untuk berunding dengan pihak pentadbiran kampus? Kenapa dibiarkan kebajikan rakan-rakan anda sedemikian rupa? Ini sekadar contoh. (Contoh ye. Cik Mai memang tak tahu kalau isu ini benar-benar wujud).

Jadi, persoalannya, di samping kita asyik melaungkan keadilan, kenapa kita sendiri tidak berlaku adil pada nasib kita sendiri? Maksud Cik Mai, dalam konteks seorang mahasiswa, kenapa kita tidak mengundi calon yang berwibawa (bukan atas dasar rupa)? Kenapa sebagai seorang calon kita tidak peka akan isu semasa dan kebajikan warga kampus?

Tidakkah kita sedar bahawa kita yang akan menentukan hala tuju negara pada masa akan datang? Adakah sikap sebegini yang akan membela nasib kita? Nasib anak-anak kita?

Kesimpulannya, hari ini kita melihat satu demi satu tokoh yang hilang. Tapi, kenapa kita tidak bertekad untuk optimis melahirkan tokoh yang baru? Tidak salah membela seorang tokoh, tapi atas dasar apa? Taksub? Atau harapan yang diberikan oleh tokoh itu? Sekiranya harapan agar seseorang tokoh itu mampu membela nasib kita, itulah yang sepatutnya menjadi matlamat kita. Bukan taksub.

Sekian-Cik Mai

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...