BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, February 9, 2013

Akulah Nokia 3310


Akulah Nokia 3310
                Aku hanya telefon bimbit murah, atau lebih tepat lagi… sudah ketinggalan zaman. Arghh, tapi di sebalik segala kekurangan dan keburukan serta kerendahan taraf hidupku, aku jugalah yang banyak sangat berjasa! Hohohohoho~ (Riya’ sekejap).
                Mungkin orang lain tak percaya bahawa aku sangat banyak berjasa… Tapi, aku yakin lagi pasti, budak-budak aspura dan aspuri (penghuni asrama) akan membenarkan kenyataanku ini. Kenapa? Sudah tentulah kerana aku murah! Kalau kena rampas pun tak menyesal.
                Buka itu saja, aku jugalah yang menjadi alat untuk dibaling kepada anjing-anjing liar yang suka mengejar budak aspura yang cuba lari dari asrama (fly).  Tambahan pula, bagi sesetengah ibu bapa yang tak mampu membeli telfon bimbit yang mahal kepada anak-anak mereka, aku jugalah yang menjadi pilihan pertama mereka! Yeay!!!
                Aku mempunyai adik, tapi disebabkan kami sudah lama terpisah jauh, maka aku sudah lupa akan namanya. Tapi, yang aku ingat, adikku lebih ringan daripadaku, dan dia mempunyai lampu suluh di atas kepalanya… sesetengah penghuni asrama menggelarnya “Hand phone Torchlight”…
                Baiklah, ini kisah hidupku. Tuanku merupakan seorang budak aspura tingkatan empat. Dia memiliki beberapa koleksi telefon bimbit yang mahal lagi canggih. Aku memang sangat cemburu dengan mereka. Kalau tuan aku hendak keluar bersama kawan-kawannya, pasti akju ditinggalkan dan dia hanya membawa telefonnya yang mahal seperti Iphone, Blackberry dan sebagainya.
                Tetapi aku rasa sangat beruntung kerana akulah yang sering menemani hidupnya di asrama. Jadi, aku lebih rapat dengan tuanku. Kerana tuanku jugalah, aku bertemu semula dengan adikku. Ini semua gara-gara tuan kepada adikku merupakan teman wanita tuanku.
                Aku akan bertemu adikku apabila ada khabar angin bahawa pemeriksaan asrama bakal dilakukan. Ketika itu, aku dan adikku disorokkan di sebuah tempat yang tersembunyi. Aku sendiri tidak pasti di manakah tempat itu. Tetapi aku sangat bersyukur kerana dapat bertemu dengan adikku yang sudah lama terpisah.
                Adikku pernah meluahkan perasaannya kepadaku. Dia memanggilku Abang Pang kerana orang utara selalu memanggilku ‘Tiga-tiga Sekupang (3310)’.
                “Abang Pang, agak-agaknya, kita berdosa tak?” soalnya secara tiba-tiba.
                “Eh, kenapa pula? Kan kita jugalah yang menjadi alat yang menggerakkan mereka untuk bangun pagi… Kadangkala, kita juga yang berjasa menghubungkan mereka dengan ibu bapa serta keluarga mereka di rumah,” aku faham apa yang cuba disampaikan oleh adikku tetapi aku cuba untuk berdalih.
                “Tapi, kita juga yang menjadi alat maksiat mereka. Hampir setiap malam kita menghubungkan mereka berdua. Tidakkan kita berdosa? Kerana adanya kita, mereka terjerumus ke lembah zina hati, zina tangan dan lambat laun, belum tentu mereka dapat mencegah diri mereka daripada zina yang sebenar-benarnya…”
                Aku terkedu. Ya, kalau berdasarkan logik akal, kami memang tidak bersalah kerana kami tidak mempunyai akal. Tetapi, jauh di sudut kecil bateriku (hatiku), aku rasa sangat bersalah. Aku terdiam sebentar, cip memoriku (mindaku) ligat berfikir bagaimana caranya hendak mencegah perkara ini daripada berterusan.
                “Kita berdoa sajalah semoga kita dirampas…” aku membuat keputusan.
                “Hmm, betul juga tu…”
                Tidak lama kemudian, kami berdua telah diambil oleh dua orang yang tidak dikenali. Melalui perbualan mereka, kami dapat mengetahui bahawa mereka berdua ialah pengawas yang bertugas untuk merampas barang larangan.
--------------------------------------------------   
                Dua tahun telah berlalu, kini, aku dan adikku sudah dikembalikan kepada tuan kami. Aku dihinggap rasa bersalah lagi. Tetapi, perasaan semakin surut apabila tuanku berkata kepada tuan adikku:
                “Aku harap kita dapat berjumpa lagi. InsyaAllah, saat itu aku akan tebus segala dosa kita di sekolah ini dengan mengambil kau sebagai isteriku. Tetapi andai tiada jodoh, aku harap kita akan bahagia dengan ketetapan Allah. Maafkan segala salah silapku membuatkan kau lali di sekolah ini… Sleamt tinggal”.
                Aku sempat melihat bagaimana tuan adikku menitiskan air mata dan tuanku terus meninggalkan dia. Alam asrama telah tamat. Aku kini tersimpan rapi dalam laci kenangan tuanku. Entah bila agaknya aku akan bertemu semula dengan adikku? Aku hanya berdoa semoga mereka ada jodoh dan aku dapat bersama dengan adikku lagi. Amin.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...